Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 16 Januari 2019

Bayar Sukarelawan Dengan Sogok Pengundi Dua Kes Berlainan Kata SU Politik Kit Siang.

Syahredzan Johan, Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri | Petisyen Pilihan Raya Cameron Highland adalah mengenai sogokan, bukan bayaran semula kepada sukarelawan

1. Pada 14 Januari 2019, akaun Twitter rasmi Barisan Nasional (BN) telah membuat ciapan bahawa kemenangan pilihan raya oleh wakil rakyat BN yang terdahulu telah diisytiharkan batal apabila calon tersebut memberi wang kepada sukarelawannya. Ciapan ini dipercayai merujuk kepada keputusan Yang Arif Hakim Datuk Azizah Nawawi yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya di Kuala Lumpur, di dalam petisyen pilihan raya yang difailkan oleh calon Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil Cameron Highlands, Sdr Manogaran Marimuthu terhadap kemenangan calon Barisan Nasional ketika itu, Datuk Sivarraajh a/l Chandran.




2. Ini adalah suatu percubaan terang-terangan oleh akaun Twitter BN untuk menyamakan bayaran untuk perjalanan yang diberikan kepada sukarelawan Orang Asli yang telah mencetuskan kontroversi baru-baru ini, dengan perbuatan rasuah yang telah menyebabkan keputusan pilihan raya bagi kawasan Parlimen Cameron Highlands (P78) pada 09.05.2018 diisytiharkan sebagai terbatal. Kedua-dua scenario ini adalah berbeza bagai siang dan malam, dan tidak patut digolongkan dalam suatu kategori.

3. Seperti yang telah dijelaskan oleh Arvind Bharet, pembantu kepada ketua operasi Pakatan Harapan Jelai, gambar-gambar yang tersiar dalam media sosial menunjukkan sukarelawan parti di Cameron Highlands dibayar balik untuk perbelanjaan mereka menghadiri majlis penamaan calon bagi pilihanraya kecil, yang akan diisytiharkan sebagai sebahagian daripada perbelanjaan kempen.


4. Seperti yang dinyatakan oleh Thomas Fann, Pengerusi Bersih 2.0 di dalam ulasannya kepada media mengenai insiden tersebut, membayar balik sukarelawan adalah sah di sisi undang-undang sekiranya bayaran itu adalah termasuk dalam RM200,000.00 yang dibenarkan sebagai perbelanjaan kempen, dan diisytiharkan selepas pilihan raya tamat.

5. Saya telah membaca alasan penghakiman Petisyen Pilihan Raya Cameron Highlands. Di dalam Petisyen itu, isu yang perlu ditentukan oleh Yang Arif Hakim Pilihan Raya adalah samada terdapat mana-mana orang yang memberi wang kepada mana-mana pengundi, dan jika ya, samada wang itu diberikan untuk bagi mendorong pengundi untuk mengundi. Ini adalah intipati bagi kesalahan menyogok di dalam Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

6. Selepas mendengar keterangan daripada saksi-saksi kedua-dua pihak, Yang Arif Hakim telah membuat beberapa dapatan fakta bahawa wang telah diberikan kepada pengundi, sama ada oleh calon BN atau wakilnya:

a) RM200.00 diberikan kepada batin sebagai ‘duit rokok’ di SK Sinderut;
b) RM25,000.00 dan RM200.00 diberikan di Pos Lenjang untuk diagihkan kepada batin-batin; dan
c) RM300.00 diberikan kepada batin di sebuah rumah persendirian di Pos Sinderut.

7. Yang Arif Hakim telah mendapati bahawa dalam insiden-insiden ini, wang yang diberikan kepada pengundi telah diberikan untuk mendorong mereka untuk mengundi. Di dalam penghakimannya, Yang Arif Hakim mendapati bahawa samada wang itu diberikan sebagai ‘duit rokok’ atau pembayaran perjalanan kepada pengundi; perbuatan ini masih terjumlah kepada sogokan.

8. Harus diambilkira juga bahawa Datuk Sivarraajh tidak membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan dalam Petisyen pilihan raya tersebut, maka dapatan fakta yang menjahanamkan ini tidak dicabar melalui rayuan.

9. Paling penting sekali, merujuk kepada alasan penghakiman, Datuk Sivarraajh tidak pernah mengutarakan alasan bahawa individu-individu yang diberikan wang ini adalah sukarelawan kempen BN semasa Pilihan Raya Umum. Mengikut dapatan fakta, individu-individu yang dibayar adalah batin dan pengundi, dan wang yang diberikan adalah untuk mendorong mereka supaya mengundi. Tidak ada isu tentang pembayaran balik sukarelawan di dalam Petisyen pilihan raya Cameron Highlands.

10. Menyamakan perbuatan menyogok yang berlaku sebelum ini, seperti yang didapati oleh Yang Arif Hakim dalam petisyen tersebut, dengan pembayaran balik sukarelawan Pakatan Harapan di dalam pilihan raya kecil baru-baru ini adalah suatu percubaan tidak jujur untuk memperkecilkan atau ‘meringankan’ kesalahan-kesalahan berat yang didapati telah dilakukan semasa Pilihan Raya Umum ke 14 di P78.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...