Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 26 Mac 2018

Pemuzik Death Metal Calon PKR Di DUN Labu?

Oleh : The Malaysian Insight

ANGGOTA kugiran Farasu, Mustafa Kamal Abdul Rahman bakal mencipta sejarah jika dicalonkan menjadi wakil rakyat PKR di Labu, Negeri Sembilan oleh pemimpin tertinggi PKR.

Genre yang dibawa Farasu bukan sembarangan. Ia berasaskan death metal, iaitu cabang muzik metal yang terkenal agresif, ekstrem dan melawan arus. Farasu mengolah aliran muzik ini menjadi Nusantara Death Metal, cabang aliran death metal dengan sentuhan muzik berasaskan nusantara.



Mustafa yang juga naib ketua PKR Cabang Rasah berkata, beliau kini menggalas cabaran untuk menepis persepsi bahawa golongan seperti mereka tidak boleh berada dalam sistem politik.

“Saya ingin buktikan bahawa jika kelompok metal diberi peluang, mereka sebenarnya boleh berada dalam sistem dan boleh menyumbang,” kata Mustafa, 39, ketika ditemui The Malaysian Insight.

Mustafa mungkin dicalonkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Negeri Sembilan yang berkemungkinan menyaksikan pertembungan tiga penjuru dengan Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Labu mempunyai 17,812 pengundi dengan majoritinya Melayu (71%), Cina (11%) dan India (15%). Kerusi itu kini diwakili Hasim Rusdi yang juga merupakan exco pertanian dan asas tani Negeri Sembilan.

Menurut Mustafa, dakyah palsu yang melabelkan penggiat muzik metal sebagai ekstrem itu dicetuskan oleh media seperti majalah Mastika, terbitan syarikat dikawal oleh Umno.

Kesemua anggota Farasu, kecuali vokalisnya, juga pernah terbabit dalam politik dan memegang jawatan baik dalam parti pemerintah mahupun pembangkang.

Pemain gitar Farasu, Nahax Saud merupakan bekas ahli jawatankuasa cawangan Umno Bukit Bintang manakala gitaris kedua, Muhamad Faisal Che Leh pernah menjadi naib presiden kelab Umno luar negeri New Zealand. Vokalisnya, Mohd Shah Mohd Zaini tidak melibatkan diri dalam politik.

Penduduk Labu fleksibel, boleh terima wakil rakyat pemuzik

Mustafa menyifatkan DUN Labu sangat kaya dengan warisan seni dan budaya kerana pengaruh kuat budaya Minangkabau.

Oleh itu, Mustafa yang merupakan anak jati Mambau berkata, beliau mahu memartabatkan semula warisan seni dan budaya yang didakwanya telah tenggelam kerana dasar kerajaan negeri.

“Labu ini sangat berpontensi, tapi kerana dasar kerajaan negeri yang tidak mengangkat kebudayaan, jadi imej negeri ini dari segi budayanya tidak diperkasakan,” kata naib ketua PKR Cabang Rasah.

Tambahnya, disebabkan identiti penduduk Labu mempunyai pengaruh keseniaan dan kebudayaan, maka ia bukan perkara janggal jika mereka menerima wakil rakyat yang latar belakangnya seorang pemuzik.

“Satu istimewa Labu ini kita kena tahu penduduknya sangat fleksibel dengan muzik. Kalau kita masuk kampung, ke kenduri, memang wajib ada persembahan band muzik.

“Ia tidak jadi kejanggalan kerana akar budayanya sudah ada di situ. Malah, saya pun bukanlah asing, susur galur saya di sana juga sebab Labu bersebelahan dengan Mambau dan satu mukim dengan Rasah.”


Selama 10 tahun dalam dunia politik, Mustafa pernah memegang jawatan setiausaha kerja majlis pimpinan negeri PKR Negeri Sembilan, dan bekas setiausaha kerja lembaga disiplin parti.

Katanya, pembabitannya dalam PKR bermula ketika jelajah Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim di Negeri Sembilan pada 2007.

“Pada mulanya lebih cenderung kepada parti lebai (PAS). Kebetulan pula, Anwar ada buat jelajah di Rantau masa 2007

“Bila saya dengar ceramah Anwar, saya rasa terus semangat dan nekad masuk PKR. Tapi, sememangnya nak tolak BN dah lama, selepas itu terus saya terlibat membantu PKR di Dun Rantau semasa PRU12,”
kata Mustafa yang juga penulis lirik Farasu.

Mengulas mengenai keadaan politik negeri menjelang Pilihan Raya Umum ke-14, Mustafa bersifat realistik dengan menjangkakan persaingan sengit dengan peluang 50-50 untuk Pakatan Harapan (PH) dan BN.

Pun begitu, bagi Mustafa, PH mempunyai kelebihan berbanding BN jika gabungan pembangkang itu mengumumkan lebih awal calon menteri besarnya sebelum pembubaran Parlimen.

Beliau juga optimis bahawa PH berpengaruh di Negeri Sembilan. Jelasnya, hal ini dapat dilihat apabila BN terpaksa bekerja lebih keras untuk menunjukkan bahawa parti itu lebih bagus.

"Kita tengok memang ada pembangunan dibawa kerajaan negeri tapi pembangunan ini yang kita boleh lihat paling ketara di kawasan DUN dan Parlimen yang mereka kalah kepada pembangkang.

“Dalam erti kata lain mereka (BN) tidak berada dalam keadaan selesa, dan terpaksa keras untuk menjamin kedudukan mereka,”
ujarnya.

Ketika ini, Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN, dengan BN (22) dan pembangkang (14).

Sementara itu, album terbaharu Farasu berjudul "Sulalatus Salatin" akan mula berada di pasaran selewatnya hujung Mac ini. Pelancaran rasmi album itu akan diadakan di Black Box, Publika, Kuala Lumpur pada 1 Julai ini. Antara kugiran yang akan mengiringi pelancaran itu ialah Penunggu, Alyss A Maniac, Gorgonov, Exothermix, Kreacion, Frost & Revenge.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...