Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 8 Mei 2018

Luahan Sayu Anak Ustaz Fadzil Noor..

Oleh : Muna Izzah Fadzil

Menjadi anak seorang ahli politik, bukan mudah.

Apatah lagi politik dalam sebuah parti eksklusif ketika itu. Orang tidak mahu menerima kerana imej parti hanya untuk mereka yang tertentu sahaja.




Pastinya, dan merujuk kepada kes peribadi saya, saya pernah dipulaukan di kalangan pendidik yang tidak sekepala dengan politik ayahanda saya. Tidak memandang pun saya sepertimana kawan yang lain. Mama saya berkata, "Buktikan yang anak Baba bijak dan dipandang tinggi. Biar mereka tahu." Itulah Mama, motivator sebenar.

Apabila pergi interview kerja, diberitahu saya tidak dapat kerana berbintikan Fadzil Noor.


Ketika itu sukar bercerita tentang PAS kerana orang tidak suka dan tidak mahu menerima.

Dalam menyaksikan bagaimana perubahan imej PAS ketika almarhum Baba menjadi Presiden, dan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjadi Mursyidul Am, membawa lonjakan imej mesra rakyat, agama dengan tagline PAS FOR ALL, menyaksikan pelbagai kaum menerima perjuangan dan pemikiran kepimpinan parti ketika itu.

Pun dalam ketika itu, masih ada yang takut dengan bayangan mereka yang berbintikan Fadzil Noor.
Pesan Baba, "Berkawan dengan semua. Parti apapun. Yang pakai tudung ka, pakai jeans ka, kawan".
Pesan Mama, "Rezeki di tangan Allah, bukan di tangan manusia".

Setiap kali saya pergi interview kerja, saya akan bertanya, "Tidak apakah saya bekerja di sini disebabkan parti ayah saya"?
Yang menerima saya berkata ,"Kami tahu menilai".

Dalam musim pilihan raya, apakah mudah-mudah PAS untuk masuk media dan dipuji? Tidak sama sekali.
Mahu tahu siapa yang takut untuk dilawan? Yang diserang di medialah yang paling gentar untuk ditempur.
Itu tip yang almarhum Baba, memberitahu kepada kami.

Oh ya! Ketika almarhum Baba menjadikan songkok sebagai aksesori pemakaiannya selain kopiah, dan memakai kembali kot serta mengadakan program di hotel-hotel, beliau dikritik oleh ahli.

"Kenapa songkok ustaz? Kenapa di hotel? Kenapa bukan jubah?"

Namun beliau konsisten mengaplikasi kemahirannya dalam penampilan imej. Sejak muda beliau dan Mama, memang bergaya. Namun meraikan suasana dalam politik 80an, tidak mudah untuk memakai semua itu, hingga tiba masanya.

Kami memerhati semua itu, tuan-tuan dan puan-puan. Kami rasa semua itu. Kawan-kawan yang kuat berusrah di universiti telefon saya, mempertikaikan semua itu.
Saya beritahu, beliau lebih bijak berpolitik daripada kalian."

Kesan? Besar impaknya kepada perubahan masyarakat.

Tuan dan puan pernah mengalami semua ini? Pernah melihat bagaimana susahnya beliau dan kepimpinan yang ada untuk menjadi sebuah parti kampung kepada parti nasional? Parti yang boleh diterima oleh semua kaum?
Parti yang memimpin agama lain menghormati Islam? Dan parti yang menghormati agama lain? Pernah merasa bagaimana orang tidak setuju dengan keputusannya dan tidak mendengar satu pihak sahaja dalam membuat keputusan?

Kawan dan lawan, nasional dan antarabangsa menyayangi beliau dan sahabatnya yang lain kerana akhlak mereka. Yang tidak menyokong tetap menghormati, yang menyokong lebih menyayangi.

Beliau juga ada kekurangan sebagai seorang manusia, namun beliau tahu menyesuaikan diri dalam kerjaya politik dan bersosial baik sebagai seorang indvidu.

Dan jika ada yang mempertikai saya dan beberapa orang ahli keluarga saya, tidak meneruskan legasi, adakah tuan dan puan nampak apa yang saya nampak? Tidak perlu rasanya, kerana kita berbeza.

Dan jika saya memahami apa mesej kepimpinan beliau ketika itu, di dalam kapal yang berbeza, hanya kerana bertukar nama, itu pengkhianatan? Be mature, my dear friends. Please be mature.

Ya, pengalaman saya secara peribadi berbeza dengan pengalaman peribadi yang lain.
Izinkan saya meneruskan cara pemikiran beliau dalam cara saya. Saya tidak memaksa orang lain memilih sama seperti yang saya pilih, kerana saya tahu kita berbeza.

Dan kini, saya merasa kembali kehidupan saya yang lama. Dipandang pelik dan dipertikai, ya sama sahaja.

Namun, seperti yang saya katakan, Mama adalah motivator paling handal. "Kamu teruskan apa yang baik dalam hidup. Mama tahu apa yang kamu lakukan. Mama sayang semua."

Saya bukan ahli politik. Saya hanya seorang peguam bertauliah. Saya juga adalah perunding imej. Apapun yang saya jadi, biar ianya celik melihat dunia, bukan menutup ruang yang ada.

Jika takut dengan apa yang saya lakukan sekarang, jauhi saya. Jika memahami apa yang mahu disampaikan, terima kasih untuk itu.

Nampak lembut bukan beerti lemah.
Jangan risau, saya sudah lalui semua itu bersama adik beradik saya yang lain. Saya tetap menghormati pendirian yang ada.

Ini kisah saya. Kisah yang banyak kekurangan diri, bangun di celah-celah penolakan dunia. Barangkali ini juga kisah sahabat-sahabat saya yang lain yang juga sama keadaannya.

Kisah orang lain pasti lebih hebat.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...