Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Jumaat, 11 Mei 2018

Ahli UMNO #UndiRosak, Protes Antara Punca Kekalahan Di Johor.

OLEH :  DATO PUAD ZARKASHI
Hari ini Umno menyambut hari kelahirannya yang ke 72 dalam kekalahan yang tragis. Tetapi kekalahan mesti diterima. Ia bukan pengakhiran.
Perang Uhud adalah contoh terbaik. Walaupun kalah tetapi Islam tetap tersebar luas ke pelusuk dunia. Banyak pengajaran dari kekalahan Uhud. Kita mesti mengambil pengajarannya. Iaitu apa yang salah bukan siapa yang salah.

Memang kekalahan akan menyebabkan kedukaan. Paling mendukacitakan ialah kekalahan teruk BN di Johor sehingga beberapa menteri dan timbalan menteri kalah mengejut. Lagi mengejutkan ialah bekas menteri besar Johor, Khaled Nordin juga kalah di Pasir Gudang dan DUN Permas dengan majoriti yang besar.
Pada saya Khaled dan Hishamuddin patut menerima “apa yang salah” di atas kekalahan yang memalukan ini apatah lagi Johor adalah tiang seri Umno.
Seperti komen awal saya sebelum ini, Khaled telah mencemarkan konsep “Muafakat Johor” yang amat dibanggakan oleh orang Johor. Muafakat Johor telah disampahkan sehingga bertukar menjadi retorik.
Seperti juga komen saya sebelum ini Khaled dan Hishamuddin telah memfaraidkan kawasan pilihanraya di Johor untuk kroni mereka bertanding. Ramai ketua bahagian tidak diajak berunding dalam menentukan calon.
Sedangkan mereka itu adalah pimpinan yang dipilih akar umbi. Merekalah yang bertungkus lumus memimpin Bahagian untuk menghadapi pilihanraya. Tiba-tiba mereka diketepikan begitu sahaja.
Maka apakah musibahnya? Kali ini berlaku undi protes dari dalam. Orang Umno melakukan beberapa tindakan balas. Antaranya merosakkan kertas undi, tidak keluar mengundi dan paling teruk ialah mengundi pembangkang.
Itu yang berlaku di Johor. Bukan satu yang rahsia, apabila banyak jentera BN yang bercakap, mereka bekerja hanya berpura pura tetapi dalam hati akan mengundi pembangkang.
Ahli Umno memprotes cara Khaled dan Hishamuddin menentukan calon di Johor. Maka timbullah cakap caka di kalangan ahli Umno sendiri untuk mengajar Khaled khususnya. Dan ia terjadi iaitu tsunami yang turut disertai oleh orang Umno sendiri.
Sebab itu ahli Umno sendiri perlu bangkit dengan berani. Pilih pemimpin parti yang layak. Hapuskan politik “warlord” dalam Umno. Kalau ahli Umno tidak berani melakukannya, Umno akan menghadapi kesukaran untuk bangkit semula.
Memang Najib Razak telah melakukan yang terbaik untuk negara dan parti. Tetapi rakyat seperti dibelenggu dengan persepsi negatif yang tidak lagi boleh diubah.
Najib harus menyedari sikap yang tegas adalah penting. Dia seorang yang “polite” tetapi apabila dia tidak “firm” maka dia akan kalah dengan warlord dalam Umno yang akhirnya boleh mengubah sistem, dasar dan keputusan yang sepatutnya baik. Di penghujungnya perkara yang sepatutnya baik berakhir menjadi tidak baik
Contohnya kuota untuk wanita menjadi calon. Ia penting tetapi jangan sampai moral dan merit calon dkompromikan. Akhirnya ia menjahanamkan imej parti. Umno memang tidak bernasib baik.
Tidak seperti parti pembangkang. Walaupun terpalit dengan isu moral, rakyat tak kesah sebab itu Mat Sabu boleh menang dengan majoriti 71,142 di Kota Raja.
Saya hanya mengatakan “apa yang salah” yang boleh menimbulkan keresahan dalam Umno.
Oleh kerana saya mengkritik “sistem Umno yang rosak” maka sistem ini perlu dibaiki semula. Selepas itu pemimpin mesti “firm” mempertahankannya. Jangan diubah ubah.
Jika tidak, “trust deficit” terus merebak di dalam dan luar Umno. Umno boleh bangkit semula seperti LDP bangkit di Jepun.
Tetap bersama Umno Perjuangan. Hebatkan Umno!
DATUK MOHD PUAD ZARKASHI ialah anggota Majlis Tertinggi Umno dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...