Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 26 Mac 2018

Nak Banding Harga Barang Dengan Negara Lain, Lihatlah Semua Aspek, Jawapan Untuk Menteri.

Oleh : Datuk A Kadir Jasin / Tokoh Wartawan Negara
 


BARU-BARU ini seorang menteri dilaporkan berkata rakyat jelata Malaysia wajib bersyukur kerana harga barang di negara ini lebih rendah daripada di Singapura dan Brunei.

Beliau berkata kita patut berbangga kerana harga barang di Singapura adalah 70 peratus lebih tinggi manakala di Brunei 71 peratus lebih mahal.

Saya telah beberapa kali mengulas isu perbezaan harga di antara sebuah negara dengan negara lain. Tetapi eloklah saya ulang sekali lagi untuk memberi kefahaman yang lebih mendalam. Perbuatan membandingkan harga barang dan perkhidmatan di negara kita dengan negara-negara lain, khususnya negara-negara jiran, tidak boleh dilakukan secara langsung.

Sebarang perbandingan hendaklah mengambil kira beberapa perkara pokok seperti kadar pertumbuhan ekonomi, nilai wang, inflasi dan pendapatan rakyat jelata.

Itu pun ia masih tidak boleh memberi gambaran yang seratus peratus tepat kerana di dalam sesebuah negara mesti ada orang miskin dan ada orang kaya.

Memang betul harga kebanyakan barang dan perkhidmatan di Singapura dan Brunei adalah lebih tinggi daripada di negara kita. Tetapi kita harus ingat dua negara itu adalah negara kecil yang berpendapatan tinggi.

Pendapatan per kapita Singapura pada tahun 2016 adalah AS$53,880 atau kira-kira RM215,520 dan Brunei AS$27,893 (RM111,572) berbanding kita sebanyak AS$9,659 (RM38,636).

Apa yang tidak diketahui ramai ialah pendapatan per kapita kita sebenarnya merosot dengan agak teruk daripada kemuncak AS$11,183 (RM44,732) pada tahun 2014.

Ertinya pendapatan purata rakyat Singapura kira-kira lima setengah kali ganda lebih tinggi daripada rakyat jelata Malaysia manakala Brunei pula hampir tiga kali ganda lebih daripada kita.

Jadi kalau harga barang di Singapura 70 peratus dan Brunei 71 peratus lebih mahal daripada di Malaysia, ia tidaklah menghairankan dan tidak menjadi masalah bagi rakyat jelata mereka.

Sebaliknya berbanding pendapatan, harga di Singapura dan Brunei adalah lebih rendah daripada di negara kita. Harga di Singapura hanya boleh dikira lebih mahal daripada di Malaysia kalau ia lima atau enam kali ganda lebih tinggi dan di Brunei tiga kali ganda.

Kita ambil harga minyak petrol sebagai contoh. Harganya pada 19 Mac lalu adalah kira-kira AS$0.56 (RM2.24) di Malaysia dan AS$1.59 (RM6.36) di Singapura.

Jadi, walaupun pendapatan rakyat Singapura lima setengah kali ganda lebih tinggi daripada kita tetapi harga petrol di negara itu hanya tiga kali ganda lebih mahal daripada di negara kita.

Ertinya, berbanding pendapatan di Singapura dan di Malaysia, harga seliter petrol lebih murah di Singapura. Lagi pula Singapura adalah negara kecil dan padat dengan pengangkutan yang sangat baik. Jadi kos pengangkutan mereka sebenarnya murah.

Cara yang lebih baik dan wajar mengukur harga barang dan kos sara hidup di negara kita adalah dengan membandingkan pendapatan per kapita kita dengan kadar inflasi. Kalau pendapatan per kapita kita meningkat pada kadar yang lebih tinggi daripada kadar inflasi maka secara logiknya taraf hidup kita menjadi lebih baik.

Sebaliknya kalau peningkatan pendapatan per kapita kita lebih rendah daripada kadar inflasi maka taraf hidup kita merosot.

Apa yang berlaku sekarang ialah perangkaan menunjukkan ekonomi kita secara purata berkembang pada kadar yang memuaskan. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 5.9 peratus tahun lalu tetapi rakyat jelata mengeluh bahawa pendapatan mereka merosot dan kos sara hidup meningkat dengan banyak.

Ini adalah kerana pertumbuhan ekonomi kita tidak menyeluruh, kurang bermutu dan tidak disertai oleh pembahagian kekayaan. Pertumbuhan hanya berlaku di sektor-sektor tertentu dan kekayaan negara dikecap oleh segelintir kecil golongan atasan sahaja sedangkan majoriti rakyat biasa tersisih.

Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada semakin ramai penerima ada pengakuan bahawa rakyat jelata kita semakin hari semakin miskin. Wallahuaklam.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...