Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 4 Oktober 2017

Bendera UMNO 'Masuk Sekolah' Atas Faktor Sejarah.

Oleh : Malaysiakini

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zamri Mohd berpandangan bahawa bendera Umno dikibar dan lagu parti itu berkumandang di Sekolah Kebangsaan Presint 14, Putrajaya semalam tidak lebih daripada faktor sejarah.
Padanya, ini kerana Umno adalah salah satu parti yang bertanggungjawab dan penyumbang kepada kemerdekaan negara.
“Saya sukar nak memberikan komen, tetapi mungkin sebab faktor sejarah.
“Dalam subjek Sejarah di sekolah, dalam buku Sejarah ada menyatakan Umno juga merupakan salah satu parti yang turut menyumbang kepada kemerdekaan
“Ini faktor sejarah yang kita tak boleh ubah, memang kita akur bahawa Umno, MCA, MIC (penyumbang kepada kemerdekaan),” kata Zambri yang ditemui selepas dialog TN50 anjuran GPMS dengan tajuk “Anak Muda Makin Parah, Malaysiaku Ke Mana Arah?" di Kuala Lumpur malam tadi.
Zamri berkata demikian ketika diminta mengulas murid sekolah di Presint 14, Putrajaya, semalam yang menyanyikan lagu Umno dan mengibarkan bendera parti itu dalam satu majlis anjuran sekolah berkenaan.
Mengulas lanjut, Zambri berkata apa yang berlaku di sekolah Presint 14, Putrajaya tidak ada apa salahnya dan ia lebih kepada memudahkan murid mengenali Umno.
“(Nyanyian lagu Umno) mungkin sekadar untuk mengenali apa itu Umno, lagu Umno dinyanyikan dan saya rasa tidak ada salahnya.
“Kalau itu niat ia diperkenalkan di sekolah, sebab pada saya pelajar tersebut tidak boleh jadi ahli parti pun. Tetapi diperkenalkan dalam subjek Sejarah, ini parti Umno yang menjadi penggerak kepada kemerdekaan.
“Itu sudut pandangan positif melainkan kalau ada arahan kena sertai Umno,” kata Zamri.
Ditanya apakah perlu lagu Umno dinyanyikan dan bendera parti itu dikibarkan di sekolah, Zamri berkata ia terpulang kepada pihak sekolah terbabit.
“Terpulang kepada pihak sekolah kerana ia lebih kepada faktor sejarah,” kata Zamri ringkas.
Sekolah di Presint 14 Putrajaya semalam bertukar menjadi majlis Umno.
Menerusi pertandingan menghias bilik darjah dan upacara penyampaian hadiah, Kementerian Wilayah Persekutuan mensyaratkan tema “Umno dan Kemerdekaan” digunakan.
Selaras dengan tema itu, sekolah kebangsaan Putrajaya itu bukan sahaja dihiasi dengan bendera kebangsaan tetapi juga kibaran bendera Umno.
Selain itu sepanduk "Hidup Umno, Hidup Melayu, Dulu, Kini dan Selamanya" juga digantung di tengah-tengah pentas.
Acara penuh gemilang itu dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...