Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Mohd Sallehhuddin Hassan ditukarkan ke Jawatan Penempatan Khas, JPA pada jumaat lepas sehari selepas Wee Ka Siong membuat pendedahan mengenai tender RM1.4b NAFAS di Parlimen.
Berita ini bermakna sebelum pemimpin Amanah tularkan tuduhan KSU mensabotaj Menteri Pertanian dan sebelum Khalid Samad membuat pendedahan, ini bermakna awal-awal lagi Ketua Setiausaha Negara, Ismail Bakar telah bertindak ke atas KSU Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Khalid Samad bercakap mengenainya pada hari sabtu. Dan pemimpin Amanah bercakap tentangnya pada ahad. Tetapi pada hari jumaat, rupanya KSU Asas Tani telah ditukarkan.
Menteri Pertanian, Datuk Salahuddin Ayub ketika diminta untuk mengulas isu tersebut berkata tidak tahu menahu samada KSU digantung tugas ataupun tidak, sebaliknya meminta media mendapatkan penjelasan lanjut dari Ketua Setiausaha Negara, Ismail Bakar.
Dalam perkembangan berkaitan, Pensyarah UKM, Kamarul Yusof mengesahkan KSU Perindustrian Utama juga turut ditukarkan ke Jawatan Penempatan Khas, JPA, berkuatkuasa 25 November 2019, Isnin.
"KSU KEMENTERIAN PERTANIAN DAN KSU KEMENTERIAN PERINDUSTRIAN UTAMA DISEJUK BEKU?
Difahamkan bahawa dua Ketua Setiausaha Kementerian telah ditukarkan ke Jawatan Penempatan Khas, JPA, atau dalam bahasa biasa, disejuk beku (“cold storage”), iaitu:
1. Dato' Mohd Sallehhuddin Hassan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, yang merupakan PTD Gred Utama A, yang ditempatkan di Jawatan Penempatan Khas, JPA, berkuat kuasa mulai hari Jumaat, 22 November 2019 (Jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan ditanggung kerja).
2. Dato' Dr Tan Yew Chong, Ketua Setiausaha Kementerian Perindustrian Utama, yang merupakan PTD Gred Utama A, yang ditempatkan di Jawatan Penempatan Khas JPA, berkuat kuasa mulai hari Isnin, 25 November 2019 (Jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Perindustrian Utama akan ditanggung kerja).
Difahamkan bahawa dua pertukaran lain turut dibuat membabitkan:
1. Datuk Isham Ishak, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, yang merupakan PTD Gred Utama A, yang ditempatkan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan berkuat kuasa mulai hari Isnin, 25 November 2019
2. Dato' Jamil Rakon, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, yang merupakan PTD Gred Utama A, yang ditempatkan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, berkuat kuasa mulai hari Isnin, 25 November 2019," katanya dalam kenyataan itu. - 25 November 2019.