Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 27 Ogos 2019

Yana Najib Luah Perasaan Kerana Cukai RM10.3j, Mahu Tunjuk Bukti Difitnah Kerajaan PH.

YANA NAJIB | Kerajaan hari ini nekad untuk mengenakan keseluruhan ahli keluarga saya.


Saya tidak menyalahkan kakitangan LHDN kerana saya tahu kedudukan mereka terikat dan sebenarnya ada ahli-ahli politik yang menjadi dalang di sebalik semua ini.

Pada hari ini, kerajaan telah mengatakan bahawa saya perlu membayar mereka RM 10.3 juta dalam bentuk cukai, penalti, penalti di atas penalti dan kadar bunga ke atas apa yang mereka katakan “pendapatan” saya dari tahun 2011 sehingga 2017.

Sejak mereka mula mengaudit saya tahun lepas, saya telah memberikan segala bukti termasuk dokumen transfer kewangan bank yang terperinci yang menunjukkan bahawa kebanyakan perkara yang dikatakan mereka sebagai “pendapatan dari luar negara” adalah merupakan pemindahan wang dari keluarga belah suami saya.

Saya juga telah memberikan bukti bahawa mertua saya telah membeli sendiri sebuah rumah dengan menggunakan wang mereka dari luar negara.

Keluarga suami saya kemudian telah menamakan saya sebagai pemilik bersama rumah berkenaan.

Entah bagaimana, langkah menamakan saya sebagai pemilik bersama rumah berkenaan dengan suami saya kini dianggap oleh kerajaan sebagai “pendapatan”!

Dan ini membentuk jumlah terbesar apa yang dikatakan “tunggakan cukai” sungguhpun pembayaran bagi pembelian rumah berkenaan tidak langsung melalui saya.

Walaupun saya keberatan mengatakan perkara ini, namun saya terpaksa menjelaskan supaya rakyat faham situasi saya.

Suami saya dan keluarganya sememangnya sudah kaya raya lama sebelum kami berkenalan dan sebelum ini pun ibu mertua saya pernah berkahwin dengan salah seorang billionaire terkaya di Kazakhstan selama 10 tahun.

Apapun, sekiranya anda menganggap pemberian wang dari seorang suami kepada seorang isteri sebagai pendapatan, kesemua transaksi ini adalah dari luar negara dan tidak patut dikenakan cukai. (Pendapatan dari luar negara tidak termaktub sebagai pendapatan yang dikenakan cukai oleh LHDN)

Sejumlah lain dari apa yang dikatakan “pendapatan” oleh kerajaan ini adalah juga wang hantaran dan juga hadiah-hadiah dari keluarga dan rakan-rakan.

Berusia 30 tahun kini dan setelah menghabiskan banyak tahun belajar dan bekerja seketika di luar negara, saya tidak pernah menjalankan apa-apa perniagaan di Malaysia dan saya juga tidak pernah membida atau menerima sebarang kontrak kerajaan atau apa-apa ganjaran.

Dan tidak pernah terlintas di fikiran saya bahawa tindakan suami saya menamakan saya sebagai pemilik bersama rumah kami dan juga pemberian nafkah oleh suami untuk kegunaan rumahtangga boleh dikategorikan sebagai pendapatan.

Seperti kes ayahanda dan adik beradik saya yang juga telah dihentam dengan tuduhan tidak masuk akal, ramai yang tahu tentang kes ini terkejut dan hilang kata-kata melihat bagaimana kerajaan hari ini menyalahgunakan undang-undang secara semborono.

Nampaknya dalam Malaysia Baru hari ini:

1. Nafkah seorang suami kepada isteri adalah dikategorikan sebagai pendapatan dan perlu dikenakan cukai.

2. Wang dari sumber luar negara yang telah sekian lama dikecualikan dari cukai oleh undang-undang kini dikenakan cukai.

3. Suami yang membeli rumah dan menamakan isterinya sebagai pemilik bersama rumah berkenaan kini dianggap sebagai pendapatan si isteri dan dikenakan cukai.

4. Hadiah perkahwinan dan pertunangan serta wang hantaran adalah juga dikategorikan sebagai pendapatan dan wajib dikenakan cukai.

Kesemua bukti ini akan dikeluarkan di mahkamah satu hari nanti dan seluruh dunia akan mengetahui akan betapa mengarutnya segala pertuduhan ini.

InsyaAllah, kebenaran pasti tertegak. - 27 Ogos 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...