Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 3 September 2019

Kos Sara Hidup, Harga Rumah, Tangga Gaji Yang Kulasegaran Patut Selesaikan Bukan Had Usia Pesara...

Wan Zamzahidi bin Wan Zahid | Hari ini (2 September 2019), kita membaca di media-media utama tentang kenyataan Menteri Sumber Manusia, S. Kulasegaran bahawa kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk menaikkan had usia persaraan wajib dari 60 tahun menjadi 65 tahun.


Ianya dikatakan adalah cadangan dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia atas sebab melihat kepada keadaan sekarang yang mana ramai pesara berada dalam keadaan tidak bersedia untuk bersara, terutamanya dari segi ekonomi. 

Bagaimanapun, melanjutkan usia perkhidmatan demi menambah sedikit tabung persaraan adalah umpama memberi parasetamol kepada orang demam. Sekadar sebagai penahan kesakitan tetapi tidak merawat punca kenapa demam itu berlaku.

Sebenarnya, kerajaan perlu melihat pada skop yang lebih meluas. Kadar gaji yang rendah dan kos sara hidup yang tinggi perlu ditangani terlebih dahulu kerana ianya adalah sebenarnya 'punca' kepada 'demam ekonomi' bakal pesara ini. 

Dalam satu kajian oleh Bank Negara sebelum ini, telah dinyatakan bahawa gaji berpadanan minima untuk pekerja di Malaysia adalah di sekitar RM2700. Bayangkan berapa jauh perbezaan nilai tersebut dengan had minima gaji yang ditetapkan kerajaan iaitu pada RM1100 sekarang. Tambahan pula kehidupan di bandar besar yang dibelit seribu satu kepayahan. 

Kerajaan seharusnya mengkaji lebih mendalam tentang hal ini. Walaupun telah diwujudkan Majlis Perundingan Gaji Minima sebelum ini, tapi dalam menetapkan gaji minima, pendapat mereka ini tidak diambil kira.

Satu perkara lagi yang menyumbang kepada masalah ini, adalah juga berkaitan polisi perumahan negara. Banyak projek perumahan yang dikatakan sebagai projek rumah mampu milik tetapi hakikatnya bukan mampu milik, tetapi mampus milik. 

Pembeli rumah terpaksa berusaha untuk bekerja bagi menjelaskan bayaran rumah yang tinggi. Saranan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan agar bank-bank memudahkan keperluan untuk pinjaman perumahan sebenarnya tidak membantu, cuma sekadar menjerat pembeli pada kadar waktu yang lebih lama. Bila ada keperluan untuk membayar ansuran bulanan rumah walaupun setelah bersara, nampak ianya menjadi satu asbab perlunya untuk persaraan mereka dilambatkan. Ini jelas membawa rakyat ke arah yang salah.

Akhir sekali, sekiranya usia persaraan dilanjutkan, pasti akan menutup ruang dan peluang kepada golongan muda yang ingin memasuki bidang pekerjaan. Setiap tahun ada ribuan graduan yang dilahirkan oleh institusi pengajian dan selain dari itu juga ada golongan muda yang memerlukan pekerjaan, dan pastinya ruang untuk mereka akan menjadi lebih sempit berbanding sekarang. Kesan lansung dari perkara ini, kita akan menyaksikan kadar pengangguran yang lebih tinggi berbanding sekarang. Tambahan pula, mereka ini mempunyai pinjaman pendidikan yang perlu mereka bayar. Kesan tidak langsung dari perkara ini, akan tercetus lebih banyak masalah sosial dalam masyarakat. Kerana ada golongan muda yang tidak berpeluang untuk mempunyai pekerjaan ditambah dengan keperluan untuk meneruskan kehidupan, banyak perkara negatif mungkin akan timbul. Semua perkara ini perlu diperhalusi terlebih dahulu sebelum keputusan ini diambil.

Justeru, kami membantah cadangan melanjutkan usia persaraan wajib ini dan dalam masa yang sama, menyeru kerajaan agar melihat kepada persoalan-persoalan yang telah ditimbulkan ini dan menanganinya satu persatu secara berkesan bagi memastikan keputusan yang lebih baik dapat dicapai.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...