Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Ahad, 1 September 2019

Bekas MB Johor Luah Perasaan, Tiada Apa Yang Barunya Dengan Malaysia Sekarang..

KENYATAAN MEDIA | Menjawab Lim Kit Siang

1 September 2019
Saya membaca keluhan dan kekecewaan YB Lim Kit Siang seperti berita yang tersiar di Malaysiakini bertarikh 28 Ogos 2019 yang bertajuk 'Patutkah saya lupakan Malaysia Baru dan berundur, soal Kit Siang', Saya rasa terpanggil memberikan pandangan berhubung kenyataan YB itu sendiri. Saya sarankan YB melupakan sahaja retorik Malaysia Baharu. Pasti YB sendiri sangat sedar bukan, bahawa Malaysia Baharu itu tidak diasaskan pada pemikiran politik yang sebenar?


Pertama, tiada yang baru tentang Malaysia setelah kemenangan PH. Apa yang barunya tentang drama Anwar Ibrahim yang terus berharap untuk menggantikan Tun Mahathir? Maaf, setakat ini belum ada kekosongan jawatan. Apa yang barunya dengan dasar-dasar PH yang hanya menjenamakan semula program lama? Dulu Lynas bakal menjadikan Malaysia beracun. Sekarang ia diteruskan dengan seribu justifikasi.
Apa yang barunya dengan penipuan pemansuhan tol oleh YB Tony Pua, penghapusan bayaran hutang PTPTN dan kos sara hidup yang tinggi? Apa yang barunya dengan naratif kononnya Sabah dan Sarawak tidak terbela dengan baik? Sedangkan kini sekolah-sekolah di Sarawak diugut oleh anak YB sendiri agar tidak diberikan bantuan sehinggalah hutang Kerajaan Negeri lunas.

Apa yang barunya apabila berjuta peluang pekerjaan yang dijanjikan sebelum ini rupanya dijawab dengan memperkenalkan Gojek. Barangkali 300 ribu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura yang dijanjikan untuk dibawa pulang sebelumnya kini akan berlumba-lumba pulang demi merebut peluang keemasan ini.

Apa yang barunya bila Menteri Pendidikan, sehingga sekarang tidak boleh membuat keputusan sama ada UEC akan diiktiraf atau tidak. Biarpun itu adalah manifesto PRU. Apa yang barunya, jika YB sendiri gagal meyakinkan masyarakat Cina dan India untuk menerima khat di sekolah vernakular. Sedangkan, kalian mendendangkan Malaysia yang lebih terbuka, tidak rasis dan tidak prejudis.

Apa yang barunya bila Ketua Pesuruhjaya SPRM, Ketua Polis Negara, Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya, Ketua Pesuruhjaya SPAD, 13 pegawai penyelaras sukan negeri dan pelbagai lantikan ke institusi awam dan akademik dibuat tanpa melalui proses dan mekanisme yang kamu janjikan. Malah, hampir kesemuanya adalah lantikan politik dari kalangan parti dalam pakatan anda?

Apa yang barunya dengan retorik Perdana Menteri dan rakan-rakan YB tentang kebanjiran pelabur China di Johor adalah satu penjajahan dan penjualan negara. Yang peliknya, kini semua itu semakin digalakkan. Sehinggakan pembinaan rumah kos rumah pun hendak diserahkan kepada kontraktor China.

Apa yang barunya dengan cerita hutang negara yang melambung? Sedangkan kini Kerajaan merancang untuk menerbitkan pula Bon Samurai Kedua biarpun setelah menambah hutang negara ke tahap yang sangat menggerunkan?

Apa yang barunya tentang luar bandar Malaysia sekarang? FELDA tidak bertambah baik. Harga sawit terus merudum. Hidup petani dan pesawah semakin sempit.

Kesemua ini adalah petunjuk jelas bahawa Malaysia Baharu adalah satu gimik politik yang tidak boleh dipertahankan.

Kedua, saya ingin mengingatkan YB bahawa DAP selalu menggunakan alasan yang suhu perkauman di Malaysia semakin meningkat kerana pihak tertentu menggunakan sentimen perkauman.

Siapa mereka itu YB? UMNO-PAS atau Malaysiakini atau akhbar Cina? Atau YB, anak YB dan parti YB?

Biar saya nyatakan realitinya. Pergilah ke mana-mana sudut negara ini, tiada orang Melayu yang menzalimi bangsa Cina dan tiada orang Cina yang menzalimi bangsa Melayu atau India. Keadaan di lapangan sangat harmoni. Kebanyakan kami rakyat di bawah tidak melihat ras sebagai masalah harian dalam kehidupan Malaysia yang majmuk.

Orang Melayu terus ke kedai Cina, menggunakan kontraktor Cina dan setia berurusan dan menyimpan dengan bank-bank milik Cina. Orang Cina terus mengunjungi kedai nasi lemak orang Melayu, sarapan roti canai di kedai India dan menaiki Grab yang dipandu orang Melayu.

Realitinya, kehidupan Malaysia muhibah. Hanya YB, anak YB dan rakan-rakan DAP sahaja yang terus meniupkan rasa khuatir seolah-olah suhu perkauman semakin meningkat, hanya kerana orang Melayu tidak mendukung Pakatan Harapan.

Jangan YB lupa bahawa Tun Mahathir pernah menjadi sebahagian dari Perkasa. Dan pernah dilabel oleh DAP sebagai ultra Melayu. Nah, yang itulah sekarang pujaan hati YB dan sekutu.

Ketiga, pada kebanyakan rakyat Malaysia, tiada Malaysia baru atau Malaysia lama. Hanya Malaysia.

Ini negara kami nan satu-satunya. Menukar pemerintah bukan bererti menukar negara dan segala struktur asasnya.

YB bercakap tentang Malaysia Baharu, adalah YB, anak YB dan konco-konco YB. Seolah-olah YB adalah pejuang pembebasan yang terpenjara berpuluh tahun dan akhirnya setelah dibebaskan berjaya menumbang Kerajaan yang zalim.

Biar saya ingatkan YB. Yang baru tidak semestinya baik dan yang lama tidak semestinya jelik. Pemikiran sebegini sangat songsang dan keanak-anakan.

Apa YB lupa, BN telah membina negara ini dengan jayanya. Jika tidak, masakan peralihan kuasa berlaku dengan aman dan baik. Jika tidak, masakan Kerajaan dapat berfungsi seusai pilihan raya. Jika tidak, masakan wujud generasi yang sangat waras dan tegas menentang apa yang mereka anggap korupsi dan kejahatan.

Jika benar BN dan orang Melayu yang mendukung UMNO ini terlalu jahat, tidak akan pernah wujud ruang peralihan kuasa dan pemugaran demokrasi di negara ini.

Setelah BN tumbang, tidak ada satu pun tunjuk rasa yang UMNO dan PAS anjurkan. Kami sangat menghormati pilihan rakyat dan kami menerimanya dengan berlapang dada.

Malangnya, setelah lebih setahun memerintah dengan kualiti pentadbiran yang gagal, maka cara paling mudah untuk mengalih ketidakpuasan hati rakyat ialah mencari kambing hitam. YB enggan menerima hakikat bahawa yang menggantikan kleptokrasi adalah kakistokrasi. Malah kini, pelbagai episod video seks, jenayah seksual dan rujukan bahan lucah dilakukan oleh anggota Kerajaan. Seolah-olah, kakistokrasi kini berubah pula menjadi pornokrasi.

Maka timbullah tuduhan bahawa ada pihak tertentu yang bermain sentimen kaum dan agama. Malah, rakan-rakan YB sehingga ke hari ini masih bercakap tentang 'kartel' dan 'deep state' yang tidak ada siapa pun faham maksudnya. Barangkali, para jemaah menteri yang bersijil palsu dengan kelayakan luar negara yang ditipu boleh memberikan pencerahan kepada kami yang hanya belajar dengan jujur di universiti tempatan.

Saya ingin bertanya. Selain perkauman, selama 60 tahun apa yang sebenarnya telah YB atau DAP bantu jayakan di tanah air ini?

Jika DAP bukan perkauman, masakan setelah 60 tahun, ia terus gagal meyakinkan orang Melayu untuk mendukung perjuangannya. Jika DAP bukan perkauman, mengapa ia menjadi cacing kepanasan apabila Perdana Menteri menyelar Dong Zong sebagai rasis? Jika DAP bukan perkauman, mengapa penyatuan orang Melayu Islam disamakan dengan gerakan pengganas?

Setelah 60 tahun, satu-satunya 'jasa' DAP adalah memastikan orang Cina hanya menyokong agenda rasis DAP. Sebab itu, sejak 6 dekad sehinggalah setelah membentuk Kerajaan, tiada Melayu atau India atau Iban atau Kadazan atau orang Asli yang berbondong-bondong menyertai DAP.

Sebabnya mudah. Impian DAP tentang Malaysian Malaysia yang tidak beragama rasmi itu sangat terpisah dari realiti Malaysia.

Keempat, berundurlah YB. Malaysia memerlukan kesegaran baharu.

Malaysia berterima kasih kepada Tun Mahathir, Anwar dan rakan seangkatan mereka kerana sama-sama menyumbang dalam mencorakkan politik Malaysia.

Tetapi, Malaysia ini bukan tentang anda semua selamanya. Malaysia bukan tentang legasi Tun Mahathir dan cita-cita Anwar Ibrahim. Negara ini memerlukan generasi pelapis untuk mengambil alih. Kalau Singapura, Filipina, Indonesia, Thailand hatta Vietnam sudah ada generasi pemimpin baharu, mengapa kita masih lagi bergantung harap pada sang negarawan yang dari generasi pertama.

Ingatlah YB, yang Malaysia perlukan bukan sekadar menukar nama. Tetapi melebar makna dan menebar pesona. Itu, bukan sesuatu yang anda fahami. Apatah lagi miliki.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...