Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 25 Julai 2019

Tarik Balik Rayuan Balas Pendakwaraya Terhadap Kes Wanji, Kata Kit Siang Kepada Tommy.

The Malaysian Insight | PEGUAM Negara Tommy Thomas harus menimbang untuk menarik balik rayuan balas pihak pendakwaan terhadap hukuman ke atas aktivis politik Haris Ibrahim yang didapati bersalah mengikut Akta Hasutan 1948, kata veteran DAP Lim Kit Siang.


Beliau mengingatkan Pakatan Harapan sudah berjanji semasa pilihan raya umum yang lalu untuk memansuhkan undang-undang zalim termasuk Akta Hasutan.

“Sehingga janji itu dikotakan dengan penggubalan di Parlimen, Peguam Negara harus menyemak semula semua kes hasutan yang masih ada di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, apa yang berlaku kepada pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin baru-baru ini tidak harus dibiarkan berulang.

Lim merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 Julai lalu yang mengekalkan sabitan terhadap Wan Ji dan menambah tiga bulan lagi hukuman penjara menjadikan hukumannya penjara setahun.

Wan Ji disabitkan tuduhan mengikut Akta Hasutan kerana menghina Sultan Selangor pada 2012.

Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Haris pada 26 Ogos ini untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menggantikan hukuman penjara dengan denda RM4,000.

Haris, penggerak kempen Asalkan Bukan Umno (ABU) menjelang pilihan raya umum 2008, disabitkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan hasutan berhubung ucapannya di Dewan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada 13 Mei 2013.

Beliau merayu sabitan itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menggantikan hukuman penjara kepada denda pada Jun tahun lalu.

Selepas riuh rendah berbangkit daripada tambahan hukuman ke atas Wan Ji, Thomas dalam satu kenyataan berkata beliau tidak maklum akan kes berkenaanmanakala rayuan balas pendakwaan dibuat sebelum Pakatan Harapan menang pilihan raya pada 9 Mei 2018.

Peguam kepada Wan Ji, Mohd Radzlan Jalaluddin bagaimanapun membidas, mustahil Pejabat Peguam Negara tidak tahu kerana representasi sudah dibuat oleh badan hak asasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kes Wan Ji pula memberitahunya beliau tidak dapat arahan untuk menarik balik rayuan balas.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...