Dia juga kata kes ini membuang masa (tidak penting).
Kebiasaannya, seseorang akan rasa tertekan apabila dia cuba menyembunyikan sesuatu atau terpaksa berbohong kerana kepentingan lain.
Orang Melayu kata, "Berani kerana benar, takut (tertekan) kerana salah."
Dan saya juga musykil bagaimana dia boleh fikir yang kes ini buang masa atau tidak penting.
Apabila ada kes salahlaku seks yang melibatkan seorang menteri kerajaan yang telah berkahwin tular, ia adalah satu isu moral dan undang-undang yang penting.
Sebab menteri itu dikenali ramai dan adalah pemimpin yang menjadi contoh tauladan kepada rakyat.
Jika menteri pun ada masalah moral salahlaku seks dan curang kepada isterinya, serta penguatkuasa undang-undang dan polis pula ambil sambil lewa dengan siasatan dan mengatakan ianya buang masa, lantas menteri itu terlepas begitu sahaja, mesej apa yang ingin sampaikan kepada rakyat dan anak-anak kita?
Mungkin ada orang yang pegang bukti-bukti yang boleh digunakan ke atasnya.
Bolehkah kita percaya menteri seperti ini?
Dahulu saya pernah buat saranan terbuka di media supaya Ketua Pesuruhjaya SPRM (Shukri Abdul) meletak jawatan kerana dia tidak telus dan tidak profesional dalam menjalankan tanggungjawabnya.
Kini saya ingin sarankan, jika Ketua Polis Negara tidak cekap menjalankan tugas, mengambil sambil lewa kes penting, tidak boleh menunjukkan profesionalisme dan ketelusan dalam kerjanya, atau dilihat menjadi alat politik pihak-pihak tertentu sehingga rakyat telah hilang kepercayaan kepada pihak polis, dia perlu meletakkan jawatan.
Rakyat perlukan Ketua Polis Negara yang telus dan neutral, bukan yang boleh dijadikan alat politik.
Jika kita diberi amanah, maka laksanakanlah amanah tersebut dengan sejujurnya.
Jika tidak, kita bukan hanya perlu menjawab kepada pembangkang di dunia, tetapi juga kepada Allah SWT di akhirat kelak.
Takutlah kepada Allah SWT, bukan kepada manusia.
Allah itu adalah sebaik-baik pelindung.