Maka. Ini cuma membuktikan bahawa Shafee sedar tentang persepsi rakyat bahawa mereka tidak menyakini Anwar Ibrahim meliwat Saiful Bukhari. Sedangkan Anwar telah pun dijatuhkan hukuman bersalah malahan telah pun dipenjarakan pada selasa lepas selepas dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun. Untuk apa dia mahu memaksa kita menyakini dan mempercayai bahawa Anwar Ibrahim meliwat SBA sedangkan proses pembuktian di mahkamah telah pun selesai kan?
Perkara seperti sumpah dan sebagainya ini tidak perlu.
Bahkan dia tiada keperluan untuk memaksa dan mendesak kita mempercayai apa yang dia mahu percaya. Memandangkan Anwar yang dia kata bersalah sedang menjalani hukuman penjara. Peduli la kita nak percaya atau taknak yang penting keputusannya Anwar bersalah dan sedang pun menjalani hukuman.
Pada aku. Sebagai seorang peguam ini la yang dia patut fikir.
Kita neh nak pongpang apa pun bukan boleh ubah keputusan mahkamah.
Pelik. Pelik. Sebagai seorang peguam dia lagi terkesan dengan tindakan dan persepsi kita yang tidak mahu mempercayai Anwar meliwat bahkan sanggup bersumpah apa bagai berbanding menyakini keputusan mahkamah yang telah pun menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Anwar. Penting sangat ke apa yang rakyat fikir pada dia?
Baca ;
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berani melafazkan sumpah di masjid atau di tanah suci Mekah berhubung kes Liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau percaya ketua pembangkang itu sememangnya bersalah.
Bercakap dalam satu temubual eksklusif dengan Mingguan Malaysia, beliau yang mengetuai pendakwaan kes tersebut menafikan menganiayai Anwar semasa mengemukakan petisyen rayuan supaya Ketua Umum PKR itu disabitkan hukuman mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan 3 tahun lalu.
"Kalaulah saya aniaya Anwar, tidak payah tunggu saya mati masuk neraka. Di sini, di dunia saya sudah masuk neraka. Kalau tidak jadi kepada saya, mungkin jadi kepada anak atau keluarga saya.
"Saya berani bersumpah di masjid atau di Mekah apabila saya buat rayuan kes ini, saya dengan jujur percaya Anwar salah," katanya dipetik akhbar milik Umno itu hari ini.
Shafee berkata demikian menjawab pelbagai teori konspirasi dan tuduhan yang mengatakan Anwar tidak bersalah, sebaliknya dianiaya “orang jahat” seperti yang didakwa beliau sendiri semasa di dalam mahkamah.
Kes Liwat II melibatkan Anwar yang bermula sejak 2008 menemui noktahnya pada 10 Februari lalu apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan beliau bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara.
Shafee berkata, beliau langsung tidak ada isu peribadi dengan Anwar dan hanya melaksanakan tugas yang diberikan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.
Katanya, beliau tidak akan mengambil kes itu jika percaya Anwar dianiaya pihak tertentu.
"Tetapi saya percaya apabila saya lihat rekod rayuan tersebut. Hari pertama saya dapat (rekod rayuan), saya sudah baca sampai pagi sebab saya hendak tahu dengan jelas.
"Tidak ada langsung keraguan bagi saya yang Anwar bersalah. Saya terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi melepaskan Anwar dan sebab asas hanyalah berkenaan dengan beg plastik," katanya.
Beliau juga berkata, Anwar sepatutnya berterima kasih kepada Gani kerana mendakwanya dibawah Seksyen 377B, dan bukannya 377C yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 5 tahun dan maksimum 20 tahun serta rotan.
"Orang lebih 50 tahun tidak boleh dirotan, kecuali kes 377C sebab kes itu serius.
"Mungkin sebab itu Peguam Negara tidak mahu kontroversi sangat, sebab Anwar sudah berumur dekat 70 tahun.
"Dia patut berterima kasih kepada Peguam Negara," katanya.
Shafee juga mencadangkan Gani mengambil tindakan terhadap bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga kerana mengaitkan insitusi kehakiman dengan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Katanya, Ambiga sepatutnya didakwa menghina mahkamah kerana menyabitkan mahkamah seolah-olah terlibat dalam sebahagian langkah BN mahu memenjarakan Anwar.
"Saya cadangkan Peguam Negara ambil tindakan. Kalau perkara begini dikeluarkan, takkan kita tidak boleh jawab? Kalau kita tidak jawab, rakyat masih percaya," katanya.
Ambiga pada 13 Februari dilaporkan berkata, Shafee mengeluarkan kenyataan menghina terhadap Anwar dan beliau terkejut kerana tiada peguam negara atau timbalan pendakwa raya membuat kenyataan seperti itu selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan.
Responsnya dibuat terhadap Shafee yang mengeluarkan kenyataan 20 perenggan kepada media, mengkritik ahli Parlimen Permatang Pauh itu kerana memberi kenyataan dari kandang tertuduh, dan tidak mahu duduk di kandang saksi untuk disoal balas seperti Saiful.
Mengulas lanjut, Shafee berkata, Anwar penakut dan cuba menyembunyikan perkara sebenar apabila hanya beri keterangan dari kandang tertuduh.
"Selalunya keterangan dari 'dock' ini, orang-orang yang lemah fikiran dan otaknya tidak pandai. Mungkin orang terlalu muda atau ada cacat sedikit cara pemikirannya.
"Anwar bukan sebegitu. Anwar cakap lancar, bijak fikiran dan orang yang petah. Pasal apa dia tidak masuk dalam kandang saksi?
"Walhal subjek, Saiful ini, 7 hari disoal balas dan Saiful sekali pun tidak tersilap dari segi beri keterangan. Jadi, mahkamah jelas. Anwar main sandiwara banyak sangat," katanya. -TMI.