Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Jumaat, 3 Mei 2019

'Pasukan De Facto DAP' Nak Ubah Sejarah? Ini Penjelasan KPM.

Kenyataan Media | KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA TOLAK FITNAH MENGENAI PINDAAN KANDUNGAN SUBJEK SEJARAH

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius tulisan di media sosial yang mendakwa ada 'pasukan de facto DAP' dalam KPM yang mahu 'hijack' atau mengubah subjek Sejarah sekolah rendah dan sekolah menengah.



Ini merupakan satu tuduhan liar yang dikitar semula dan berunsur fitnah meskipun pernah diperjelaskan dan disangkal oleh YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pendidikan pada 23 Disember 2018.

Kurikulum Kebangsaan termasuk subjek Sejarah akan terus kekal, melainkan jika ada cadangan atau saranan yang baharu daripada Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) dan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKD).

MPPK dan JKD sedang dalam proses menjalankan kajian dan mendapatkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan berhubung cadangan dan syor penambahbaikan menyeluruh ke atas sistem pendidikan Malaysia, termasuk dari aspek sistem dan dasar pendidikan kebangsaan.

Untuk rekod, semakan semula bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah bermula pada tahun 2017, sebelum Plihan Raya Umum ke-14, di mana KPM mengambil usaha berterusan untuk menambah baik kurikulum sedia ada untuk semua mata pelajaran.

Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah (Panel Pakar Rujuk) telah dibentuk pada tahun 2017.

Kurikulum Sejarah bagi KSSR (Semakan 2017) Tahun 4 hingga Tahun 6 dan KSSM Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 telah selesai disemak oleh Panel Pakar Rujuk.

Buku teks Sejarah KSSR Tahun 4 hingga Tahun 6 dan KSSM Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 telah selesai disemak dari segi pengesahan fakta pada 2018, manakala buku teks KSSR (Semakan 2017) Tahun 4 dan KSSM Tingkatan 4 masih dalam proses penerbitan.

KPM yakin dan percaya dengan kebijaksanaan dan kewibawaan Pengerusi Panel Pakar Rujuk dan ahli-ahli panelnya yang profesional dalam membuat keputusan sewajarnya berkenaan dengan penggubalan dan penambahbaikan kurikulum Sejarah tanpa pengaruh mana-mana pihak.

Sehubungan itu, dapatan jawatankuasa, kurikulum dan buku teks termasuk Sejarah akan diteliti semula berdasarkan pandangan dan laporan akhir daripada MPPK dan JKD.

Berhubung dengan dakwaan pegawai-pegawai yang sedia ada di Unit Sejarah, KPM telah digantikan dengan pegawai baharu yang tidak berlatarbelakangkan sejarah, Kementerian ingin menegaskan bahawa dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali. Ini kerana tiada sebarang pertukaran pegawai dilaksanakan sejak 2017.

Oleh itu, KPM menegaskan bahawa sehingga kini sistem dan dasar pendidikan sedia ada masih kekal.

Tulisan yang sedang tular di media sosial merupakan satu tuduhan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab dengan niat memburukkan imej KPM.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
3 MEI 2019

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...