Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 29 April 2019

#PRKSandakan : Calon DAP Dikecam Kerana Bersihkan Kubur Umat Islam, Ini Penjelasan Pemuda PH.

Kenyataan Media, Razeef Rakimin Setiausaha Pemuda Pakatan Harapan, Sabah | Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Hari ini saya rasa terpanggil untuk memberikan sedikit ulasan selepas tular gambar calon DAP PRK Sandakan yang juga anak kepada mantan MP Sandakan mendiang Stephen Wong, Vivien Wong sedang membersihkan tanah perkuburan Islam. Dalam banyak ciapan di media sosial dikatakan ia taktik kempen DAP paling teruk.

 

 
Memang bagi sesetengah orang ia adalah pelik dan lebih pelik kerana ianya dilakukan ketika kempen PRK Sandakan. Namun ini adalah perkara biasa yang dilakukan komuniti DAP dan Pakatan Harapan di Sabah dan saya menyokong tindakan kemasyarakatan yang dilakukan saudari Vivien Wong serta komuniti DAP Sandakan.

DAP Dan Kerja Kemasyarakatan

Untuk pengetahuan, mantan MP Sandakan mendiang Stephen Wong tidak asing dalam kerja-kerja kemasyarakatan membersihkan tanah perkuburan Islam.

Pada 14 Jun 2015 (lihat gambar), mendiang Stephen Wong bersama penduduk Tg.Papat mengadakan acara gotong royong membersihkan tanah perkuburan Islam. Pada 5 Ogos 2018 (lihat gambar) juga mendiang bersama komuniti DAP serta penduduk Kg.Sim Sim Berhala Darat melakukan aktiviti sama.

 


 
Jika dilihat pada tarikh yang dinyatakan ia bukanlah dilakukan semasa kempen pilihanraya. Malah kerja gotong royong membersihkan tanah perkuburan Islam sudah sering kali dilakukan dan dianjurkan DAP Sandakan yang dipimpin mendiang.

Bukan itu sahaja, DAP Sandakan juga amat aktif dalam pelbagai aktiviti gotong royong dan kemasyarakatan dan saya yakin rakyat Sandakan sudah amat mengenali dan tahu kerja-kerja kemasyarakatan yang dilakukan DAP Sandakan sejak menjadi pembangkang sehingga kini setelah menjadi kerajaan.

Nilai Diri, Ambil Positif

Saya amat berharap usaha murni yang dilakukan ini dipandang dan diambil positif oleh semua lapisan masyarakat kerana saya yakin apa yang dilakukan saudari Vivien Wong bukanlah untuk Pilihanraya Kecil semata kerana DAP Sandakan memang amat dikenali dengan kerja-kerja kemasyarakatan.

Apa yang dilakukan oleh komuniti DAP Sandakan wajar dijadikan contoh kepada semua pihak bahawa semua masyarakat mampu mengekalkan keindahan dan kebersihan kawasan kediaman serta seluruh persekitaran andai semua berganding bahu tanpa mengharapkan bantuan organisasi tertentu mahupun dana untuk menjaga kawasan persekitaran. Ia juga mampu mencegah dari pelbagai jenis penyakit antaranya kolera dan denggi.

DAP Membentuk Perpaduan

Perpaduan antara masyarakat harus kukuh untuk negara pergi lebih jauh dalam lapangan dunia moden apatah lagi masyarakat di Malaysia adalah masyarakat berbilang kaum. Maka, perlu ada aktiviti yang berguna untuk merapatkan persefahaman antara kaum itu seperti gotong royong yang mampu membentuk masyarakat yang kondusif.

Melalui semangat bantu-membantu dan bekerjasama membersihkan tanah perkuburan, kawasan perumahan, taman permainan mahupun rumah ibadat, akan wujud rasa kekitaan yang tulen. Aktiviti ini merapatkan masyarakat kepada nilai-nilai murni. Rasa kekitaan, rasa prihatin, dan penyayang sesama individu dalam masyarakat akan membantu hasrat kerajaan untuk negara mara lebih ke depan dalam era globalisasi ini.

Hal ini berdasarkan kesan positif gotong-royong yang sebenarnya membantu menangani gejala-gejala buruk dalam masyarakat seperti penagihan dadah dan kecurian, lebih-lebih lagi gotong-royong melibatkan penglibatan menyeluruh ahli masyarakat terutama golongan muda. - 29 April 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...