1. Merujuk kepada laporan media Harian Metro yang bertajuk "Mahal bona sewa ni Jang" berkenaan kenaikan harga sewa tapak di Dataran Senawang, saya terpanggil untuk menjawab beberapa perkara setelah menyelusuri dan memahami isu sebenar yang berlaku.
2. Lazimnya setiap kali musim perayaan tiba, tapak perniagaan di Dataran Senawang khususnya sering menjadi rebutan peniaga. Namun pada edisi Ramadhan tahun ini, timbul rungutan oleh seorang peniaga yang mendakwa harga sewa tapak RM100 telah naik mendadak menjadi RM900.
3. Untuk pengetahuan umum, ketika zaman pemerintahan kerajaan lama, Majlis Perbandaran Seremban (MPS) telah melantik dan memberi mandat kepada persatuan peniaga dan juga beberapa NGO untuk menguruskan sewaan tapak perniagaan di Dataran Senawang (khas bulan puasa).
4. Melalui pengurusan persatuan dan NGO yang menjadi 'orang tengah', tapak perniagaan disewakan kepada peniaga dengan harga yang sangat tinggi malah ada yang mencecah belasan ribu ringgit di lokasi strategi.
5. Harga sewa tapak RM100 yang dimaksudkan hanya bermula dua tahun lalu. Ia dibuka kepada peniaga 'Rambo' yang berleluasa ketika itu. Lokasi sewaan RM100 untuk peniaga 'Rambo' ditempatkan di lokasi paling belakang sekali. Ketika yang sama, harga sewaan di tempat lain mencecah ribuan ringgit biarpun untuk saiz tapak yang sama iaitu 10x10 kaki.
6. Di atas inisiatif kerajaan negeri untuk tahun 2019, tiada lagi sistem 'orang tengah' dibenarkan berlaku. Sistem 'orang tengah' ini hanya mengambil untung 'atas angin' semata-mata. Justeru itu, MPS telah menggerakkan sebuah pasukan taskforce untuk mengurus dan menyelia sewaan tapak di beberapa kawasan termasuklah di Dataran Senawang.
7. Harga yang ditawarkan kepada peniaga hanya RM900, inklusif kanopi baru bersaiz 10x10 kaki, jaringan sumber letrik, kos pembersihan serta kos kawalan dan keselamatan anggota Rela.
8. Jika Bazaar Jalan Tunku Abdul Rahman (Jalan TAR) menjadi lokasi tumpuan warga Lembah Klang, Dataran Senawang pula merupakan lokasi tumpuan bagi warga Seremban dan Negeri Sembilan. Maka sewaan RM900 ini adalah harga yang berpatutan ditawarkan untuk peniaga bulan puasa di Dataran Senawang, yakni lokasi paling meriah menjelang perayaan Aidilfitri.
9. Tahun 2019 menyaksikan tiada lagi tapak harga RM100 untuk peniaga 'Rambo' dibuka. Ia tidak adil buat peniaga lain yang mendaftar dan membayar sewa tapak yang disediakan. Ia juga bertujuan bagi mengekang penjualan semula tapak dengan harga yang lebih tinggi seperti yang berlaku pada tahun lalu.
10. Oleh demikian, harga RM100 ini adalah sama sekali tidak wajar untuk dibandingkan dengan harga inklusif RM900. Lihatlah di mana-mana pusat perniagaan terkemuka yang mempunyai aliran pengunjung seperti Dataran Senawang ketika musim raya, mana mungkin RM100 untuk sepanjang bulan puasa malah mungkin RM100 itu hanya untuk sehari sahaja.
11. Namun RM900 yang ditawarkan oleh MPS itu apabila dikira semula, hanya RM30 untuk sehari termasuk bekalan elektrik dan kanopy yang menjadi milik peniaga selepas habis tempoh perniagaan.
EDY NOOR REDUAN