Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 26 Februari 2019

6 Bulan Masa Yang Diperlukan Untuk Hapus 4 Tol Dan Digantikan Dengan Caj Kesesakan - MoF.

KENYATAAN MEDIA | Pada hari Sabtu yang lepas, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa Kerajaan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih empat konsesi lebuh raya di mana syarikat tersebut mempunyai pegangan majoriti. Empat lebuh raya yang terbabit ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART (SMART).



Tanpa mengambil kira kumpulan PLUS, keempat-empat lebuh raya ini menguasai 48% daripada jumlah pendapatan lebuh raya-lebuh raya bertol di bandar. Ini meliputi sebahagian besar daripada lebuh raya dalam bandar dan menunjukkan kesungguhan dan komitmen Kerajaan dalam langkah pertama memenuhi manifesto pilihanraya kami.


Apabila pengambilalihan konsesi empat lebuh raya ini dimuktamadkan, Kerajaan akan menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada dan menggantikannya dengan model baharu “caj kesesakan”. 


Caj kesesakan adalah caj boleh ubah yang bergantung kepada masa penggunaan. Ini akan menggalakkan pengguna lebuh raya untuk merancang perjalanan mereka pada waktu luar puncak dan mengurangkan kesesakan lalu lintas semasa waktu puncak. 

Dengan dasar baharu ini, pengguna lebuh raya pada waktu puncak juga akan menikmati pengurangan kesesakan lalu lintas berbanding dengan situasi semasa.

Unjuran awal menganggarkan bahawa pengguna empat lebuh raya ini akan menikmati penjimatan sehingga RM180 juta setahun dengan peralihan daripada kutipan tol kepada caj kesesakan. Penjimatan ini bermakna pendapatan boleh guna isi rumah rakyat Malaysia akan bertambah dengan jumlah yang sama.


Kutipan caj kesesakan adalah mencukupi untuk membiayai bayaran balik pinjaman kos pengambilalihan dan juga segala kos operasi serta penyenggaraan lebuh raya tanpa memerlukan peruntukan tambahan daripada MOF.


Di samping itu, pengambilalihan lebuh raya ini pada harga yang adil dan berpatutan bagi pihak Kerajaan akan menjimatkan pembayar cukai sebanyak RM5.3 Bilion dalam bentuk pembayaran pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi akibat pembekuan kadar tol di lebuh raya berkenaan sehingga akhir tempoh konsesi.


Cadangan pengambilalihan lebuh raya ini adalah penyelesaian “win-win-win” untuk semua pihak yang terlibat:


• Kerajaan dan pembayar cukai akan jimat RM5.3 Bilion dalam bentuk pembayaran pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi akibat pembekuan kadar tol;


• pengguna lebuh raya akan menikmati penjimatan sehingga RM180 Juta setahun dan juga pengurangan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak; dan


• sebarang lebihan kutipan caj kesesakan akan disalurkan kepada pembangunan dan penyenggaraan sistem pengangkutan awam Malaysia.


Kerajaan menjangka bahawa usaha pengambilan empat lebuh raya bertol ini akan mengambil masa selama 6 bulan untuk memenuhi kesemua keperluan pengawalseliaan, kewangan dan undang-undang.


Sayangi Malaysiaku!


Lim Guan Eng


Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya


26 Februari 2019

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...