Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Ahad, 4 November 2018

Serangan Pada Hasnul Bermotifkan Politik Dan Siber Buli Kata Mujahid Pertahankan Presiden PAFA.

SINAR HARIAN | Tuntutan letak jawatan dan serangan melalui media sosial dihadapi Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Perak (Pafa), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim pada ketika ini sebenarnya merupakan satu agenda pembunuhan karakter oleh pihak tertentu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, 'serangan' melalui pelbagai aplikasi media sosial dilakukan segelintir pihak mendakwa sebagai penyokong pasukan bola sepak Perak sebenarnya juga merupakan satu fenomena buli siber kini berleluasa dalam kalangan pengamal media sosial.

Menurutnya, di sebalik dakwaan segelintir penyokong kesal dengan tindakan Hasnul Zulkarnain mempersendakan Piala Malaysia melalui gambar dirakam di tepi kolam renang sebuah hotel dan penganjuran perarakan Piala Malaysia di Parit Buntar yang tidak disertai pemain dan peminat setia, pihaknya percaya 'serangan' ditujukan bermotifkan politik.

"Saya percaya terdapat dalang menggalakkan 'serangan' siber untuk membangkitkan kemarahan penyokong setia pasukan Perak, sedangkan Adun Titi Serong itu sudah menyatakan permohonan maaf terhadap segala kekhilafan beliau lakukan.

"Saya nasihat kepada pengamal media sosial, setiap tindakan kita jangan guris hati orang lain dan pada waktu sama jangan galakkan berlaku gejala buli siber.

"Saya sendiri teruk dibuli melalui media sosial apabila ada pihak mendakwa saya menteri LGBT. Jadi kepada pembuli siber, anda kena ingat perkara yang anda lakukan mungkin akan berulang kembali kepada diri dan keluarga anda,"
katanya kepada media selepas majlis penyerahan sumbangan Deepavali kepada 200 keluarga miskin sekitar Parlimen Parit Buntar di sini hari ini.


Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar turut menasihatkan Hasnul Zulkarnain supaya lebih banyak bersabar, kuat semangat dan belajar menyerap kebencian manusia terhadap diri sendiri dengan hati terbuka.

Menurutnya, pengalaman ini sebenarnya akan membuatkan seseorang individu lebih berjiwa besar dan kuat untuk menghadapi segala cabaran dan ujian pada masa hadapan.

"Secara peribadi, tindakan menuntut Hasnul Zulkarnain meletak jawatan Presiden Pafa hanya kerana kesilapan beliau mengendalikan Piala Malaysia dengan cara tidak disenangi penyokong dan peminat bola sepak Perak adalah keterlaluan.

"Saya berharap beliau akan bangkit dan membuktikan mampu membantu Pafa membawa lebih banyak kejayaan dalam arena bola sepak tempatan pada masa hadapan,"
katanya.

Sebelum ini, Hasnul Zulkarnain meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia di atas keterujaannya meraikan kejayaan Perak memenangi Piala Malaysia, 27 Oktober lalu sehingga mencetuskan kontroversi.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak berkata, beliau mengakui kekhilafan dirinya sewaktu bergambar dengan trofi Piala Malaysia ketika makan mi segera di dalam bilik hotel dan di tepi kolam renang sebagaimana tular dalam laman sosial. - 4 November 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...