Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 20 November 2018

Jika Ikhlas Mahu Jadi Bangsa Malaysia, Sekolah Vernakular Perlu Dihapuskan.

ARIF ATAN | Jika ikhlas mahu jadi bangsa Malaysia...

Malaysia Baharu patut bercakap tentang pentingnya kesedaran untuk anak-anak Malaysia bersekolah di bawah bumbung yang sama.

Jika ikhlas mahu menjadi bangsa Malaysia, sekolah berteraskan kaum patut dimansuhkan sesuai dengan semangat Bangsa Malaysia pasca 9 Mei 2018.


Dalam konteks ini, orang bukan Melayu dituntut supaya bertolak-ansur dan mengamalkan toleransi tinggi seperti mana telah dibuktikan orang Melayu melalui kontrak sosial 61 tahun lalu melalui pemberian taraf kewarganegaraan.

Sekolah aliran kaum mesti ditukar kepada Sekolah Kebangsaan (SK) sebab SK bukan 'sekolah Melayu' melainkan apabila majoriti keluarga bukan Melayu menghantar anak ke sekolah berasaskan semangat kaum masing-masing, maka SK secara automatik menjadi 'sekolah Melayu' atau lebih dahsyat jadi 'sekolah Arab'.

Walaupun SK sebagai satu-satunya sekolah buat semua anak Malaysia yang ikhlas mendahulukan identiti 'orang Malaysia' bukan identiti kaum, subjek Bahasa Cina dan Bahasa Tamil masih boleh dipertimbangkan sebagai mata pelajaran di SK.

Penawaran kedua-dua mata pelajaran itu bergantung kepada permintaan juga terpulang kepada murid untuk mengambilnya atau tidak selari dengan hak asasi dan nilai demokrasi.

Kalau ada keluarga keturunan Melayu mahu anaknya belajar bahasa Cina atau Tamil, silakan, sebab kedua-dua bahasa itu bukan lagi eksklusif untuk kaum Cina dan India sahaja.

Kajian PhD oleh Sia Keng Yek dari UM terbitan 2005 sudah merumuskan bahawa penentangan Dong Zong terhadap pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan di SRJK Cina menjadi antara penghalang kepada usaha kerajaan untuk merealisasikan integrasi nasional di bawah satu bumbung persekolahan yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar.

Sekarang, selepas 61 tahun merdeka, dan selepas enam bulan Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, ramai bukan Melayu terutamanya orang Cina masih merangkak untuk berbahasa kebangsaan lantaran tidak bergaul dengan anak-anak Malaysia di SK.

Selagi SJK wujud, selagi itu jurang sosial antara kaum semakin sukar ditangani dan "keberanian" menggunakan bahasa dan tulisan Cina pada kenyataan media menteri dan papan tanda nama jalan akan terus berulang lagi dan lagi.

Penonjolan identiti kaum hanya akan menyukarkan Malaysia menumpukan usaha pada kepentingan nasional sekali gus sukar untuk beranjak melahirkan masyarakat sivil yang bercakap tentang keadilan sosial dan hak rakyat marhaen merentas kaum.

Selagi sekolah berasaskan kaum wujud dan diberi peruntukan kerajaan, mutu penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia dari keturunan bukan Melayu terutamanya Cina sukar dicapai memandangkan aras kurikulum bagi subjek Bahasa Melayu di SJK jauh lebih rendah daripada SK. - 20 November 2018.
(Foto : Sekumpulan murid berbilang kaum di Sekolah Kebangsaan Bakri Batu 5 , Muar, Johor. Sumber : Utusan Online)

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...