Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 1 November 2018

'Cukai Minuman Bergula', Ke Arah Budaya Hidup Sihat Sedang Dikaji. - TPM.

BERNAMA | CADANGAN untuk melaksanakan cukai eksais bagi minuman bergula akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang,kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata cadangan itu adalah antara 12 polisi dasar ke arah hidup sihat yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Ke Arah Persekitaran Hidup Yang Sihat yang dipengerusikannya hari ini.


Wan Azizah yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata ia adalah usaha kerajaan untuk mewujudkan budaya hidup sihat dan mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD) di kalangan rakyat.

“Cukai ini belum diperincikan, kita nak bawa ke Kabinet dan Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) akan memperhalusinya.

“Hasil cukai mungkin dimasukkan ke dalam dana Kumpulan Wang Disatukan, "
katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri wakil 12 kementerian.

Menurutnya, beberapa negara seperti Brunei, Thailand, Filipina dan Mexico telah melaksanakan cukai berkenaan.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata mesyuarat itu turut mempersetujui untuk meningkatkan keupayaan ekosistem sekolah untuk menaikkan status pemakanan murid dan pelajar sekolah.

Polisi dasar ke arah hidup sihat yang turut dipersetujui hari ini adalah mewartakan kawasan rekreasi yang belum diwartakan sebagai kawasan pemuliharaan.

Selain itu, menjalankan perkhidmatan rawatan berhenti merokok di pusat kesihatan, universiti awam (UA) dan swasta melalui program mQuit dalam mewujudkan Polisi Pelaksanaan Generasi Bebas Amalan Merokok serta mengukuhkan kawalan dan penguatkuasaan ke atas rokok tidak sah di Malaysia, katanya.

Turut dipersetujui hari ini ialah mewajibkan program pengurusan berat badan di kementerian atau jabatan terpilih serta mewajibkan penyediaan pilihan makanan sihat di kafeteria, tempat kerja dan universiti, katanya.

Dr Wan Azizah memaklumkan mesyuarat itu bersetuju mewujudkan garis panduan perancangan kejiranan hijau dengan memasukkan polisi mandatori untuk menyediakan laluan berbasikal di setiap kawasan perumahan yang baru dibuka.

Selain itu, mempertingkatkan aktiviti saringan kesihatan melalui pelbagai pendekatan, budaya amalan makan buah-buahan dan sayur-sayuran serta melaksanakan Kempen Promosi Kesihatan Nasional, katanya.

Berhubung cadangan sekatan mandatori terhadap waktu operasi kedai makanan dan restoran kepada 12 tengah malam, Dr Wan Azizah berkata dasar itu memerlukan libat urus dengan pemegang taruh dan dijalankan secara berfasa.

Beliau berkata cadangan lain yang memerlukan penelitian lanjut termasuk penguatkuasaan larangan mengiklan makanan dan minuman yang tidak sihat kepada kanak-kanak.

Turut hadir pada mesyuarat hari ini ialah Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad. - 1 November 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...