Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 20 September 2018

Wajarkah #MalaysiaBaru Kitar Semula Hujah Kurang Ajar, Biadap Kepada Yang Bersuara Lantang?

Arif Atan | Wajarkah hujah biadab, jangan kurang ajar dikitar semula?

Malaysia Baru semangatnya tidak harus lagi begitu feudalis sehingga lari dari perkara pokok yang diperkatakan. Sesiapa yang jadi pemimpin tidak harus dianggap sakral lagi maksum daripada menerima teguran apa lagi selepas melakukan perkara yang di luar norma sosial.


Lemparan kata menghukum - biadab, kurang ajar - pernah saya sendiri dapat ketika isu Universiti Malaya (UM) gila 'ranking' pada 2011 dulu yang kemudiannya diakui sendiri Naib Canselor ketika itu, Prof Datuk Dr. Ghauth Jasmon.

Panggilan biadab, kurang ajar juga saya dapat ketika dipanggil sekumpulan pensyarah yang tidak puas hati ekoran isu penggunaan bahasa Melayu di universiti yang dibenam rentetan polisi kejar 'ranking' itu serta sindiran saya di FB mengenai tindakan dua pensyarah yang melarang penuntut siap ambil nama mereka yang memakai seluar jeans di kuliah/tutorial mereka.

Hinggakan dalam pertemuan bersemuka dengan Dr-Dr itu, saya terpaksa bacakan petikan dari buku 'Intelektual Negara Membangun' karya Dr Syed Hussein Alattas untuk berhujah selepas mereka langsung tiada hujah akademik untuk mewajarkan tindakan melainkan terus mengitar semula 'jangan biadab', 'jangan kurang ajar'.

Bahkan, ada yang menganggap saya yang dari Jabatan Sosio-Budaya ketika itu biadab dan bersikap lebih sudu dari kuah dari Jabatan X berhubung pendirian mendaulatkan penggunaan bahasa Melayu dari jurnal hinggalah keputusan peperiksaan penuntut di papan kenyataan. Tidak kurang juga ada yang selamba mendabik dada bahawa mereka sudah menggenggam PhD dan puluhan tahun berada di UM.

"Arif, kamu manusia paling biadab saya pernah jumpa di UM sepanjang ... puluh tahun saya di UM ni," kata salah seorang pensyarah kanan dari Jabatan Y ketika dipanggil mengadap di biliknya.

Apapun, mereka itu adalah sekumpulan pihak yang tiada jiwa 'aktivis' atau semangat juang yang mahu pula orang lain ikut caranya yang terus mengangguk polisi orang lebih atas.

Namun, ramai lagi pensyarah yang faham dan sudah tentunya kesemua pensyarah dari Jabatan Sosio-Budaya menyokong saya secara terbuka. Tak mengapalah. Itulah resmi "politik universiti". Itu semua tinggal kenangan buat pengajaran.

Atas secebis pengalaman lalu itulah, buat saya tersenyum apabila melihat reaksi sebahagian warga maya yang nampaknya tidak faham beza atmosfera antara sekolah dengan universiti.

Aksi sekumpulan mahasiswa semalam melaung 'Undur Maszlee' ketika Menteri Pendidikan berada di luar Restoran Pak Amjal semalam itu senang-senang saja dicop sebagai biadab termasuk oleh sebahagian penyokong Pakatan Harapan (PH).

Walhal, mereka beraksi begitu selepas Maszlee buat selamba 'biadap' terhadap hasrat autonomi dan kebebasan universiti apabila menerima dirinya dilantik sebagai Presiden UIA. Soalnya, kenapa dia perlu terima, tidak menolak?

Umum kita semua tahu gejala pentadbiran universiti yang jika tidak mengampu atau membodek cenderung akan menggunakan kesempatan dengan individu yang lebih berkuasa apatah lagi kedudukan Maszlee sebagai Menteri Pendidikan.

Apalagi agihan peruntukan Belanjawan 2019 di bawah Kementerian Pendidikan kepada 20 universiti awam nanti. Tidakkah nanti jadi seperti pernah Presiden AMANAH, Mohamad Sabu ucapkan merujuk hal Najib ketika Jelajah PH menjelang PRU-14 lalu: "Maszlee (sebagai Presiden UIA) mohon dana, Maszlee (sebagai Menteri) sign luluskan?!"

Itulah konflik kepentingan yang kita tidak mahu berlaku dan mahu padamkan awal-awal.

Sebenarnya, kumpulan mahasiswa itu juga elok saja berhujah depan Maszlee semasa pertemuan di tingkat atas restoran seberang pintu gerbang UM itu. (Lihat pautan rakaman video pada komentar pertama)

Di luar kedai makan berwarna jingga AMANAH itu, takkanlah mereka mahu melayan Maszlee dengan bunga manggar dan pukulan kompang diikuti berswafoto secara berjemaah dengan menteri?

Kedua, kalau sesiapa yang lazim berada dalam suasana demonstrasi mahasiswa, aksi itu lumrah. Hanya tidak pernah lagilah seorang menteri zaman kerajaan BN dulu turun semuka dengan mahasiswa. Dalam hal ini sedikit kredit boleh diberi kepada Maszlee kerana sudi turun padang dan berada pula di sekitar 'kubu' suara mahasiswa walaupun tidaklah semua ambil peduli tentang 'politik kampus'- UM - yang dikenali sebagai universiti yang melahirkan ramai demonstrans juga pemimpin tanah air termasuk pemimpin BN juga.

Dan semalam bukan semuanya mahasiswa UM. Ketua kepada kumpulan itu, Asheeq contohnya adalah pelajar jurusan undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Jadi, suara yang menuntut Maszlee melepaskan jawatan Presiden UIA bagi mengelak wujudnya konflik kepentingan adalah merentas kampus. Aksi semalam bukan kerana, "eh yang budak UM sibuk masuk campur isu UIA, dah kenapa?".

Tuan/Puan yang sangat beradab sekalian,

Getar suara dan protes mahasiswa ini penting sebagai proses 'semak dan imbang' dalam mengingatkan orang atasan daripada membuat keputusan yang mengundang kefasadan.

Zaman Anwar- Hishamuddin Rais - Anuar Tahir tahun 70-an dulu lagi rancak aksi unjuk rasa berkaitan isu-isu rakyat yang kemudiannya memacu pula penubuhan UKM serta mempengaruhi dasar pendidikan dan ekonomi negara.

Menginjak ke dekad 90-an, kalau tiada demo mahasiswa dulu contohnya, sudah lama langit UM dijajari jalan raya! Sebab ada bantahan pelajar juga, McD tak jadi masuk kampus. Di Indonesia, aksi demo penuntutnya siap bakar tayar. Aksi demonstrasi mahasiswa malam tadi tidaklah sampai tahap seradikal itu.

Jadi, tidak perlulah melatah hanya melihat klip video beberapa minit yang dikongsi di FB Kelab Che Det itu jika anda tidak memahami isu utama juga apa yang berlaku sepanjang pertemuan mahasiswa dengan Maszlee itu.

Ketiga, ada juga yang mungkin naluri 'budi bahasanya tersentap gara-gara pekikan 'Undur Maszlee'.

Gamaknya, mungkin kena sebut "Undur Yang Berhormat Dr Maszlee Malik"! Nampak sangat sekali lagi tidak tahu 'format' sorak pekik ketika aksi unjuk rasa.

Sebelum ini pun mahasiswa berarak di tengah ibu kota laung "Undur Najib". Tidak pula sebut "Undur Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Razak"! Jenuhlah nak sebut penuh lengkap tengah panas terik tu!

Lagi satu, penggunaan nama pemimpin sahaja tanpa gelaran tanpa bin/binti siapa itu lumrah dalam laporan berita.

Atau hanya baca tajuk berita, tak baca habis walaupun hanya ada 5, 6 perenggan? Hanya pada awal saja gelaran/pangkat penuh ditulis. Selepas itu ditulis dengan nama saja.

Apa lagi aksi demo. 'Un-dur Masz-lee' sama juga sebelum ini 'Un-dur Na-jib' itu hanya ada empat suku kata sudah praktikal dengan 'adat' berdemonstrasi.

Keempat, ada penyokong kerajaan PH sendiri selamba kaitkan aksi mahasiswa semalam sebagai kononnya 'budak-budak Jamal' atau orang upahan BN yang patut habis belajar dulu daripada sibuk bising.

Sebenarnya, masa di kampus elok 'sibuk bising'. Dah bekerja, ada komitmen keluarga sudah payah. Kalau mahasiswa diam 'jaga adab' sangat, nanti dilempar tuduhan 'mandom' pula. Eloklah mereka bersuara jadi berani bercakap tentang kebenaran.

Dr Maszlee pun boleh tenang saja (dalam hati, Hanya Tuhan yang tahu! hihi), yang netizen terlebih membawang tu, perlukah membazir kalori lantas marah tanpa mahu fokus isu utama sebab timbulnya protes mahasiswa itu?

Eh, mereka itu juga sebenarnya sejak BN masih di tampuk kuasa kerajaan lagi sudah berarak di jalan raya. Asheeq sendiri saya pernah saksikan bermalam di Jalan Parlimen dengan sekumpulan pemuda PH majoritinya AMANAH isu tuntutan harga petrol.

Sebenarnya, aksi mahasiswa menjelang PRU-14 antara yang turut menyumbang kemenangan PH menumbangkan BN! Takkan baru empat bulan, 'orang PH' mentang-mentang sudah jadi kerajaan mudah lupa?

Wajarkah hujah biadab, jangan kurang ajar dikitar semula sehingga menutup perkara utama yang membawa kepada sesuatu bantahan dan unjuk rasa?

Ada baiknya, takrifan jangan biadab, jangan kurang ajar diteliti semula. Label biadab, jangan kurang ajar juga tidak terkecuali untuk ELIT PENGUASA.

Adakah label itu hanya untuk pihak yang tidak mempunyai kuasa tetapi bertentangan dengan fahaman orang yang memiliki kuasa?

Mengapa apabila elit berkuasa yang buat tindakan melanggar dari norma, nilai sosial yang disepakati umum apa lagi dalam konteks isu Maszlee berkaitan integriti dan prinsip, maka tidak pula dilabel sebagai biadab dan kurang ajar?

#MalaysiaBaru

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...