Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 19 September 2018

Bakal Didakwa 20 Pertuduhan, Peguam Rosmah Kata Tak Terima Notis.

POLITIK | Tiada sebarang notis diterima berhubung pertuduhan jenayah yang bakal dihadapi Rosmah Mansor, kata peguam yang mewakili isteri bekas perdana menteri itu, Geethan Ram Vincent.

Laporan New Straits Times menyebut, Geethan mengesahkan perkara itu apabila ditanya mengenai dakwaan bahawa Rosmah bakal diheret ke mahkamah untuk menghadapi lebih 20 tuduhan.

Tuduhan berkenaan kebanyakannya dilaporkan membabitkan pengubahan wang haram, ekoran siasatan yang bermula dua tahun lalu.

Pasukan penyiasat didakwa sudah melengkapkan siasatan mereka terhadap Rosmah, 66, apabila fail membabitkannya dibuka semula sejak tiga bulan lalu sebaik selepas kerajaan Barisan Nasional tumbang.

Rosmah, disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jun lepas berhubung akaun SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Akhbar Berita Harian semalam mendedahkan, satu daripada 20 tuduhan itu berhubung kes melibatkan pembelian produk hormon antipenuaan bernilai lebih RM1 juta dari Amerika Syarikat.

Produk itu dikatakan mampu meningkatkan kadar hormon lebih 600%, jika diambil berterusan, lapor akhbar itu.

Produk itu juga didakwa bertujuan untuk meningkatkan tenaga, mutu tidur, mengurangkan lemak dan mencantikkan kulit.

Memetik sumber, Berita Harian melaporkan seorang doktor bergelar “Datuk” dibayar dengan cek RM1 juta pada Februari 2015 bagi pembelian dua set produk berkenaan yang bernilai RM500,000 setiap satu.

Cek berkenaan tertera nombor akaun sama dengan akaun milik Najib di AmIslamic Bank, yang sudah ditutup sebelum ini, kata laporan itu lagi.

Doktor itu juga memberitahu penyiasat ada produk lain yang dibeli untuk mengekalkan keremajaan dan daya hidup. – 19 September, 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...