Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 20 September 2018

Anifah Perjelaskan Sebab Keluar UMNO...

KENYATAAN MEDIA | PERLETAKAN JAWATAN SEBAGAI AHLI MAJLIS TERTINGGI UMNO, KETUA UMNO BAHAGIAN KIMANIS DAN AHLI UMNO
 

1. Setelah bermuhasabah diri dan memikirkan dengan sedalam-dalamnya, saya, Anifah bin Haji Aman dengan ini ingin mengumumkan perletakan jawatan saya selaku Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kimanis dan Ahli UMNO berkuatkuasa serta-merta.

2. Saya mengambil keputusan ini kerana saya pernah berjanji kepada para pengundi saya di Parlimen Kimanis dan rakyat Sabah secara keseluruhannya sebelum ini bahawa saya akan meletakkan jawatan di dalam parti sekiranya UMNO dan Barisan Nasional gagal menunaikan janji dalam perkara-perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963.

3.  Saya akur bahawasanya tanpa UMNO dan Barisan Nasional di tampuk kekuasaan, perjuangan saya tidak akan membuahkan hasilnya. Walaubagaimanapun saya juga berpegang erat kepada apa yang telah saya janjikan sebelum ini iaitu saya akan meletakkan jawatan sekiranya perjuangan saya untuk rakyat Sabah di bawah payung parti ini tidak dapat diteruskan.

4.  Perjuangan saya di dalam politik selama ini adalah sangat jelas. Saya  bertegas mahukan rakyat Sabah mendapat layanan sama rata dan setiap hak mereka dilaksanakan sepenuhnya, tanpa sebarang dalih dan alasan, jauh sekali dipertikaikan oleh mana-mana pihak sekali pun sama ada di dalam mahupun di luar parti. Ini kerana Perjanjian Malaysia 1963 ialah titik mula penubuhan sebuah negara persekutuan yang kita kenali sebagai Malaysia pada hari ini.

5. Walaupun tidak lagi di dalam UMNO, saya tetap akan meneruskan perjuangan demi kepentingan rakyat sekalian. Saya juga akan tetap menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen dalam mengetengahkan kepentingan dan harapan para pengundi di kawasan Parlimen Kimanis .

6. Pada masa yang sama, pihak Kerajaan Pakatan Harapan harus komited di dalam melaksanakan janji-janji mereka terutamanya mengembalikan hak Sabah dan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963.

7. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Presiden Parti, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan keseluruhan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional Pusat serta Negeri di atas kepercayaan serta sokongan terhadap saya selama ini.

8. Saya turut ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyokong-penyokong saya terutama sekali ahli-ahli UMNO Bahagian Kimanis dan Kepimpinan UMNO  Bahagian Kimanis atas segala keyakinan dan sokongan yang telah diberikan kepada saya selama ini.

Akhir kata, Semoga kita semua senantiasa di dalam rahmat dan keberkatan Allah SWT.

Sekian, Terima kasih.

YB DATUK SERI PANGLIMA ANIFAH HAJI AMAN
Ahli Parlimen P.176 Kimanis

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...