Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 25 September 2018

Sudahlah Anak Diliwat Pengetua Tahfiz, Mak Bapa Pula Buat Tak Peduli - Mujahid Rawa.

The Malaysian Insight | DAKWAAN pelajar tahfiz diliwat pengetua sendiri sudah cukup mengejutkan tetapi bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa , beliau tambah terkejut apabila ibu bapa pelajar yang terlibat seolah-olah tidak ambil berat dengan apa yang berlaku pada anak-anak mereka.

 
Beliau yang melawat pusat tahfiz itu hari ini terkejut apabila diberitahu oleh isteri suspek bahawa semua mangsa yang membuat laporan polis mendakwa dicabul oleh suaminya masih meneruskan pengajian seperti biasa.

“Saya tidak akan pergi lanjut (mengenai keadaan mangsa) kerana tidak mahu masuk campur proses pendakwaan. Tetapi, nampaknya isu di sini adalah ibu bapa,” katanya kepada wartawan selepas melawat Pusat Tahfiz Darul As-Syabab di Kepong, Kuala Lumpur, hari ini.

The Malaysian Insight difahamkan dua daripada sembilan mangsa sudah pulang ke rumah tetapi tujuh masih tinggal di asrama itu dan belajar seperti biasa.

“Cara cakap (dengan mangsa) seolah-olah ibu bapa tidak kisah, tidak peduli (dengan kejadian yang menimpa mereka),” kata Mujahid selepas bertemu sendiri dengan pelajar yang terlibat.

Tegas menteri itu, ibu bapa mesti lebih bertanggungjawab dan mengambil tahu perkembangan anak-anak mereka.

“Kejiranan di sini (Kepong) boleh dianggap sebagai golongan B40. Mereka tinggal di perumahan flat. Hantar anak ke sini (pusat tahfiz), disediakan asrama, bayar sedikit yuran, habislah,” tambah Mujahid.

Pusat tahfiz itu kini tidak mempunyai guru selepas tiga gurunya yang bertanggungjawab membawa pelajar terlibat membuat aduan polis sudah tidak lagi berkhidmat di situ, kata Mujahid.

Pusat tahfiz itu juga sudah tidak ada dana yang cukup untuk beroperasi, tambahnya.

“Saya cadangkan ibu bapa bawa pulang (anak-anak) dan kami juga akan menawarkan sekolah-sekolah alternatif yang berdaftar dan ikut semua prosedur yang ditetapkan,” jelasnya.

Mujahid sebelum itu mendedahkan pusat tahfiz berkenaan beroperasi tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Hasil tinjauan The Malaysian Insight juga mendapati, ciri-ciri keselamatan pusat tahfiz itu tidak teratur apabila terdapat wayar-wayar terjuntai dan tiada tapak kecemasan jika berlaku apa-apa perkara tidak diingini.

Rabu lalu, pengetua pusat tahfiz itu didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya dengan 11 pertuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Zainuddin Yaacob berkata suspek didakwa hasil laporan yang dibuat oleh guru-guru pusat tahfiz itu bersama semua mangsa pada 13 September lepas.

Media sebelum itu melaporkan seorang pengetua sebuah pusat tahfiz di Kepong ditahan polis kerana dipercayai meliwat sembilan pelajarnya sendiri.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Zainuddin Yaacop berkata suspek berusia 30 tahun itu ditahan sehari selepas polis menerima laporan kes berkenaan, melibatkan pelajar berusia dalam lingkungan 11 hingga 16 tahun. - 25 September 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...