Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Jumaat, 6 Julai 2018

Anak Lelaki Najib Dilaporkan Minum Wain Bersama Pelakon Taiwan Selepas Meluahkan Kesedihan Di Facebook..

Anak lelaki Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib dilihat makan dan minum wain bersama seorang pelakon di Taiwan sehari selepas bapanya didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur atas 4 pertuduhan membabitkan salah guna wang SRC International Sdn Bhd melalui syarikat kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan jutaan ringgit.


 
Portal dari Taiwan, Apple Daily melaporkan wakil mereka menyaksikan Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib makan dan berbual dengan seorang pelakon yang dikenali sebagai Celia Zhang malam tadi.

Kedua-duanya dilihat semasa sedang makan di sebuah restoran steak di pusat membeli-belah Breeze Xinyi berhampiran menara ikonik Taiwan, Taipei 101.

Portal itu juga mendakwa kedua-duanya dilihat berkali-kali minum melalui gelas kaca yang diisikan wain merah. Sebanyak 2 botol wain merah dibuka sepanjang 3 jam pertemuan makan malam itu lapor Apple Daily lagi.

Kedua-duanya juga dilaporkan mengunjungi rumah urut dengan menaiki teksi sebelum makan malam bersama dan menghabiskan masa di bar selama 2 jam.
 

Apple Daily juga mendakwa kedua-dua mereka kemudiannya dilihat menaiki teksi menuju ke hotel Grand Hyatt sekitar jam 1 pagi.

Dalam kenyataan kepada media negara itu, wakil Celia Zhang dilaporkan berkata telah mengenali
Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib sejak sekian lama.

"Dia ialah rakan baik yang saya telah kenal lama, dan datang ke Taiwan untuk melawat. Saya hanya bertindak sebagai pemandu pelancong dan menemaninya," katanya seperti dipetik Apple Daily.

Terdahulu beberapa media tempatan melaporkan luahan sedih Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib di Facebooknya mengenai dugaan yang dihadapi oleh bapanya, Datuk Seri Najib Razak.

Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib meluahkan isi hatinya malam tadi ketika dipercayai bersama pelakon dari Taiwan itu.

Berikut adalah luahannya;

"Kepada semua rakan-rakan dan para penyokong, netizen dan semua orang yang telah sudi menghadirkan diri untuk memberi sokongan kepada Datuk Seri Najib Razak dari dulu hingga sekarang, saya ingin rakamkan setinggi-tinggi penghargaan saya kepada anda semua; dengan seikhlas hati, terima kasih saya ucapkan.

Kepercayaan, sokongan dan kasih yang anda semua curahkan kepada kami banyak membantu dalam mengharungi dugaan.

 
Meskipun ia agak sukar, saya harus berkongsi perasaan saya dengan anda semua, khususnya yang telah menyuarakan kebimbangan mereka dan telah lama berbuat baik dengan keluarga kami.

Yang tertuduh di mahkamah hari ini pernah menjadi pemimpin nombor satu Malaysia, dan sepanjang perjalanan pilihan raya umum (PRU) ke-14 beliau telah dilemparkan dengan pelbagai tuduhan fitnah tanpa henti.

Saya mengatakan perkara ini bukan untuk meraih simpati tetapi untuk menyatakan sesuatu yang benar untuk semua orang lihat dan fahami: Sekiranya penderitaan seorang bekas pemimpin yang telah dituduh itu dapat membahagiakan rakyat Malaysia yang dikasihi, maka beliau sanggup menghadapi penderitaan itu.

Dia adalah ayah saya, dan saya tahu orang Malaysia mengenali beliau jenis orang yang macam mana. Jika selama 42 tahun beliau berkhidmat dalam kerajaan sebagai seorang penjahat, atau niatnya untuk mencuri wang rakyat semata-mata, saya tidak fikir beliau dapat dilantik sebagai perdana menteri Malaysia pada tahun-tahun yang lalu.

‘Malaysia Baru’ hari ini tidak jauh berbeza dengan Malaysia lama hampir 30 tahun yang lalu. Pendakwaan secara berat sebelah yang berlaku hari ini serupa dengan yang dahulu, cuma orangnya sahaja yang berbeza, kebetulan perdana menteri yang masih sama.

Saya ingin menyuarakan hakikat ini: kita sebagai sebuah negara yang melaungkan demokrasi sememangnya tidak matang dari segi politik, masih mengamalkan politik feudal yang penuh dengan dendam.

Serbuan polis yang terancang, dilihat bersama lori black maria di mana mereka datang beramai-ramai hanya untuk menyerang rumah bekas perdana menteri, pada waktu sahur di bulan Ramadan lagi.

Sementara itu, persidangan akhbar yang dibuat, tidak putus-putus semata-mata untuk menimbulkan lagi kemarahan orang ramai. Bukankah ia prosedur am untuk tidak berkongsi butiran semasa siasatan sedang dijalankan? Atau adakah ia dibuat semata-mata untuk mengaibkan lagi ayah saya?

Semalam saya berada di mahkamah, hanya untuk mengetahui bahawa semua itu tidak penting pun; malah apa didakwa hari ini adalah tuduhan pecah amanah dan menyalahguna jawatan berjumlah RM42 juta.

Sementara peguam sedang sibuk bincangkan nilai ikat jamin, saya terfikir: Logikkah jika seorang perdana menteri Malaysia boleh dibeli dengan hanya 42 juta ringgit Malaysia? Sekadar itu sahajakah nilai integritinya?

Jika setiap kes pecah amanah, salah guna kuasa mahupun rasuah boleh dikaitkan dengan seorang mantan perdana menteri, maka beliau dan kesemua mantan perdana menteri sebelum ini haruslah bertanggungjawab terhadap semua kerugian yang telah dialami sepanjang kepimpinan mereka.

Ayah saya dikenakan denda hari ini oleh seorang peguam negara yang dilantik oleh kerajaan baru meskipun ia mendapat tentangan daripada banyak pihak. Ini jelas menunjukkan keadaan politik semasa yang berpaksikan dendam semata-mata.

Sudah jelas kepada saya bahawa tunjang manifesto pembangkang sewaktu PRU ke-14 adalah untuk membawa perdana menteri yang dituduhnya korup ke muka pengadilan di mahkamah.

Inilah yang mereka janjikan, dalam apa jua cara sekalipun, mereka mesti tunaikan janji mereka secepat mungkin. Dalam hidup ini saya mempunyai cuma seorang bapa dan seorang ibu, tanpa mereka, tak wujudlah saya.

Walau apapun terjadi selepas ini, saya akan tetap setia bersama mereka. Saya akan terus berikan sokongan penuh saya kepada Najib kerana dia tetap ayah saya, dan dia pernah menjadi seorang pemimpin Malaysia tercinta,"
katanya dalam kenyataan di Facebook itu. - 6 Julai 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...