Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 4 Jun 2018

Pembatalan Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi HSR - Ini Kenyataan Media Johor.

KENYATAAN AKHBAR
YAB DATO’ OSMAN SAPIAN
MENTERI BESAR JOHOR ​

PEMBATALAN PROJEK KERETA API BERKELAJUAN TINGGI KUALA LUMPUR-SINGAPURA (HSR).


1. Kerajaan negeri Johor menyokong penuh keputusan Kerajaan Persekutuan untuk membatalkan projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).



2. Keputusan Kerajaan Pusat untuk membatalkan projek ini amatlah tepat dan bersesuaian dengan pendekatan Pakatan Harapan untuk tidak mahu membebankan negara dengan projek-projek mega yang boleh menyebabkan pertambahan hutang dan pada masa yang sama berusaha untuk mengurangkan hutang negara.

3. Kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin bahawa projek HSR yang menelan belanja sebanyak RM110 bilion ini merupakan `game changer’ bagi pembangunan di wilayah Selatan Johor tidak dapat diterima dalam situasi ekonomi masa kini.

4. Projek ini, jika dilaksanakan, hanya akan siap dan mula beroperasi menjelang 31 Disember 2026, iaitu kira-kira 9 tahun dari sekarang. Projek ini juga akan memakan masa terlalu lama untuk mendapat pulangan balik apatah lagi menjana keuntungan. Ini belum lagi mengambil kira kos-kos lain termasuk kos penyelenggaraan. Pelaburan ke atas projek yang mencecah RM110 bilion ini sangat tinggi sedangkan pulangannya rendah.

5. Kerajaan negeri Johor sentiasa komited dengan janji untuk membawa pembangunan ke Johor tengah dan utara menerusi rangkaian penyambungan mod pengangkutan yang lebih murah, moden dan mengambil kira keberkesanan kos (kos efektif).

6. Apa yang paling penting ialah perkhidmatan yang ditawarkan itu dapat dinikmati oleh rakyat daripada seluruh lapisan masyarakat dan projek yang dilaksanakan itu pula tidak membebankan kewangan negara sehingga menyebabkan negara terpaksa menanggung hutang untuk tempoh masa yang sangat panjang.

7. Kerajaan negeri Johor di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini jelas gagal membangunkan Johor secara seimbang dan menyeluruh. Ada bahagian di negeri ini memperoleh nikmat pembangunan yang `mewah’ manakala sebahagian lagi ketinggalan, diabaikan atau dianaktirikan sepertimana yang berlaku di bahagian Johor utara. Bahagian Johor selatan pula sebagai contoh sentiasa terdedah dan menjadi mangsa kepada pembangunan berbentuk `permainan’ spekulasi hartanah.

8. Dengan kepercayaan dan sokongan penuh rakyat negeri Johor sebagaimana yang dizahirkan dalam pilihan raya umum baru-baru ini, kerajaan Johor berhasrat membangunkan Johor secara holistik dan tidak akan sesekali mengulangi kesilapan kerajaan sebelum ini yang kesan buruknya terpaksa ditanggung oleh rakyat negeri ini sendiri, insya-Allah.

9. Berhubung dengan penalti kira-kira RM500 juta yang terpaksa dibayar oleh Malaysia akibat pembatalan projek tersebut, adalah lebih baik kerajaan menanggung kerugian jangka pendek sedemikian daripada terpaksa menanggung beban hutang sehingga RM100 bilion yang sudah tentu memberi kesan yang sangat buruk kepada negara.

10. Bekas Menteri Besar Johor ada mengaitkan pembatalan projek tersebut dengan kegagalan saya dalam menjaga kepentingan negeri Johor dan rakyatnya. Sukalah saya menegaskan bahawa menjaga kepentingan rakyat Johor dan membela nasib rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan saya sebagai Menteri Besar yang baharu walaupun terpaksa mewarisi banyak `kepincangan’ yang ditinggalkan oleh pentadbiran sebelum ini.

11. Tugas berat dan kritikal yang terpaksa dilakukan oleh kerajaan sekarang ialah memulih dan mengukuhkan kembali kedudukan kewangan negara yang telah dimusnahkan oleh pentadbiran dan kepemimpinan sebelum ini selain memastikan rakyat sentiasa terbela daripada bebanan kos hidup yang tinggi.

YAB Menteri Besar Johor,
Dato Osman Sapian.
3 JUN 2018

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...