Tan Sri Mohamed Apandi Ali menerima keputusan kerajaan menamatkan perkhidmatannya sebagai peguam negara.
“Apa-apa keputusan pun saya akan terima dengan reda sebagai ketentuan oleh Allah. Alhamdulillah,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp apabila ditanya mengenai penamatan perkhidmatannya pagi ini.
Dalam satu kenyataan bertarikh 4 Jun yang dikeluarkan Istana Negara kepada Bernama awal pagi ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan penamatan perkhidmatan Apandi selaku peguam negara.
Dahlan berkata, Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara mengikut Artikel 145 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mencadangkan peguam terkemuka itu sebagai calon peguam negara untuk menggantikan Apandi, 68, yang diberikan cuti tanpa rekod 30 hari sejak 15 Mei lalu.
Pada 14 Mei lalu, Dr Mahathir berkata, Apandi diarahkan bercuti dan Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek mengambil alih tugasnya, berkuat kuasa serta merta.
Apandi, anak kelahiran Kelantan dilantik sebagai peguam negara pada 27 Julai 2015, menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail yang perkhidmatannya ditamatkan atas faktor kesihatan.