Berkongsikan gambar tangkaplayar di halaman Facebook beliau, MAZA menulis portal itu sewajarnya disaman sahaja kerana menyebarkan berita palsu.
MAZA juga menegaskan dirinya tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai Tommy Thomas secara spesifik.
"SUARA TV FITNAH DAN WAJAR DISAMAN
Ini merupakan berita yang diselewengkan oleh SUARA TV. Saluran berita ini sangat tidak bertanggungjawab dan boleh diambil tindakan undang-undang.
Dalam ucapan saya, saya hanya menyebut bahawa dari segi dalil, tiada larangan non-muslim memegang jawatan Peguam Negara. Maka, sama ada seseorang itu layak ataupun tidak hendaklah dikaji latar individu dan kesannya.
Saya tidak menyebut secara spesifik menyokong mana-mana individu," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan yang berbeza, mengulas isu Siti Kasim, MAZA menjelaskan pihaknya melalui One Centre Malaysia akan menganjurkan dialog di antara Ustaz Salman dengan Siti Kasim.
"Ramai yang gelisah dengan cara dan apa yang dilakukan oleh seorang yang dikenali dalam media sebagai Cik Siti Kassim. Sikap beliau membimbangkan banyak pihak.
Atas asas pendekatan yang matang dan ilmiah, pihak saya dengan kerjasama One Centre Malaysia, Perlis dan Badan Peguam Perlis sedang mengatur satu dialog terbuka berkaitan Islam di Malaysia antara Ustaz Salman Ali dan Cik Siti Kassim.
Tarikh dan tempat akan dimaklumkan nanti. Tolong doakan agar dialog terbuka ini berjaya dilaksanakan nanti," katanya.
Siti Kasim sering dilaporkan membuat kenyataan agama yang kontroversi dan kelantangannya bersuara mengenai isu Islam menimbulkan kegelisahan dikalangan umat Islam di negara ini. - 7 Jun 2018.