Oleh : Mykmu
Pada 15 Disember 2013, seorang pemimpin utama DAP dengan bongkak berjanji kononnya Pakatan Rakyat yang dianggotai DAP, PKR dan PAS ketika itu mampu menyelesaikan masalah banjir di Pahang dalam tempoh sepenggal sahaja jika menjadi kerajaan.
“We promise. If we win in Pahang and if we win in Putrajaya, give us one term and the floods in Pahang will be resolved,”. Begitulah janji angkuh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika berlangsung konvensyen DAP di Selangor, beberapa bulan selepas PRU ke-13.
Sebagaimana maklum, Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang selama hampir dua penggal. Sejak menang di Pulau Pinang pada 2008 (PRU ke-12) dan mengekalkan kuasanya dengan pertolongan PAS pada 2013, dia kekal sebagai Ketua Menteri di negeri itu.
Seperti yang kita tahu, musim tengkujuh sudah bermula. Cuaca tidak menentu di negeri-negeri utara di mana hujan turun dengan lebat dalam tempoh yang agak lama. Beberapa daerah di utara dilaporkan media sedang dilanda banjir teruk.

Antara kawasan yang terlibat adalah Mak Mandin, Taman Cantik, Bayan Baru, Bayan Lepas, Sungai Pinang, Batu Feringghi, pusat bandar Georgetown dan termasuklah beberapa kawasan di Seberang Perai. Faktornya ialah hujan lebat yang turun selama beberapa jam.
Benarlah bahawa Guan Eng sebelum ini berjanji masalah banjir di sesebuah negeri itu dapat Pakatan tangani dalam tempoh sepenggal sahaja jika mereka menjadi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat.
Mungkin dia akan memberi alasan bahawa dia hanya menguasai kerajaan negeri dan bukan kerajaan pusat. Dan seterusnya, mungkin dia akan menyalahkan kerajaan pusat atas bencana banjir yang dia gagal atasi di Pulau Pinang, bukan?

Lagipun, sebelum ini pun beberapa pemimpin Pakatan pernah mendabik dada kononnya tidak memerlukan bantuan kerajaan pusat atau luar untuk mengatasi masalah banjir. Jadi, kenapa masih juga gagal?
Pada pandangan penulis, masalah banjir merupakan satu bencana tahunan yang mungkin hanya mampu dikurangkan, namun memerlukan masa yang panjang untuk mengatasinya. Ia perlukan kajian mendalam, perancangan dan perangkaan jauh yang cukup teliti.
Berdepan dengan bencana alam adalah ketentuan Allah SWT. Jika sehebat mana pun, semoden mana pun, sekaya mana pun, secanggih mana pun negara itu, ia tidak akan terlepas sekiranya Allah sudah takdirkan bencana itu berlaku.

Justeru itu, penulis menyarankan supaya pemimpin lain tidak angkuh seperti Guan Eng. Berdepan dengan kuasa Allah SWT, tiada siapa yang mampu menduga. Sepenggal boleh selesai masalah banjir? Negeri yang dia ketuai sendiri pun gagal, kan?