Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 2 September 2020

69% Rakyat Puas Hati Dengan Pentadbiran TSMY.

THE MALAYSIAN INSIGHT | Tujuh daripada 10 pengundi Malaysia berpuas hati dengan prestasi Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dalam tinjauan dijalankan oleh badan pemikir bebas Merdeka Centre.


Ketua penyelidiknya, Ibrahim Suffian juga berkata sembilan daripada 10 orang Melayu dan Bumiputera dari Sabah dan Sarawak memberikan perdana menteri pujian.

“Sebanyak 69% pengundi Malaysia berasa Muhyiddin sudah melakukan tugas hebat sebagai perdana menteri dan 65% pengundi India dan 33% Cina berpuas hati dengannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tinjauan dilakukan antara 15 Julai hingga 10 Ogos 2020 untuk mengukur persepsi pengundi terhadap ekonomi, kepemimpinan dan isu semasa.

Sebanyak 3,415 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 52% Melayu, 29% Cina, 7% India, 6% Bumiputera beragama Islam dan 6% Bumiputera bukan Islam (dari Sabah dan Sarawak) mengambil bahagian dalam tinjauan ini.

Responden dipilih berdasarkan sampel berstrata secara rawak bersama kumpulan umur, etnik, jantina dan kawasan pilihan raya negeri.

Ibrahim menambah kecenderungan serupa juga didapati dalam penilaian awam kerajaan persekutuan yang dipimpin oleh Perikatan Nasional (PN).

Beliau menjelaskan responden berpendapatan kurang RM2,000 menyatakan pandangan positif terhadap kerajaan PN.

“Menariknya, jurang pendapatan adalah salah satu petunjuk untuk membezakan siapa yang setuju atau tidak setuju dengan prestasi kerajaan.

“Kira-kira tiga perempat daripada responden pendapatan isi rumah kurang RM2,000 sebulan menyatakan pandangan positif terhadap kerajaan persekutuan tetapi hanya 40% positif di kalangan pendapatan isi rumah lebih tinggi daripada RM7,000 sebulan.

“Sebanyak 58% pengundi gembira dengan prestasi kerajaan PN yang dipimpin oleh perdana menteri sementara 28% tidak berpuas hati dan marah,”
tambahnya.

Kerajaan PN menggantikan Pakatan Harapan (PH) pada Mac 2020 selepas perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.

Muhyiddin menjadi perdana menteri baru dengan sokongan daripada Umno dan PAS serta parti dari Sarawak, sehingga pembangkang menyebutnya sebagai “kerajaan pintu belakang” - 2 September 2020.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...