Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 4 Februari 2020

Pembentukan Kerajaan Baru, Apa Pendirian PH?

Shahbudin Husin | PEMBENTUKAN KERAJAAN BARU, APA PENDIRIAN PH?

Berikutan pendedahan Ahli MT UMNO, Lokman Noor Adam semalam berhubung keinginan Ahmad Zahid Hamidi untuk membawa UMNO bekerjasama dengan Tun Mahathir Mohamad bagi membentuk sebuah kerajaan baru yang dinamakan Pakatan Nasional, beberapa persoalan kini mula menarik perhatian.


Pertama, apakah dengan pendedahan Lokman itu, pembentukan kerajaan baru tersebut akan tetap menjadi kenyataan?

Ataukah rancangan menubuhkan Pakatan Nasional itu sudah terbatal dengan sendirinya?

Apakah dalam mesyuarat MT UMNO 7 Februari ini, agenda pembentukan kerajaan baru tetap akan menjadi tajuk perbincangan?

Yang kedua, apakah pendirian Tun Mahathir Mohamad berhubung pendedahan Lokman itu?

Sediakah Tun Mahathir mengakui memang beliau yang mahu menarik UMNO bersama-sama mewujudkan kerajaan baru itu?

Dari segi logik, jika tiada lampu hijau daripada pihak Tun Mahathir, mustahil Zahid Hamidi dan UMNO yang terhegeh-hegeh mahu mewujudkan kerajaan baru itu.

Ini kerana asas pengwujudan kerajaan baru itu ialah untuk mengekalkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal dan meskipun Zahid Hamidi serta UMNO akan turut memperolehi manfaat daripadanya, manfaat terbesarnya ialah untuk Pengerusi Bersatu itu.

Dengan demikian, pelawaan atau usaha awal mesti datang daripada pihak Tun Mahathir.

Soalnya, apabila perkara ini terdedah lebih awal, apakah Tun Mahathir sedia mengakuinya?

Atau Tun Mahathir akan menafikannya untuk menyelamatkan kedudukannya bersama PH?

Ketiga, daripada sudut apa sekalipun, berikutan rancangan menubuhkan kerajaan baru itu bukan lagi rahsia dan sudah terdedah kepada umum, PH tidak boleh lagi sekadar berdiam diri begitu saja.

Apa sebenarnya pendirian PH berhubung perkembangan terbaru ini?

Oleh kerana yang dilibatkan secara langsung dalam pembentukan kerajaan Pakatan Nasional itu ialah Tun Mahathir dan Bersatu, salah satu ahli gabungan dalam PH, tidakkah ini sebetulnya memerlukan PH mengadakan mesyuarat tergempar dengan kadar segera?

Tidak mahukah PH mendengar sendiri penjelasan dan pengakuan sebenar daripada Tun Mahathir mengenai kerajaan baru itu?

Keempat, oleh kerana PKR, DAP dan Amanah serta PH nampaknya bakal ditinggalkan oleh Tun Mahathir untuk beralih kepada gabungan kekasih baru Pakatan Nasional yang merangkumi UMNO dan Pas, sedarkah mereka bahawa PH dalam diam-diam cuba dikhianati oleh Perdana Menteri sendiri?

Tidakkah, dalam kedaan ini, selain keikhlasan Tun Mahathir terhadap PH sangat-sangat dituntut, pembuktian keikhlasannya sepatutnya mesti diserlahkan dengan beliau bersetuju menetapkan tarikh peralihan kuasa dengan seberapa segera?

Wahai Majlis Presiden PH, mahu tunggu apa lagi, janganlah jadi ular sawa kenyang terlalu lama? - 4 Februari 2020.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...