Penasihat Umum Amanah, Datuk Seri Ahmad Awang berkata, jalinan kerjasama parti pembangkang itu sengaja menggunakan istilah agama dan kesannya ummah semakin diberpecah dalam isu perkauman dan agama sempit, bukannya bersatu.
“Umno sekarang ibarat pokok yang hampir tumbang jadi Pas ini yang ‘menahan’, jadi mereka gunakan agama. Sebab di Malaysia ini kalau dia gunakan agama orang terpengaruh.
“Umno-Pas gunakan agama untuk meraih sokongan politik dan kekuasaan yang sebenarnya memecahbelahkan lagi ummah dengan politik gaya ekstrem menuduh pihak lain tidak islamik dan banyak lagi.
“Perbuatan inilah yang menyebabkan ummah berpecah teruk kerana begitu agresif atau ekstrem dengan perkauman. Kalau betul nak menyatupadukan ummah, janganlah bermain politik,” katanya dipetik Suara Keadilan.
Menurut Ahmad lagi, perjuangan atas dasar penyatuan ummah itu turut memecahbelahkan masyarakat di Malaysia yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum.
“Kita ada banyak NGO dalam negara yang baru-baru ini memainkan isu sensitif juga dalam kalangan orang Pas – Umno juga.
“Dengan menggunakan perkataan ummah, nama politik dan NGO yang berlatarkan politik akan memecah belahkan ummah. Bagaimana nak menyatukan ummah kalau perbuatan orang yang mendakwa menyatukan ummah itu menyerang sebahagian daripada ummah?” soalnya.
Ahmad mencabar Pas dan Umno sekiranya benar mahu menyatupadukan ummah maka kedua-duanya harusnya bekerjasama dengan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam menyelesaikan apa jua masalah besar negara.
Penyatuan seperti itu akan memberi lebih banyak kebaikan kepada umat Islam di Malaysia, katanya.