Thosrin menjelaskan, dakwaan larangan yang didakwa terkandung dalam satu pekeliling itu tular di media sosial hari ini masih lagi di peringkat perbincangan.
Perkara itu hanya akan diputuskan pada Ahad selepas pertemuan dengan Majlis Agama Islam Johor (Mainj), katanya
“Itu hanya cadangan, belum muktamad. yang tular itu belum disahkan, tidak ada tandatangan (Yang di-Pertua Mainj).
“Apa-apa keputusan akan dibuat pada Ahad,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor itu berkata pihak Mainj juga tidak mengetahui bagaimana cadangan larangan itu ditularkan.
“Saya sudah berhubung dengan pihak Yang di-Pertua, beliau pun tidak tahu siapa yang tularkan, tapi apa-apa pun keputusan akan dibuat pada Ahad, katanya.
Dokumen berhubung tempat penyembelihan dan pengurusan haiwan korban itu melarang masjid dan surau di negeri itu digunakan sebagai tempat menyembelih binatang korban.
Dokumen dengan nombor pekeliling 01/PMS/2019 itu juga menyatakan Mainj bersetuju agar garis panduan berkenaan diterima pakai dan dikuatkuasakan
Ia turut melarang operasi menyuci, membersih atau melupus apa-apa bahagian haiwan korban di bilik air, tandas, tempat wuduk atau di mana-mana kawasan masjid atau surau.
Aidiladha akan disambut penganut agama Islam pada Ahad, 11 Ogos depan.