Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Jumaat, 13 Julai 2018

Hidang Babi Pada Wartawan Muslim, Hindu, Penganjur Agro Malaysia Melaka Minta Maaf.

Oleh : Free Malaysia Today

Penganjur majlis makan malam Anugerah Pencapaian Kecemerlangan Agro Malaysia di Melaka, malam tadi, memohon maaf atas kesilapan kakitangannya selepas didakwa tidak sensitif terhadap wartawan beragama Islam dan Hindu kerana ditempatkan di meja menghidangkan daging babi.




Setiausaha Persatuan Perlindungan Dan Pembangunan Pertanian, Chai Siong Siow berkata, kakitangannya keliru dalam membezakan wartawan dan hadirin lain.

Katanya, mereka menyediakan 5 meja makanan halal, 5 lagi meja makanan vegetarian dan selebihnya 50 meja menghidangkan makanan tidak halal kerana 90% hadirin ialah orang bukan Islam serta pelabur dari luar negara.

Keadaan dalam dewan Sekolah Pay Fong di Melaka ketika penganjuran majlis makan malam Anugerah Pencapaian Kecemerlangan Agro Malaysia, semalam.

“Kami mohon maaf. Kami sediakan 5 meja lain (yang menghidangkan makanan halal), termasuk meja tetamu VIP, 4 meja yang lain adalah terbuka untuk tetamu beragama Islam.

“Ada juga wartawan yang duduk di meja berkenaan, namun masalahnya kru saya tidak kenal siapakah wartawan-wartawan yang hadir, jika tidak mereka akan bawa ke meja halal,”
katanya kepada FMT hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan beberapa wartawan beragama Islam dan Hindu terkilan dihidangkan daging babi ketika membuat liputan majlis malam malam itu di Sekolah Pay Fong, Melaka, malam tadi.

Mereka dilaporkan kecewa dengan penganjur yang tidak sensitif dan gagal mengendalikan majlis dengan baik serta tidak memaklumkan akan menghidangkan makanan tidak halal.

Antara wartawan yang hadir ialah daripada Utusan Malaysia, MelakaKini, RTM Melaka, The Star dan Tamil Nesan Daily dan beberapa wartawan akhbar Cina.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin, Adun serta beberapa tetamu kehormat lain.

Sim berkata, beliau hadir sebagai tetamu dan penganjur memaklumkan mereka menyediakan meja makanan halal di depan dewan sebagai tanda menghormati penganut agama Islam.

“Manakala meja yang mengandungi makanan tidak halal pula diletakkan di belakang untuk bukan Muslim sahaja,” katanya dalam mesej WhatsApp kepada FMT hari ini.

Mengulas lanjut, Chai berkata, pihaknya menjemput agensi media hadir ke majlis itu, tetapi hanya akhbar China Press, Nanyang Siang Pau dan Sin Chew Daily memaklumkan mereka akan hadir.

“Jadi, kami sediakan satu meja untuk wartawan-wartawan dari agensi berkenaan.”
Beliau berharap majlis makan malam itu tidak lari daripada matlamat asal untuk menarik pelabur asing ke Melaka.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...