Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 10 April 2018

Manifesto PAS VS BARISAN NASIONAL VS HARAPAN - Analisis Abdul Muein Abadi.

Oleh : Abdul Muein Abadi

KEPUTUSAN AKHIR ANALISIS MANIFESTO PRU-14

1. Keputusan mengejut terhasil dalam analisis akhir manifesto parti-parti politik apabila buat pertama kali sejak BN ditubuhkan, kuasa negara dalam Manifesto mereka jatuh di belakang Manifesto Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Hal ini terbukti apabila sebahagian komponen kuasa negara yang sebelum ini terpusat (centralized) sejak era Almarhum Tun Razak kini telah dikendurkan (Liberalized). Namun Manifesto BN masih mengatasi Manifesto Pakatan Harapan (PH).




2. Analisis sebelum ini jelas telah membuktikan bahawa manifesto PAS mempunyai visi negara yang lebih berkuasa dan kuat berbanding manifesto Pakatan Harapan (PH).

3. Empat komponen yang diajukan oleh Fareed Zakaria dalam karya beliau ‘From Wealth to Power’ terbitan Princeton University Press kembali digunapakai bagi menilai kuasa negara dalam ketiga-tiga Manifesto BN, PAS, dan PH.

4. Keempat-empat komponen ‘kuasa negara’ dari perspektif ‘State-centered Realism’ yang diajukan Fareed Zakaria ialah autonomi negara (state autonomy), skop tanggungjawab negara (state scope), keupayaan negara mengekstrak sumber (state’s ability to extract wealth), dan kesepaduan negara (state cohesion).

5. Kuasa negara yang kuat dicirikan oleh negara yang berautonomi tinggi, memiliki skop tanggungjawab yang luas, berkeinginan (dan mampu) mengekstrak sumber dalam skala besar, dan bersepadu. Negara yang lemah pula dicirikan oleh autonomi yang rendah, memiliki skop tanggungjawab yang sempit, tidak berkeinginan mengekstrak sumber dalam skala besar, dan tidak bersepadu.

6. Kesemua empat komponen kuasa negara ini cukup penting dari perspektif geopolitik dan geostrategi dalam jangka masa panjang di mana Fareed Zakaria mengajukan bahawa ‘sesebuah negara hanya mampu untuk meluaskan kepentingan politik mereka ke luar negara apabila terdapat peningkatan relatif kuasa negara mereka’.

7. Analisis ini turut menambah satu lagi dimensi, iaitu ‘Visi Antarabangsa’. Adalah sia-sia sekiranya negara mempunyai kuasa yang kuat namun tidak memiliki visi antarabangsa yang proaktif. Lebih malang sekiranya kuasa yang kuat tersebut digunakan sekadar untuk mengukuhkan status quo order dunia semasa tanpa berikhtiar untuk mempengaruhi atau mengubahnya.

8. Secara keseluruhannya, Manifesto BN masih menyaingi Manifesto PAS dalam menguatkan kuasa negara seperti dalam aspek ‘Skop Negara’ dan ‘keupayaan negara mengekstrak sumber’, namun ia sedikit kendur dari segi ‘Autonomi negara’ dan ‘kesepaduan negara’. Bukti ketara terdapat dalam halaman 201 dan 202 Manifesto BN. Manifesto PH pula gagal untuk menyaingi kesemua empat komponen kuasa negara dalam Manifesto PAS dan BN.

9. Dari segi komponen yang pertama iaitu Autonomi Negara, dalam halaman 201 Manifesto BN mengambil keputusan mengurangkan autonomi negara dengan pendirian ‘zaman Kerajaan mengetahui dan menentukan segalanya sudah berakhir’. Hal ini diterjemahkan dengan langkah memperkenalkan mekanisme “Petisyen Awam untuk setiap isu mustahak. Mana-mana petisyen atas talian yang menerima lebih 30,000 sokongan akan mendapat maklum balas dari Kerajaan” (Hlm.202).

10. PAS sebaliknya mengukuhkan kuasa Eksekutif dengan menawarkan kombinasi kerajaan Teknokrat iaitu ‘Pemerintahan yang diterajui oleh kumpulan pakar yang mempunyai ilmu dan kemahiran yang tinggi dalam bidang masing-masing, sektor kementerian diambil alih mengikut bidang kepakaran seseorang menteri, meletakkan kepakaran dan kemahiran sebagai aspek utama’.

11. Sebaliknya PH menerusi “Janji 12: Mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri dan menstruktur semula Jabatan Perdana Menteri” jelas menyasarkan pelemahan kuasa Eksekutif. Langkah ini diterjemahkan melalui penurunan “tanggungjawab lain [JPM] akan diturunkan kepada kementerian-kementerian yang bersesuaian” di samping “Mengurangkan bilangan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan cara memindahkan seberapa banyak agensi yang mungkin ke kementerian yang berkaitan”.

12. Dari segi komponen kedua iaitu kesepaduan negara pula, Manifesto BN memperkenalkan langkah yang membawa implikasi pengurangan kesepaduan iaitu penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen. Langkah ini bertujuan ‘memperhalusi serta memberi maklumbalas mengenai isu-isu kepentingan awam’ (hlm.208).

13. Namun demikian, langkah ini diimbangi hakikat bahawa kesepaduan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di bawah BN sedia kukuh. JPM kini menguasai tidak kurang 58 jabatan seperti Unit Perancang Ekonomi (EPU), Majlis Keselamatan Negara (MKN), ESCOMM, APMM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Unit Khas Strategik (UKS), dan sebagainya.

14. Sepertimana PAS yang mengusulkan penubuhan Institusi Hisbah Rakyat (People Ombudsman) sebagai pemantau (Manifesto halaman 5), BN turut memperkenalkan inisiatif Ombudsman: “Mewujudkan Ombudsman untuk menyiasat sebarang aduan awam mengenai ketidakadilan dan kelemahan perkhidmatan kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan” (Hlm.205).

15. Manifesto PH sebaliknya menjejaskan kesepaduan negara dengan Janji 27 untuk memansuhkan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016. Akibatnya kesepaduan antara Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri, Panglima ATM, dan Ketua Polis Negara bakal terjejas. Seperti mana penegasan Fareed Zakaria tentang pentingnya ‘kesepaduan negara’ (state cohesion), demikianlah peri pentingnya kesepaduan Majlis Keselamatan Negara di mana ‘pembuatan keputusan yang terpusat menjamin keupayaan dan kecekapan sesebuah negara’ dalam bertindak ketika di masa krisis mahu pun konflik.

16. Dari segi komponen ketiga iaitu keupayaan negara mengekstrak sumber (state’s ability to extract wealth), kapasiti negara yang tinggi diutamakan oleh kedua-dua BN dan PAS. Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs) dan Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLICs) terus dijanjikan BN sebagai wahana penjana sumber negara. Turut menarik perhatian ialah janji BN Meningkatkan kerjasama Kerajaan dengan peneraju industri pertahanan tempatan bagi menghasilkan teknologi pertahanan keluaran Malaysia (Hlm.89).

17. Demikian juga dinyatakan PAS dalam Prinsip WINS 2051 iaitu Prinsip kelima ‘Peranan jelas dan cekap antara kuasa Politik dan kuasa ekonomi. Kuasa Politik sebagai penentu halatuju negeri, Perancang Program, dan Pemantau. Kuasa Ekonomi melaksanakan perancangan yang diputuskan dengan kepentingan rakyat sebagai keutamaan’. Perbezaan PAS dengan BN terletak pada satu aspek kritikal: PAS mengajukan rancangan Penggantian Import (Import Substitution): “Menukarkan keperluan kepada barangan import dengan barangan domestik khususnya berkaitan dengan projek-projek kerajaan…Sekaligus produk dan perkhidmatan inovasi negara mesti diberi ruang agar dapat memasuki pasaran untuk dikomersilkan…memberi fokus kepada inisiatif “localization” di mana produk dan perkhidmatan tertentu dibantu untuk dibangunkan di dalam negara” (Dokumen Hijau PAS halaman 24-25).

18. Sebaliknya, Janji 60 PH meletakkan negara di bawah piawaian (dan kawalan komitmen) asing seperti OECD, Bank Dunia, Open Government Partnership, Open Contracting Partnership, Open Budget Initiative, dan sebagainya (Halaman 153).

19. Dari perspektif komponen keempat ‘skop negara’ (state scope), kerajaan yang mengurangkan perbelanjaan awam dinamakan ‘Minimal state’ manakala kerajaan yang meningkatkan perbelanjaan awam seperti negara berkebajikan dinamakan ‘Maximal state’. BN dan PAS kedua-duanya menjanjikan Malaysia sebagai ‘Maximal State’, sebaliknya PH memilih laluan menjadikan Malaysia sebagai ‘Minimal state’.

20. Janji 60 PH antaranya jelas memaksa kerajaan meminimumkan perbelanjaan awam dan selari pula dengan prinsip ‘small state, limited government’. Hal ini berkait dengan persepsi negatif terhadap hutang kerajaan dan matlamat yang lebih diutamakan ialah pengurangan defisit dalam belanjawan kerajaan.

21. Sebaliknya, Prinsip Kelima WINS 2051 PAS mencerminkan aliran ‘Maximal state’ yang lebih kuat dengan menjanjikan kerajaan lebih bebas untuk merencana pembangunannya tanpa ikatan atau komitmen luar. Prinsip ini juga bebas daripada mazhab ekonomi politik Libertarian mahupun Neoliberal yang cenderung kepada penswastaan, liberalisasi, dan deregulasi.

22. Demikian juga BN di mana kerajaan masih berskala ‘Maximal State’ seperti mana yang disenaraikan dalam pelbagai projek pembangunan yang dijanjikan Manifesto BN. Saiz dan dominasi GLCs dan GLICs tidak tergugat. Paling ketara dalam segmen perumahan rakyat, infrastruktur, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta perindustrian berteknologi tinggi.

23. Dari sudut visi antarabangsa pula, posisi yang berbeza dapat diperhatikan antara ketiga-tiga BN, PAS, dan PH. BN lebih selesa dengan status quo order antarabangsa dengan pendekatan Konstruktivisme, PAS pula lebih Realis dengan bermatlamat menjadi pemain utama di tiga peringkat sistem antarabangsa yang berbeza, manakala PH pula lebih terikat dengan paradigma ‘Liberal-Institutionalism’.

24. Manifesto BN dalam seksyen 5 ‘Keselamatan’, menjelaskan visi antarabangsa BN iaitu: meluaskan diplomasi pertahanan serantau, idea Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), dan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman. BN masih mengekalkan objektif untuk menyebarluaskan idea ‘kesederhanaan’ yang selari dengan pendekatan aliran Konstruktivisme dalam hubungan antarabangsa di mana nilai-nilai sebegini dipromosikan dalam proses ‘Sosialisasi’.

25. PH pula terikat dengan paradigma ‘Liberal-Institutionalism’ di mana dalam Janji 60 PH hanya menyasarkan untuk “memposisikan Malaysia sebagai kuasa pertengahan (middle power)” (Hlm.155). Manifesto PH menyaksikan Malaysia sebagai pemain biasa dalam institusi antarabangsa sedia ada seperti ASEAN, Komanwel, OIC, dan PBB.

26. Lebih Realis ialah PAS yang meletakkan “Fasa 3: Malaysia Memimpin 2041-2051” dalam tiga struktur antarabangsa utama seperti mana digariskan dalam Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS 2051). Fasa 3 WINS PAS menyasarkan Malaysia menjadi pemimpin di peringkat serantau, peringkat negara Islam, dan juga dalam kalangan negara sedang membangun khususnya negara Dunia Ketiga.

27. Konklusinya, Manifesto PAS menjanjikan Malaysia yang lebih kuat dan berkuasa dengan autonomi yang tinggi, pentadbiran yang bersepadu, berkuasa mengekstrak sumber dalam skala yang besar, serta mempunyai skop yang luas (Maximal State). Ia mengatasi Manifesto BN yang turut menjanjikan negara yang berkuasa mengekstrak sumber dalam skala yang besar, bersepadu, serta memiliki skop yang komprehensif (Maximal State). Namun demikian Manifesto BN lebih kendur dari segi Autonomi Negara. Manifesto PH pula kekurangan dalam kesemua empat komponen berkenaan.

Keputusan Analisis Kuasa Negara dalam Manifesto PRU-14 : PAS (4), BN (3), PH (0).

Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...