Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menafikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menarik balik anggota Unit Tindakan Khas (UTK) yang menjadi pengiring peribadi Tun Dr Mahathir Mohamad seperti yang tular di media sosial akhir-akhir ini.
Menurut Ketua Polis Negara hak keistimewaan pada Dr Mahathir masih kekal namun beberapa anggota pengiring peribadi daripada anggota biasa diarahkan kembali bertugas dengan PDRM.
“Itu tidak benar sama sekali. Pengiring peribadi daripada pegawai UTK masih berkhidmat dengan Dr Mahathir.
“Hanya anggota biasa sahaja kita panggil kembali untuk tugasan lain, itu hanyalah prosedur biasa,” katanya seperti dilaporkan Mingguan Malaysia hari ini.
Terdahulu pada khamis lepas, Dr Mahathir menerusi akaun Facebooknya memaklumkan khidmat pengiring peribadi daripada UTK telah ditarik balik.
"Genap setahun yang lalu, Kak Fauziah dan pembantu rumah di pejabat dipindahkan dan ditamatkan kontrak oleh kerajaan.
"Hari ini (Khamis), khidmat pengiring UTK pula ditarik balik, perjuangan tetap diteruskan," katanya. Sebelum ini khidmat tukang masak dan pembantu rumah bekas Perdana Menteri Malaysia keempat itu telah ditarik balik pada tahun lepas dipercayai atas sebab kelantangan Mahathir mengkritik pentadbiran Najib.
Khidmat polis pengiring trafik Mahathir juga ditarikbalik pada Mei tahun lepas kerana Mahathir terlibat dalam protes BERSIH 5.