Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Ahad, 5 November 2017

Jangan Politikkan Isu Bantuan Banjir - Zahid Hamidi

Oleh : Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak mempolitikkan bantuan kerajaan persekutuan kepada mangsa banjir di Pulau Pinang.
Beliau berkata kerajaan persekutuan komited membantu mangsa banjir biarpun negeri tersebut diperintah sebuah parti yang bukannya membentuk kerajaan persekutuan.
"Kerajaan Persekutuan amat komited untuk membantu semua mangsa berkenaan walaupun ada yang katakan ini bukan tanggungjawab kerajaan negeri sebaliknya kerajaan pusat.
"Jangan politikkan isu bantuan ini kerana mangsa banjir tanpa mengira warna parti politik dan kaum.
"Setiap mereka harus dibantu apatah lagi rakyat Malaysia yang prihatin membantu mangsa bencana di negara luar tentunya keutamaan juga harus diberikan kepada rakyat kita yang menjadi mangsa," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan amanat tertutup kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak di Kuching hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Masir Kujat, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri tiba di situ kira-kira jam 1.30 tengah hari sebelum menerima tabik hormat bagi memeriksa perbarisan pasukan kawalan kehormat Batalion ke-11 Pasukan Gerakan Am Kem Batu Kawa, Kuching.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah menghubungi beliau kali kedua hari ini kira-kira 12.41 tengah hari memaklumkan bantuan kerajaan persekutuan menerusi beberapa agensi telah diterima.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan saya menghulurkan bantuan biarpun negeri berkenaan kerajaan negeri yang tidak sama parti dengan Putrajaya namun atas rasa kemanusiaan dan tanggungjawab kepada rakyat keseluruhannya, saya telah arahkan agar mobilisasi anggota dan aset semua agensi penguatkuasaan ini dilakukan segera.
"Lim Guan Eng telah hubungi saya 12.41 tengah hari dah sahkan pasukan itu semua telah berada di Pulau Pinang sekarang," katanya.
Ketika ditanya bentuk bantuan kepada mangsa banjir, Ahmad Zahid berkata peruntukan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dihulurkan kepada mangsa ketika ini.
"Kita menggunakan peruntukan Nadma yang saya sebagai pengerusi, bantuan diberikan bukan sahaja dalam bentuk bantuan kewangan segera tetapi juga semua bentuk makanan, peralatan, perlindungan, perubatan serta lain-lain keperluan di dalam tempoh kurang enam jam apabila arahan itu dikeluarkan.
"Jika mana-mana keluarga masih belum terima bantuan sila hubungi pegawai Nadma ataupun agensi bantuan lain untuk kita ambil tindakan segera.
"Mungkin ada terputus hubungan dan sebagainya bantuan lambat sampai tetapi kerajaan persekutuan amat komited untuk bantu semua mangsa-mangsa berkenaan," katanya.
Sementara itu, Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong dalam kenyataan hari ini berkata anggota jawatankuasa pusat parti itu mengumpul RM100,000 bagi tabung bantuan banjir.
Katanya bantuan itu akan dihantar ke pusat pemindahan banjir parti dan sukarelawan di Pulau Pinang dengan segera.
“Gerakan akan membantu mangsa banjir di Pulau Pinang dan saya telah menghubungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan situasi banjir itu. Kerajaan persekutuan akan menyediakan bantuan untuk negeri yang dilanda banjir,” katanya.
Beliau berkata Gerakan Pulau Pinang telah mengaktifkan semula pusat pemindahan banjir dengan ramai sukarelawan digerakkan bagi membantu mangsa yang terlibat, terutama sekali di kawasan yang terjejas teruk.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...