Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 1 Mac 2017

Kemusnahan Tasik Chini : Apa Yang Anda Patut Tahu Dan Kenapa Kerajaan Pahang Buat Tidak Tahu.

5 hari lepas, dalam satu laporan khas, Harian Metro ada mendedahkan kemusnahan alam sekitar yang berlaku di Tasik Chini dan kawasan persekitarannya.

Kawasan Pembalakan Di Tasik Chini
Laporan Oleh Harian Metro
Tasik Chini ialah tasik semulajadi kedua terbesar dalam negara ini selepas Tasik Bera. Ini menunjukkan betapa pentingnya ia sebagai khazanah alam yang patut dipelihara.

Dalam laporan itu, ia menyebut saiz Tasik Chini semakin mengecil dan sedang menunggu masa untuk menjadi kering jika pemendapan dasar tasik terus berlaku. Sebelum ini Tasik Chini berhadapan dengan masalah air yang keruh dan kemusnahan habitat teratai yang sering tumbuh mekar di sekitar tasik itu berikutan kegiatan pembalakan dan perlombongan yang tidak terkawal.

Berikut ialah kronologi bagaimana aduan demi aduan, desakan demi desakan dibuat kepada pihak berkuasa dan kerajaan negeri namun ianya tidak dipedulikan sehingga sekarang walaupun keadaan Tasik Chini semakin memburuk. 

Siapakah dibelakang aktiviti pembalakan dan perlombongan sehingga tiada satu pun pihak berani mengambil tindakan tegas? Anda fikirkan.

1. Kajian Mendedahkan Ancaman Kemusnahan Tasik Chini

Pada Ogos 2012, satu laporan diterbitkan bagi memberi peringatan kepada kerajaan tentang ancaman yang dihadapi oleh Tasik Chini kesan daripada aktiviti perlombongan dan pembalakan yang tidak terkawal.

Peringatan itu disusuli dengan amaran bahaya yang dihadapi oleh Tasik Chini iaitu ia akan mengalami kemusnahan dan lenyap menjelang tahun 2030.

2. PAS Mohon Kawal Kemusnahan Tasik Chini

Pada Ogos 2012, Harakah melaporkan kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengesakan satu langkah pengawalan diambil bagi menghalang aktiviti pembalakan dan perlombongan memusnahkan kawasan Tasik Chini.

Selain dari kawasan pelancongan, Tasik Chini juga kawasan tempat tinggal bagi 1,000 penduduk Orang Asli. Berikutan aktiviti pembalakan, sumber air mereka tercemar.

Rujuk : http://arkib.harakahdaily.net/arkibharakah/index.php/arkib/berita/lama/2012/8/44319/tasik-chini-mungkin-musnah-lebih-cepat-lagi.html

3. MB Pahang kata komited nak pelihara Tasik Chini

Pada tahun yang sama, kerajaan negeri Pahang dilaporkan komited bagi memelihara Tasik Chini dari kesan pencemaran. Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob juga dilaporkan berkata keadaan di Tasik Chini tidaklah seteruk seperti yang dilaporkan. Kepekatan logam yang didapati dari air tasik berkenaan adalah kerana faktor semulajadi dan bukan kesan daripada aktiviti perlombongan.

Rujuk : http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/isu-nasional/532-2012-08/13843-16-ogos-pahang-komited-mahu-tasik-chini-terus-dipulihara.html

4. Tinjauan mendapati kawasan sekitar Tasik Chini teruk tercemar - 2014

Pada tahun 2014, sekitar bulan November satu lagi laporan khas berkaitan kemusnahan alam di Tasik Chini dilaporkan. Kali ini kajian disiarkan menerusi laporan edisi khas Utusan Malaysia. 
Anak-Anak Orang Asli - Tasik Chini, Gambar Bernama

Kajian itu menyebut, kerosakan alam sekitar di kawasan Tasik Chini semakin teruk. Bukit-bukit banyak yang gondol kesan dari aktiviti pembalakan. Air tasik yang kebiruan juga bertukar menjadi keruh dengan perubahan warna. Keadaan itu akan semakin memburuk apabila tiba musim tengkujuh. Penduduk juga bimbang dengan hakisan yang berlaku di tebing tasik. Hampir keseluruhan ekosistemnya telah berubah berikutan kesan pencemaran.

Antara kandungan laporan oleh Utusan Malaysia pada 24 November 2014.



Rujuk : http://m.utusan.com.my/berita/nasional/persekitaran-tasik-rakus-diteroka-aktiviti-lombong-balak-ladang-1.28601

5. ADUN kata Tasik Chini perlu diperbadankan untuk kawal kerosakannya.

Susulan dari pendedahan yang dibuat oleh wartawan Utusan Malaysia, Datuk Abu Bakar Harun, ADUN Chini dalam respon segeranya berkata Tasik Chini perlu diperbadankan bagi memudahkan proses pemuliharaan.

Cadangan yang dibuat pada tahun 2014 ini menyatakan, Tasik Chini akan kembali pulih dengan kerjasama semua pihak dan beberapa penambahbaikan akan dilakukan selepas ini.

Rujuk : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tasik-chini-perlu-diperbadankan-1.29307

6. Air Tasik Chini berlumpur, kawasan bukit bergondol

Pada awal tahun 2015, Presiden Sahabat Alam Sekitar, Datuk Abdul Malek Yusof berkata air Tasik Chini kini mulai berlumpur. Ianya berpunca dari aktiviti pembalakan di kawasan berdekatan.

Empangan Tasik Chini
Air Ke Empangan Chini Kini Keruh, Gambar Sinar Harian

Dalam satu lawatan yang dilakukan bagi meninjau sendiri keadaan pencemaran di Tasik Chini, Datuk Abdul Malek berkata, terdapat kawasan bukit yang gondol kerana tiadanya aktiviti penanaman semula. Malahan katanya, ada risiko tinggi berlakunya banjir jika lumpur berterusan memenuhi dasar tasik.

Rujuk :  http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/pahang/ngo-kemusnahan-alam-punca-bencana-banjir-1.349864

7. Selepas hampir 2 tahun, janji tinggal janji

Sekali lagi pada awal tahun 2017, aktivis alam sekitar terpaksa membangkitkan masalah yang sama tentang Tasik Chini.

Ini berlaku kerana kegagalan kerajaan menanggani isu pencemaran dan aktiviti pembalakan di kawasan sekitar Tasik Chini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PEKA, Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil, terdapat aktiviti pembalakan yang berlaku di Tasik Chini meskipun telah dinafikan oleh pihak kerajaan.

Semasa melakukan tinjauan, PEKA melihat tidak kurang dari 3 lori yang sarat membawa muatan kayu kayan yang mengesahkan wujudnya aktiviti pembalakan. Malahan terdapat sebuah lombong besi yang masih beroperasi.

Rujukan :  http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/selamatkan-tasik-chini-1.635312

8. Menteri kata tiada aktiviti pembalakan di Tasik Chini la!

Sebelum ini semasa portal Harian Metro mendedahkan kemusnahan teruk yang berlaku di Tasik Chini, Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar menafikan berlakunya aktiviti pembalakan di kawasan berhampiran Tasik Chini. Pendedahan portal Harian Metro juga tidak mencerminkan keadaan sebenar di Tasik Chini.

Rujuk :  http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1332839

Untuk itu, kami melakukan semakan di Google Earth bagi merungkai kebenaran kenyataan menteri berkenaan.


Kelihatan wujudnya aktiviti pembalakan di kawasan utara Tasik Chini. Kami tidak pasti kenapa menteri menafikan laporan tersebut.

Gambar ini juga menjawab tuduhan sesetengah pihak bahawanya kemusnahan alam di Tasik Chini bukanlah andaian semata-mata. Sesetengah pelancong tidak pergi ke kawasan yang terjejas dengan aktiviti pembalakan dan beranggapan aktiviti pembalakan tidak wujud di kawasan berhampiran Tasik Chini.

Pada pandangan kami, menteri seharusnya turun padang dan meninjau lokasi yang terjejas dengan lebih dekat. Dan memperluaskan lagi kawasan perhutanan yang diwartakan sebagai hutan simpan bagi melindungi kepentingan Tasik Chini. 

Kami akhiri laporan ini dengan harapan agar pihak kerajaan lakukan sesuatu sebelum ia benar-benar hilang dari pandangan kita.  

Tasik Chini ada potensi yang sangat hebat sebagai produk pelancongan bertaraf dunia jika kita pandai memanfaatkan kelebihan yang terdapat padanya. Hutan, sungai, tasik semulajadi bukanlah sesuatu yang mampu kita ganti sama seperti mana yang Tuhan ciptakan. Jangan biar kecuaian dan ketidakpedulian kita membunuh satu lagi nyawa 'alam semulajadi'. Fikirkan. 


Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...