Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 11 Februari 2017

Murtad Di Kelantan - Ini Apa Yang PAS Kelantan Patut Tahu.

Oleh : Mohd Fauzi Mohd Azmi.

Murtad: Kisah Tersembunyi di Sebalik Blockade 

Hari ni saya kongsikan kisah yang dah lama saya simpan. Rasanya ini masa yang tepat untuk satu pendedahan menarik di sebalik Krisis Orang Asli, Pembalak & Kerajaan Negeri Kelantan yang menjunjung Perjuangan Islam. 

Pertama. Saya mula mengenali Blockade selepas viral di Media Sosial pergaduhan antara Orang Asli dengan Pembalak di Blockade Simpang Petei, ketika itu saya bermastautin di Selangor. 

Dijemput pulang ke Kampung halaman (Kelantan) untuk kembali aktif dalam kerja sosial oleh sahabat-sahabat dari Kelantan yang berkunjung ke tempat saya bekerja. Usaha sahabat-sahabat yang datang dari jauh saya raikan dengan persetujuan dan awal bulan Oktober, 2016 saya kembali ke Kelantan dan 4hb. Oktober, 2016 buat pertama kalinya saya dengan ditemani anak bongsu saya dan beberapa rakan aktivis masuk ke Blockade Simpang Petei. 


Rombongan kami hanya sebanyak 2 buah kenderaan 4x4, masuk melalui Kuala Betis dan keluar melalui Meranto. Sebaik keluar dari Hutan simpan lebih kurang jam 8:30 malam, sms dan whatsapp masuk bertalu2, saya terima berita nenenda kesayangan keluarga kami telah kembali ke Rahmatullah pada sebelah petangnya. 

Terus berkejar kembali ke Kota Bharu untuk urusan penyempurnaan dan pengkebumian jenazah pada keesokan harinya. Al-Fatihah buat nenenda tersayang. Semoga aman disana disamping mereka-mereka yang beriman. 

Kunjungan kedua saya ke Blockade ialah pada 10hb. Oktober, 2016 bersama Team Ekspidisi 4x4 – Save Our Rainforest yang diketuai oleh Syam Ghaz Aktivis R yang sebelum ini menjejak dan memujuk saya untuk kembali aktif dalam kerja sosial sewaktu saya bermastautin di Selangor. 

Antara yang ikut serta dalam Ekspidisi 4x4 – Save Our Rainforest ialah wakil-wakil NGO Impian Kelantan, NGO Royalti, NGO Kuasa, NGO Sahabat Alam Malaysia dan beberapa wakil media. Kami masuk dengan 7 buah kenderaan 4x4 melalui Kuala Betis dan keluar pada keesokan harinya sebahagian melalui Meranto dan sebahagian melalui Kuala Betis. 

Balik ke Kota Bharu untuk berehat sehari kemudian masuk semula ke Blockade pada 12hb. Oktober, 2016 untuk 1 program anjuran “Memasak: 1 Hari, 1 Kampung” anjuran sebuah Kelab 4x4 di Kelantan. Kami masuk ke Blockade dengan 2 buah kenderaan 4x4 penuh berisi makanan mentah dan bahan2 untuk memasak termasuk dapur gas dan tong gas selain peralatan memasak melalui Kuala Betis pada jam 11:00 malam kemudian bermalam di Blockade Simpang Petei. 

Keesokan harinya jam 8 pagi mula memunggah air dari Sungai Puian lebih kurang 2 kilometer dari Blockade Simpang Petei untuk memasak. Seterusnya boleh dikatakan setiap minggu saya masuk ko Blockade dan sehingga ke hari ni, saya telah mengenali hamper kesemua penduduk didalam Kampung-kampung Orang Asli dalam Kawasan Hutan Simpan Cawas, Balah dan Stong. 

Ada sahabat-sahabat Aktivis di Kota Bharu memberi Jawatan AJK Orang Asli tanpa Organisasi kepada saya kerana saya lebih kerap berada di kawasan pedalaman bersama Masyarakat Orang Asli daripada berada bersama rakan-rakan Aktivis di Kota Bharu. 

Sengaja saya panjangkan penulis pengenalan kerana saya mahu semua pembaca tahu berapa lama saya bergaul dengan Masyarakat Orang Asli dan dalam tempoh itu, terlalu banyak kisah-kisah “Untold Story” telah mereka kongsikan bersama saya atas dasar “persahabatan & kepercayaan”. 

Banyak kisah-kisah sensitif dan gembira yang dikongsikan bersama saya dalam gelak, dalam tawa dan bukan sekali anak-anak muda lelaki Orang Asli menangis tanpa segan silu dihadapan saya apabila berkongsi kisah-kisah kesusahan mereka dalam kehidupan mereka yang serba kekurangan dihimpit lagi dengan kerakusan Kerajaan Negeri dengan Aktiviti Pembalakan yang merosakkan prasarana kehidupan mereka. 

Murtad di kalangan Orang Asli Sepanjang saya bergaul dengan Masyarakat Orang Asli dalam 3 buah Hutan Simpan, saya telah mengenali lebih dari 20 orang anak muda Orang Asli yang telah Murtad. 

Kebanyakan anak-anak muda Orang Asli mengenali Agama Islam ketika mereka belajar di sekolah-sekolah disekitar Gua Musang. Ada yang bersekolah di Jerek, Pasir Tumboh, Meranto dan Gua Musang. Sebelum bersekolah, mereka Cuma mengenali Agama nenek Moyang mereka. 

Agama Nenek Moyang mereka menyembah secara Ritual tuhan yang mereka percaya pencipta seluruh alam, penjaga hutan dan semua yang ada di dunia, saya lupa apa nama tuhan mereka. Setiap minggu, akan diadakan acara ritual yang dikenali sebagai “Sewang”. 

Sewang terbahagi kepada 2 iaitu Sewang Ritual dan Acara Traditional untuk menyambut tetamu. Ritual Sewang keagamaan pula terbahagi kepada 2 iaitu Ritual Penyembahan & Ritual Perubatan. Ritual Penyembahan akan disudahi dengan jamuan makan-makan manakala Ritual Perubatan tidak ada makan-makan. 

Setiap sekali dalam sebulan, Ritual penyembahan akan diadakan mengikut cara Traditional, tiada lampu dibenarkan, tidak dibenarkan bercakap semasa Sewang dan Sewang diadakan dalam dewan dalam keadaan gelap gelita manakala bagi Ritual biasa setiap minggu ianya diadakan dalam bentuk hiburan dalam keadaan biasa dengan cerah lampu pelita sekadar ada. 

Sewang Traditional untuk meyambut tetamu pula selalu dibuat apabila ada tetamu berkunjung ke mana-mana kampung Orang Asli tak kira siang atau malam, tetamu juga boleh bersewang. Balik pada kisah Murtad. 

Ramai anak muda Orang Asli memeluk Agama Islam ketika zaman persekolahan, mendapat didikan Agama Islam semasa bersekolah tetapi tidak mengamalkan cara hidup sebagai Orang Islam kerana tiada didikan sempurna untuk mereka dari KITA SENDIRI. 

Tamat persekolahan, mereka kembali pada kehidupan asal mereka didalam hutan dan ada Mubaligh Kristian masuk berdakwah. Ramai antara mereka yang sudah Islam sebelum ini beralih pada Agama Kristian dengan hanya sogokan sehelai tuala “Good Morning”. 

Selepas bertukar pada Agama Kristian, mereka dibekalkan dengan Kitab Bible berbahasa Melayu. Mereka rajin membaca tetapi mereka tidak langsung memahami apa yang mereka baca. Mubaligh Kristian masuk membaptiskan mereka dan meninggalkan mereka begitu sahaja. 

Selepas itu, ada pendakwah Islam masuk memperkenalkan semula Agama Islam pada mereka. Ramai yang kembali kepada Islam semula selepas diberi “wang saguhati” atau “zakat” kepada saudara baru. Selesai proses mengIslamkan mereka, pendakwah Islam membekalkan mereka dengan naskah Kitab Al-Qur’an kemudian mereka ditinggalkan begitu sahaja. 

Mereka masih rajin membaca Bible dan Tafsir Al-Qur’an tetapi mereka langsung tak faham apa yang mereka baca. Kelantan diperintah oleh sebuah Parti yang mereka kenal menjunjung pemerintahan mengikut Agama Islam – Islam For All, Islam untuk Semua. 

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hutan-hutan tempat tinggal mereka telah dimusnahkan oleh Aktiviti Pembalakan berlesen. Lesen membalak dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan yang berada dibawah kuasa Kerajaan Islam Negeri Kelantan. 

Anak-anak muda Orang Asli yang beragama Islam cuba mempertahankan prasarana kehidupan mereka dari dimusnahkan dan pada awalnya (tahun 2012), mereka sangat-sangat berharap perjuangan mereka akan disambut baik oleh sebuah Kerajaan Islam yang Pemimpinnya sering bercakap tentang keadilan dalam Pemerintahan cara Islam. Ini adalah permulaan Murtad buat kali kedua bagi mereka. 

Aktiviti Pembalakan yang memusnahkan kehidupan mereka membuka ruang yang terlalu luas untuk mereka melihat apa itu “pemerintahan Islam” yang sebenarnya dipesong oleh tangan-tangan berkepentingan. Majoriti anak muda yang telah kembali pada Islam, telah hilang terus kepercayaan mereka pada mana-mana Agama. 

Agama Kristian hanya memberi Tuala “Good Morning” dan sebuah Kitab yang mereka tidak faham isi kandungnya, Agama Islam hanya memberi sedikit wang yang habis dalam tempoh tak sampai sejam selain sebuah Kitab yang juga mereka tak faham apa isi kandungannya. 

Kesusahan mereka pada hari ni pula mereka lihat, disumbangkan oleh Pembesar-pembesar berserban, berjubah yang saban hari bercakap soal keadilan dalam Islam. Realitinya yang bercakap soal keadilan itu yang memijak-mijak kehidupan mereka hari ini. 

2-3 hari ni pula, pihak-pihak berkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan semakin agresif mengadakan Operasi merobohkan Blockade-blockade bagi member laluan kepada pembalak memulakan semula Aktiviti Pembalakan. 

Paling tidak boleh diterima ialah bila Blockade yang telah dimusnahkan, dibakar dengan api termasuk Rumah Adat mereka yang tarafnya seperti Masjid. 

Sehingga hari ini, TIDAK ADA SEORANG PUN WAKIL Pimpinan Kerajaan Islam Negeri Kelantan bertindak membantu Masyarakat Orang Asli atas nama “Keadilan menurut Islam”. 

Pimpinan yang tampil dengan Serban dah Jubah laksana Khalifah Islam sehingga ke hari ini pada saya menzalimi Masyarakat Orang Asli. Baik diperingkat Negeri, baik diperingkat Pusat. 

Pada saya dan pada pemerhatian saya, apa yang dilakukan oleh Pimpinan Kerajaan Islam Negeri Kelantan ketika ini semakin menjarakkan Roh Orang-orang Asli kepada Islam. 

Saya dan rakan-rakan Aktivis PEKA pernah berbual dan cuba meyakinkan kembali mereka pada Islam tetapi reaksi mereka terlalu jauh untuk kembali pada Islam. 

Saya masih ingat kata-kata anak muda tersebut; “Yang pakai serban dan jubah yang boleh baca Qur’an itulah yang hari ni susahkan kehidupan kami”. 

Mohd Fauzi Mohd Azmi 
Impian Kelantan

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...