Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 26 April 2016

#PRNSarawak - Kenyataan Media PKR Tunjukkan Bahawa LGE Dan DAP Yang Sebenarnya Menipu..



Kenyataan Media oleh YB Datuk Dr. Mansor Othman 
26 April 2016
Mansor Othman: Ingat sejarah dan terus maju ke hadapan
Kegagalan DAP dan KEADILAN untuk menyelesaikan isu pertindihan kerusi yang ditandingi sebelum hari penamaan calon di Sarawak amat dikesali, malah usaha menuding jari dan mencari punca kesilapan yang berlaku selepas itu juga amat dikesali.
Malangnya, kesilapan ini milik kita bersama. Ia bukan salah satu pihak sahaja. Kedua-dua pihak sama-sama gagal untuk mencapai kata putus yang boleh diterima pihak yang satu lagi.
Ini bukanlah hanya satu langkah ke belakang buat DAP atau KEADILAN, tetapi ia juga satu langkah ke belakang buat Pakatan Harapan dan rakyat Malaysia yang menyokong kita.
Walau bagaimanapun, janganlah kita terus berduka cita lalu menghalang usaha untuk mencapai kejayaan. Tetapi untuk memastikan masa depan yang lebih cerah, dan untuk memastikan kesemua rakan politik berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah, kita mesti perjelas apa yang sebenarnya telah berlaku.
1. Isu nota yang “ditandatangani”:
Selepas pertemuan bersama sdr Lim Guan Eng pada 7 April untuk membincangkan isu kerusi, beliau mencadangkan kepada sdr Azmin Ali dan sdri Nurul Izzah agar sehelai nota yang ditulis tangan mengandungi senarai kerusi ditandatangani, tetapi sdr Azmin dan sdri Nurul Izzah tidak bersetuju dengan perkara ini. Sdr Guan Eng terus memujuk mereka untuk berbuat demikian, dan akhirnya hanya sdr Azmin yang bersetuju untuk menandatangani - yakni “secara prinsip bersetuju” - dengan pemahaman bahawa keputusan ini belum lagi muktamad.
Persefahaman di antara sdr Guan Eng, sdr Azmin dan sdri Nurul Izzah mengenai mesyuarat itu ialah ianya bukanlah mesyuarat muktamad kerana perbincangan akan diteruskan walaupun nota tersebut telah ditandatangani, walaupun sekiranya perbincangan berterusan sehingga sebelum hari penamaan calon jika perlu.
2. Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan:
Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan telah diadakan pada 11 April. Sebelum mesyuarat tersebut, KEADILAN dan DAP masih gagal mencapai kata putus berkenaan lima kerusi, tetapi bersetuju untuk menyelesaikan isu ini di dalam rundingan pusingan berikutnya dan berusaha ke arah pertandingan satu-lawan-satu dengan BN.
Maka, Majlis Presiden mengumumkan bahawa KEADILAN dan DAP telah bersetuju dengan prinsip pertandingan satu-lawan-satu. Apabila wakil AMANAH bertanya tentang kerusi-kerusi yang dipersetujui, sdr Guan Eng berkata perkara itu tidak perlu dibentang kerana pihak KEADILAN dan DAP akan menyelesaikan isu tersebut secara terus.
Dengan itu DAP memberi isyarat kesediaan untuk meneruskan perbincangan. KEADILAN dan DAP sepatutnya meneruskan rundingan walaupun selepas 11 April. Perkara 5.5 Persetujuan Pakatan Harapan amatlah jelas, bahawa:
“Sebarang pengumuman muktamad mengenai parti yang bertanding di mana-mana kerusi di mana-mana peringkat hanya dibuat oleh Majlis Presiden dan setiap parti tidak boleh membuat pengumuman bertanding di sesuatu kerusi di mana-mana peringkat tanpa persetujuan Majlis Presiden.”
3. Mandat watikah calon-calon:
Presiden KEADILAN Dr Wan Azizah telah memberikan mandat bertulis kepada sdr Azmin pada 22 April untuk menghormati autonomi negeri dan memberi mandat kepada Pengerusi KEADILAN Sarawak sdr Baru Bian untuk menyelesaikan kesemua perkara, i.e. rundingan kerusi dan keputusan mengenai calon.
Sdr Baru Bian pada 22 April telah mengumumkan hanya 35 kerusi dan bukannya 42 kerana 5 kerusi masih lagi dalam proses rundingan bersama DAP dan 2 lagi masih belum ditentukan calonnya. Ini menunjukkan KEADILAN masih berharap DAP akan meneruskan rundingan untuk mengelak pertandingan tiga penjuru.
4. Keputusan mengenai pertandingan tiga penjuru:
Mesyuarat Biro Politik KEADILAN yang lalu telah meletakkan keutamaan kepada proses rundingan kerusi, tetapi parti bersedia untuk pertandingan tiga penjuru sekiranya proses rundingan tersebut gagal.
Sdr Azmin terus menghubungi sdr Guan Eng dan mencadangkan penyelesaian pertindihan 5 kerusi dengan 3 diserah kepada KEADILAN manakala 2 lagi kepada DAP untuk mengelak pertandingan tiga penjuru. Akan tetapi sdr Guan Eng enggan mempertimbangkan sebarang jalan penyelesaian secara baik untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru.
5. BN adalah MUSUH UTAMA
Kegagalan proses rundingan antara KEADILAN dan DAP amat dikesali, malah perbalahan yang berlaku selepas itu juga dikesali. Walau bagaimanapun, kita kini perlu bersatu hati dan bersama menghadapi musuh utama masa depan Malaysia, iaitu Barisan Nasional.
Kita mesti hormati prinsip asas pertandingan satu-lawan-satu seperti yang disahkan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dinyatakan dalam Perkara 5.5 Perjanjian Pakatan Harapan.
Hari Penamaan Calon PRN Sarawak 2016 akan terpahat sebagai hari untuk mengingatkan kita agar bermuhasabah diri dan terus istiqamah dalam usaha untuk berkhidmat demi rakyat.
6. Masih tidak lewat untuk pertandingan satu-lawan-satu
Sdr Anwar Ibrahim telah menggesa DAP dan KEADILAN untuk jangan berhenti berbincang. Kita masih mempunyai peluang sebelum hari mengundi untuk memenuhi harapan rakyat supaya hanya ada pertandingan satu-lawan-satu dengan BN.
Kita sentiasa bersedia untuk duduk berbincang, dan bersedia untuk terus memberi peluang kepada usaha ini, dalam semangat yang saksama, saling memberi dan menerima, demi matlamat yang lebih agung: reformasi di peringkat negeri dan nasional. Adakah rakan-rakan seperjuangan kita bersedia untuk melakukan yang sama?
DR MANSOR OTHMAN
Ahli Biro Politik KEADILAN
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri bagi KEADILAN Pulau Pinang

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...