Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Jumaat, 27 Disember 2019

Perobohan Kampung Segambut Permai, Ini Jawapan PSM Untuk Hannah.

KENYATAAN AKHBAR, PARTI SOSIALIS MALAYSIA | Realiti Kg Peneroka Segambut Permai
Menjawab Ahli Parlimen Segambut YB Hannah Yeoh

Pertama sekali, keprihatinan YB Hannah Yeoh terhadap peneroka asal Kampung Segambut Permai tidak pernah dipertikaikan dan amat dihargai. Setelah dihubungi oleh SUA Parti Sosialis Malaysia Sivarajan Arumugam, YB telah respon dan mengaturkan satu perjumpaan bersama wakil penduduk di Parlimen pada 27hb Nov 2019. YB sendiri telahpun turun pada 9hb Disember 2019 bersama wakil Menteri Kementerian Wilayah apabila penduduk dan aktivis massa sedang cuba mempertahankan perobohan yang dijangka berlaku pada hari itu.

Faktor utama yang mencegah perobohan pada 9hb Disember 2019 adalah janji Menteri Wilayah YB Khalid Samad untuk mengatur perumahan alternatif kepada semua keluarga yang terjejas akibat notis Evakuasi tersebut. Dalam surat Akujanji yang ditandatangani oleh Menteri Wilayah kepada pihak pemilik tanah, Kementerian memohon masa tambahan selama dua minggu berkenaan notis Evakuasi untuk tujuan mencari penyelesaian untuk penduduk Kampung Segambut Permai.

Jadi, pertikaian sekarang bukan sama ada peneroka asal Kampung Segambut Permai ini berhak untuk menuntut hak mereka kerana tindakan YB dan Menteri untuk campur tangan telah jelasnya menyatakan bahawa semua pihak sedar bahawa mereka telah menjadi mangsa keadaan kerana akta dan polisi kerajaan dulu, mahupun sekarang, tidak berpihak kepada mereka.


Kami di Parti Sosialis Malaysia ingin mengutarakan beberapa parkara yang kurang diberikan tumpuan:-

1. Persoalan yang lebih kritikal ialah kenapakah peneroka asal sesebuah kawasan tidak diberikan keutamaan dan ditawarkan lot tanah tersebut. Bagaimanakah tanah tersebut boleh bertukar tangan dari PKNS kepada orang yang langsung tidak berkepentingan pada tahun 2002 tanpa kesedaran peneroka kampung sendiri yang telah hidup di sana sejak tahun 60-an. Jika kesalahan dilakukan oleh kerajaan terdahulu, kerajaan kini yang membawa aspirasi rakyat patut memperbetulkan kesalahan tersebut.;

2. PSM juga telah sejak 1990 memperjuangkan nasib peneroka Bandar, terutamanya dibawah regim Barisan Nasional dulu. Kita lihat bagaimana tanah orang kampong peneroka dirampas dan rumah mereka dirobohkan oleh pemaju swasta dan juga oleh pihak Kerajaan sendiri. Paling teruk sekali ialah apabila program Setinggan Sifar dilakukan oleh bekas MB Selangor Khir Toyo, dimana ratusan rumah peneroka Bandar diroboh dengan kekerasan mengunakan kekuatan sepenuhnya pihak FRU, PDRM , RELA dan juga Majlis Perbandaran.

Kita jangan lupa bahawa kekejaman yang dilakukan atas peneroka Kg Berembang dan juga Kg Rimba Jaya pada sekitar tahun 2006 hingga 2007 merupakan salah satu sebab menyebabkan Kerajaan Barisan Nasioanal jatuh di Selangor PRU12.

Maka, kini PH harus melihat untuk memperbaiki perundangan tanah yang kita ada untuk menjaga hak peneroka Bandar dan bukannya mengunakan retorik yang sama yang digunakan oleh BN dulu. Kerajaan Pakatan Harapan boleh memperkenalkan undang-undang baru yang boleh melindungi peneroka yang telah banyak bersumbang kepada kawasan setempat daripada diusir keluar oleh pemodal besar yang menumpang atas jasa peneroka;

3. Maka atas asas hak peneroka inilah kita tidak setuju Kerajaan menyamakan peneroka yang tertindas dengan pemohon PPR biasa . Lokasi Kampung Segambut Permai adalah bekas lombong. Peneroka telah berusaha tiga generasi untuk mengubahsuai persekitaran halaman rumah mereka dengan meratakan dan mempadatkan bekas tapak lombong ini. Mereka telah membina, membaiki dan menjaga halaman rumah mereka dengan harapan mereka ditawarkan pemilikan seperti jiran-jiran di kampung bersebelahan. Sumbangan mereka sebagai peneroka dan hakikat mereka diajak untuk menerokai kampung ini patut diberikan pertimbangan yang serius. Senarai menunggu yang panjang bukan alasan untuk menafikan hak peneroka asal mendapat keadilan dan penyelesaian yang sempurna;

4. YB sendiri mengesahkan bahawa DBKL telah turun membuat banci pada 12hb dan 13hb Disember 2019 untuk mendapatkan gambaran yang terkini dan paling tepat. Namun, banci terkini ini telah diabaikan dan banci yang dibuat pada tahun 2010 dijadikan rujukan. Bayi yang dilahirkan pada tahun 2010 telahpun belajar di darjah tiga. Keengganan pihak DBKL mengguna banci baru adalah tidak masuk akal.

5. 33 keluarga yang menetap di 20 rumah yang masih belum dirobohkan telah manyampaikan hasrat mereka supaya ditawarkan rumah alternatif secara berkelompok di PPR yang terdekat, iaitu PPR Sentul Murni dan PPR Batu Muda agar pemindahan mereka tidak menjejaskan anak-anak yang bersekolah dan kerja mereka. Pemindahan yang ditawarkan oleh pihak DBKL mencampakkan mereka ke merata-rata tempat seperti Setapak, Pudu, Bukit Jalil, Puchong dan sebagainya pasti membebankan mereka dari segi kewangan. Mengikut pemerhatian mereka, kedua-dua tempat ini ada kekosongan yang cukup menampung kesemua keluarga yang terjejas. Dan nyatanya, mereka bukan segelintir penduduk yang meminta sesuatu tanpa asas dan terlampau.

6. Walaupun YB berjanji bahawa penerima tawaran PPR boleh membuat permohonan semula setelah tempoh 6 bulan tamat, penduduk asal Kampung Segambut Permai telah diwajibkan untuk mengemukaan satu surat Sumpah/Akujanji yang menyatakan mereka MESTI memulangkan unit transit tersebut dalam tempoh 6 bulan. Setelah berunding dengan pihak peguam, penduduk sedar bahawa janji pihak YB tidak menjamin tawaran perlanjutan tempoh PPR kerana surat sumpah Akujanji tersebut boleh melintasi janjian tersebut .

7. Tambahan pula, mereka yang telah keluar kampung pada Fasa 1 di bawah kerajaan Barisan Nasional telah ditawarkan PPR tetap yang boleh dimiliki melalui polisi sewa beli pada masa depan. Mereka yang cuba mempertahankan hak mereka sebagai peneroka tidak patut dianaktirikan, malah perlu diberikan tawaran yang sekurang-kurangnya setimpal.

Pihak kami berharap agar penjelasan kami memberikan pencerahan kepada mereka yang kurang faham tentang asal usul Kampung Segambut Permai. Peneroka patut diberikan hak mereka.

Hidup Peneroka!

Soh Sook Hwa
Pengerusi PSM KL/PJ

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...