Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 18 November 2019

Cerita Lepas Kalah #PRKTanjung Piai - Respon Pemimpin, Penyokong Bergaduh Sesama Sendiri..

PRKTanjungPiai |"Salam 15,806", "Isyarat ini 15,806 jelas tak", antara yang menjadi tular sejak kekalahan teruk Pakatan Harapan di PRK Tanjung Piai pada Sabtu lepas.

Kekalahan itu menyaksikan calon Pakatan Harapan, Haji Karmaine Sardini meraih undi sebanyak 10,380 berbanding Wee Jeck Seng dari Barisan Nasional yang meraih undi sebanyak 25,466 jauh meninggalkan pesaingnya yang lain;

Calon Gerakan : Wendy Subramaniam, 1,707 undi.

Calon Berjasa : Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz, 850 undi.
 
Calon bebas : Dr Ang Chuan Lock, 380 undi.

Calon bebas : Faridah Aryani Abdul Ghaffar, 32 undi.

Respon pemimpin

Syed Saddiq paling awal memberikan respon dengan mengatakan beliau meminta maaf kepada semua atas kekalahan teruk itu.

"Kekalahan ini pahit untuk ditelan.‬ Rakyat sudah bersuara.‬ Suara rakyat, suara keramat.‬ My sincerest of apologies to the Malaysian Youths for my schortcomings.‬ Kemarahan ini perlu dijawab dengan tindakan.‬ Sekali lagi, minta maaf," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Sabtu. ‬

Presiden Keadilan, Anwar Ibrahim berkata PH harus menjadikan kekalahan itu sebagai satu iktibar dan menghormati pilihan yang dibuat pengundi Tanjung Piai.

"Tahniah kepada Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng di atas kemenangan yang diraih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Bagi pihak Pakatan Harapan (PH) kami menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat keseluruhannya.

Majoriti yang diperoleh pembangkang ini satu kejutan dan ia mesej jelas kepada seluruh pimpinan PH.

Kita seharusnya mengambil pengajaran dan iktibar daripada keputusan PRK ini.

Kita juga harus berusaha menanam keyakinan rakyat terhadap dasar-dasar yang dibawa oleh PH dengan usaha positif melaksanakan janji-janji,"
katanya.


Bagi Dr. Xavier, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, kekalahan PH di Tanjung Piai bukanlah tanda rakyat menolak kerajaan PH.

"TANJUNG Piai bukan seluruh Malaysia. Tanjung Piai di Johor, itu bangsa Johor,” katanya.

"Dia lain, lain daripada lain. Jadi, tak boleh buat macam itu. Tapi kita ambil itu sebagai satu mesej dan kita akan buat sesuatu untuk masa depan," tambahnya lagi.


Liew Chin Tong bagaimanapun beranggapan kekalahan teruk Pakatan Harapan bagaikan dilanda gempa bumi.

"Kekalahan yang membinasakan ini akan menjadi permulaan kepada pengakhiran pemerintahan Pakatan Harapan seperti yang kita ketahui atau memberi peluang kepada kami untuk memulakan suatu permulaan yang lebih baik.

"Kekalahan besar pada pilihan raya kecil Tanjung Piai adalah titik perubahan untuk politik Malaysia. Ibaratnya umpama tidak kurang daripada gempa bumi.

"Kami dengan rasa rendah diri mengakui kekalahan ini dan menghormati keputusan demokratik rakyat,"
katanya.




Bagi Datuk Salahuddin Ayub, kegagalan PH adalah disebabkan masalah komunikasi. Kegagalan menyampaikan gerak kerja, polisi baik kerajaan dan perubahan yang telah dilakukan oleh PH menyebabkan pengundi tidak menyedari kebaikan kerajaan.


Rakyat bertepuk tangan meraihkan kekalahan Pakatan Harapan. 


"Para tetamu majlis makan memberikan tepukan gemuruh apabila saya mengumumkan kekalahan teruk kerajaan PH di pilihanraya kecil Tanjung Piai," tulis Lim Lip Eng pada Sabtu lepas.

Menurut laporan Malaysiakini, Lim yang juga Ahli Parlimen Kepong menyatakan, "Ini satu pengajaran kepada PH khususnya DAP. Kita mesti mengkaji, kita mesti pergi balik kepada komuniti Cina di Tanjung Piai, tanya mereka apa yang PH dan DAP telah buat salah.


“Mengapa mereka begitu marah kepada kita? Kita mesti balik kepada (penduduk) Tanjung Piai,”
katanya.


Hashtag #TunExpired, penyokong bergaduh sesama sendiri.


Tinjauan di laman sosial mendapati penyokong Pakatan Harapan bergaduh sesama sendiri sejak kekalahan PRK Tanjung Piai.



Penyokong PPBM menyalahkan Anwar dan PKR yang mereka anggap dalang disebalik kekalahan teruk PH di Tanjung Piai. Mereka menyebarkan satu gambar tangkaplayar dimana mereka mendakwa ia adalah bukti penyokong PKR memboikot PRKTanjungPiai. 



Selain itu, mereka mendakwa kekalahan ini akan digunakan sebaik habis bagi membolehkan DAP dan PKR mendesak Tun Mahathir meletakkan jawatan dan menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim.

Penyokong PPBM juga beranggapan DAP sudah besar kepala dan ada seruan dikalangan mereka bahawa PPBM patut keluar dari Pakatan Harapan.

Sesetengahnya beranggapan pengundi menolak PPBM di Tanjung Piai, khususnya bagi penyokong DAP adalah berpunca dari isu;

Zakir Naik
LTTE
Himpunan Maruah Melayu
Khat, Jawi

Namun berdasarkan kajian Ilham Centre, dua punca utama kenapa pengundi menolak calon PH adalah disebabkan kegagalan menunaikan janji manifesto dan tiada polisi ekonomi yang jelas samada di peringkat persekutuan mahupun negeri.

Penyokong PPBM juga menyindir tindakan mengundi Wee hanya meramaikan kaum cina dalam Parlimen dan mengurangkan jumlah orang melayu namun mesej-mesej perkauman seperti ini nampaknya tidak diraikan oleh penyokong lain, misalnya dari DAP dan PKR.

Penyokong PKR beranggapan kekalahan teruk PH di Tanjung Piai adalah disebabkan;

Menyimpan menteri-menteri yang tak perform.
Menyimpan menteri-menteri terkait skandal.
Kegagalan menyakinkan rakyat mengenai proses peralihan kuasa.

Namun bagi penyokong DAP mereka beranggapan tindakan Tun Mahathir yang sering flip flop, uturn mengenai manifesto, dan gagal menyampaikan halatuju negara adalah punca kenapa calon dari PPBM itu ditolak. Isu kerajaan pintu belakang dan pengakuan Peja juga mempengaruhi mood pengundi kerana ia memberikan mesej kepada penyokong DAP bahawa PPBM akan bersama-sama kartel bagi memecahkan Pakatan Harapan. Sebelum mereka ditinggalkan, adalah lebih baik mereka meninggalkan - antara komen-komen pro DAP di halaman page pro DAP.

Ketika ini hashtag #TunExpired juga sudah dimainkan oleh sebilangan mereka yang menyokong PKR - Anwar.

Bagi penyokong Amanah, mereka nampaknya lebih banyak mendiamkan diri dan berharap penyokong PH tidak bergaduh di laman sosial.

Ini selari dengan mesej Menteri-Menteri dari Amanah yang beranggapan kekalahan PH di Tanjung Piai adalah kegagalan bersama dan bukannya kegagalan Tun Mahathir. 

Menyalahkan pengundi


Suara-suara menyalahkan pilihan pengundi juga nampaknya jelas kelihatan menerusi status dan komen penyokong PH kini. 

Meskipun pemimpin mengambil pendirian berbeza, iaitu meraikan pilihan pengundi, tetapi nampaknya sebilangan penyokong PH tidak dapat menerima keputusan itu secara demokratik. - 18 November 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...