Ini termasuklah cubaan mereka bergerak atas nama NGO atau dalam kapasiti individu untuk memburukkan nama baik pemimpin dan MTUC, baik secara terbuka atau sebaliknya.
Kadang kala penulis upahan juga diguna oleh anasir-anasir ini untuk tujuan jijik itu.
Namun, apa yang dibanggakan dan diperakui MTUC selama ini adalah kerajaan, khususnya menteri sumber manusia, sentiasa mengiktiraf MTUC sebagai pusat buruh utama negara dan tidak pernah meremehkan peranannya meskipun wujud perbezaan dan pertikaian sesama mereka atas isu-isu berkepentingan sama.
Di MTUC, kami meraikan perbedaan ini sebagai sesuatu yang dinamis dalam perjuangan membela pekerja.
Namun itu dahulu. Akhir-akhir ini kami amat kesal apabila wujud tanda-tanda jelas Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran bersekongkol dengan anasir-anasir yang cuba memecah belah MTUC daN menghakis pengaruh kesatuan di kalangan pekerja.
Contoh jelas ialah nukilan seorang “pembaca FMT” bernama Leonard Hiew, baru-baru ini yang mendakwa kononnya MTUC tidak lagi memperjuangkan kebajikan pekerja dan patut diganti dengan organisasi lain.
Artikel ini terus dimuat naik di Facebook Kula Segaran diiringi komen Menteri: “Cadangan yang baik?”.
Untuk MTUC, ‘soalan’ yang dilontarkan oleh Kula Segaran itu bertujuan semata-mata untuk meraih dan menggembeling sokongan musuh-musuh MTUC.
Motif beliau semakin jelas apabila beliau enggan melayan komen orang ramai terhadap artikel berkenaan di Facebook beliau.
Apabila kalangan warga pekerja menegur komen Kula Segaran dan mencabar hujah-hujah Leonard, menteri bertindak menghalang atau (block) komen pembaca berkenaan dan menurunkan segelintir komen-komen yang terlepas saringan.
Tindakan Kula Segaran ini adalah kebudak-budakan dan hanya mencerminkan minda cetek beliau apabila menjalankan kerja-kerja menteri dengan emosi dan bukan akal yang rasional.
Kula Segaran marah kepada MTUC
Jelas, Kula Segaran marah kepada MTUC kerana membantah keras pindaan kepada undang-undang perburuhan yang dibentang beliau kepada Parlimen.
Beliau bertambah berang apabila hujahnya di balas dengan penjelasan MTUC. Polemik mengenai perbedaan pendirian antara MTUC dan Kula Segaran atas isu ini sudah pun dibincangkan panjang lebar dalam forum lain.
Di sini, apa yang perlu ditekankan ialah menteri tidak harus dilihat bersekongkol dengan anasir-anasir tertentu yang mempunyai agenda tersendiri memusuhi MTUC.
Lebih mendukacitakan ialah anggapan yang semakin tersebar bahawa Kula Segaran sendiri dilihat cenderung untuk menghakis kuasa-kuasa dan pengaruh MTUC yang secara langsung akan mengurangkan kuasa rundingan pekerja.
Penggunaan penulis upahan sekian lama menjadi taktik musuh MTUC. Kami sudah biasa berdepan dengan mereka dalam mempertahankan kewibawaan kami selaku pemimpin.
Apa yang membimbangkan, adalah kemungkinan menteri sekarang sendiri bersekongkol dengan anasir-anasir ini untuk menghancurkan MTUC – hanya kerana kami tidak sehaluan dengan beliau dan kementeriannya atas beberapa perkara.
Keghairahan menteri meminggirkan MTUC daripada proses rundingan tripatisme secara jujur amat terserlah dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Kecenderungan beliau melanggar konvensyen-konvensyen antarabangsa dan meminggirkan pihak berkepentingan seperti MTUC akan hanya merugikan negara dan pekerja.
Walau apa pun cuba dikitarkan oleh penulis-penulis upahan bagi pihak anasir-anasir anti-MTUC, hakikat adalah kesatuan ini telah bekerjasama dengan Pakatan Harapan apabila ia membentuk kerajaan baru pada 9 Mei 2018.
Sokongan MTUC itu bersandarkan keyakinan PH akan bertindak adil dan memberi pembelaan yang didahagakan oleh pekerja selama ini.
Malangnya, 17 bulan selepas Kula Segaran menjadi menteri sumber manusia, pekerja masih menunggu-nunggu untuk beliau menunaikan janji iaitu memastikan suara mereka sentiasa diambil kira dalam setiap pembaharuan undang-undang.
Ini tidak dilakukan. Sebaliknya menteri berkenaan ghairah mencemuh MTUC dan memuat naik artikel oleh musuh-musuh kesatuan di Facebook beliau.
Harapkan menteri, menteri mengecewakan kami. Ini antara keluhan di kalangan akar umbi MTUC sekarang ini terhadap YB Kula Segaran.
Kita harap rintihan ini tidak menambah kemarahan YB Menteri. Sebaliknya menjadi penggerak kepada beliau untuk menunaikan janji membela nasib pekerja dan gerakan kesatuan di negara ini.