Kali ini, Ahli Parlimen Pekan menggariskan enam kenaikan yang akan berlaku bermula awal tahun 2020.
"Lagi hadiah PRU14 dari PH untuk Rakyat bermula bulan Januari tahun depan.
- Harga petrol naik,
- harga air naik,
- cukai taksiran naik,
- cukai digital 6% bermula
- harga pos naik
- caj klinik swasta naik
Ini yang Raykat mahu.
Bak kata Tony Pua.. "Pakatan menang, Rakyat akan senang", katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Jumaat.
Berdasarkan semakan, maksud harga petrol naik adalah merujuk kepada RON 95 yang akan diapungkan dan pengenalan subsidi bersasar yang akan dilaksanakan bermula tahun hadapan. Perkara ini sebenarnya selari dengan apa yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan.
Manakala cukai digital dipercayai diperkenalkan untuk menambah hasil kerajaan yang hilang apabila menukar GST kepada SST.
Selain itu, Tun Mahathir juga pernah mengumumkan beberapa cukai baharu akan diperkenalkan pada tahun hadapan.
Mengenai caj klinik swasta, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Azman Abu Bakar pernah dilaporkan tidak menolak kemungkinan caj konsultasi klinik swasta akan dinaikkan memandangkan kali terakhir kadarnya disemak adalah pada tahun 2006.
Cadangan kenaikan telah pun dihantar kepada Menteri Kesihatan untuk dipertimbangkan namun tidak pasti samada kadarnya akan kekal atau naik, dipercayai jika naik, ia akan naik sehingga tiga kali ganda dari kadar sedia ada.
Pos Malaysia pula dalam satu kenyataan semalam menyatakan, syarikat itu terpaksa menyemak kadar lama
sejajar dengan peningkatan harga oleh Kesatuan Pos Sedunia (UPU) mulai Januari 2020 untuk menyelaraskan kos operasinya.
Bagaimanapun Najib menyebarkan kenaikan itu seolah-olahnya ada kaitan dengan Pakatan Harapan dan netizens kemudiannya bertindak menyalahkan pentadbiran kerajaan hari ini. - 26 Oktober 2019.