Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 10 Oktober 2019

Dua ADUN DAP Ditahan, Dikaitkan Dengan Pengganas LTTE.

FREE MALAYSIA TODAY | Polis hari ini menahan tiga lelaki termasuk dua ahli Dewan Undangan Negeri DAP dari Melaka dan Negeri Sembilan, dipercayai ada hubungan dengan kumpulan pengganas Sri Lanka.


Ketika dihubungi FMT, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy mengesahkan penahanan mereka.

G Saminathan, merupakan Exco Kerajaan Negeri Melaka yang bertanggungjawab kepada portfolio sumber manusia dan Adun kawasan Gadek, dan Adun Seremban Jaya, P Gunasekaren, ditahan Bukit Aman pagi ini, bersama seorang pemimpin NGO India dari Perak.

Sumber berkata, mereka sedang disiasat kerana dipercayai ada hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kumpulan pemisah terlibat dalam perang saudara lebih tiga dekad di Sri Lanka.

“Kami diberitahu mereka ditahan berhubung sambutan majlis ‘hari pahlawan’ yang mereka hadiri tahun lepas,”
kata Ramasamy.

Difahamkan kedua-dua mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Sementara itu Ketua Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Ayob Khan Mydin Pitchay berkata satu kenyataan akan dikeluarkan kemudian.

Dalam pada itu, penahanan Saminathan disahkan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari pada sidang media selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Seri Negeri, di Melaka.

“Ada maklumat seorang Exco ditahan pihak polis Bukit Aman. Secara dasar kerajaan negeri akan berurusan dengan pihak berkuasa bagi mendapatkan maklumat punca beliau ditahan.

“Saya yakin, Yang Berhormat (Exco berkenaan) akan memberikan kerjasama bagi membantu siasatan,”
kata beliau dipetik BH Online.

Bagaimanapun, Adly tidak dapat menjelaskan punca Exco berkenaan ditahan.

LTTE yang diketuai V. Prabhakaran mencetuskan pemberontakan pemisah untuk mewujudkan wilayah autonomi Tamil Eelam, utara Sri Lanka apabila golongan majoriti Sinhala menindas masyarakat Tamil iaitu kumpulan minoriti.

Kempen keganasan LTTE menerima sokongan moral dan pembiayaan daripada ramai pihak termasuk diaspora Tamil yang bersimpati dengan nasib masyarakat Tamil di negara itu. 

Pertubuhan itu, yang kini dilaporkan tidak aktif selepas Prabhakaram terbunuh dalam operasi ketenteraan kerajaan Sri Lanka, pernah disenaraikan sebagai kumpulan pengganas dan diharamkan di lebih 30 negara termasuk di Malaysia. - 10 Oktober 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...