Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 20 Ogos 2019

Pekerja Utusan Sampai Kena Pinjam AhLong Untuk Sara Hidup..

SEMASA | Ibarat sudahlah jatuh ditimpa tangga. Syarikat ditutup, gaji dan pampasan tak dapat. Pekerja hilang mata pencarian, dan duit pula tiada. 
 

 
Beberapa media tempatan melaporkan penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo akan menghentikan operasinya minggu ini dengan edaran terakhir terbit pada Rabu.


Keputusan itu dibuat kerana Kumpulan Utusan menanggung kerugian purata sehingga RM3 juta sebulan sejak dua tahun lalu.

“Esok (Selasa) adalah hari terakhir kerja, untuk surat khabar terbit pada Rabu,” kata sumber kepada portal The Malaysian Insight yang turut melaporkan hal itu.

Utusan terbelit masalah kewangan yang teruk sehingga gagal melunaskan gaji bulanan kakitangannya sejak Jun lalu, selain pampasan pemberhentian hampir 800 bekas kakitangannya sejak awal tahun.

Sementara itu, seorang sumber lain memberitahu, Utusan dijangka akan melelong asetnya bagi menyelesaikan masalah kewangan yang sedang ia hadapi.

Wang hasil jualan harta itu akan digunakan untuk membayar hutang dan baki pampasan bekas kakitangannya.

Semalam 100 kakitangan Utusan mengadakan piket selama kira-kira satu jam di perkarangan ibu pejabatnya di Kuala Lumpur menuntut syarikat menunaikan tanggungjawab membayar gaji mereka.



Untuk rekod, sudah tiga bulan kakitangan Utusan tidak mendapat bayaran gaji yang sepatutnya. Mereka juga punya keluarga yang perlu ditanggung dan bayaran bulanan yang perlu dilunaskan. 


Sebelum terpalit dengan dakwaan tidak membayar gaji pekerjanya, Utusan sejak tahun 2018, gagal melunaskan bayaran gaji mengikut jadual sehingga hal itu dilaporkan oleh media-media tempatan berikutan luahan yang dibuat oleh kakitangannya. 

Dalam perkembangan yang sama, Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan Melayu Bhd Mohd Taufek Razak mendakwa Kumpulan Utusan Melayu Berhad tidak akan membayar gaji kakitangannya berikutan syarikat tidak mempunyai keupayaan kewangan.


Taufek berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad Abd Aziz Sheikh Fadzir dalam pertemuan mereka di Putrajaya, semalam.

“EC (Pengerusi Eksekutif Abd Aziz) beritahu mereka tak akan bayar gaji kita,” katanya.


Nik Hasmazi Hassan, 48, yang berkhidmat lebih 20 tahun bersama Utusan pula berkata, situasi semasa dihadapinya ketika ini adalah cabaran terburuk dalam hidupnya bersama Utusan.


Malah dia terpaksa meminjam daripada pihak lain untuk pergi bekerja yang tidak dibayar gajinya.

Nik turut mendedahkan, terdapat kakitangan syarikat itu turut meminjam ah long untuk terus hidup.

“Ada antara kami yang terpaksa pinjam ah Long, semata-mata untuk makan…sehina itu kami kakitangan Utusan Melayu.

“Sudah 23 tahun saya bekerja di sini, macam-macam bentuk jatuh bangun saya dah saksikan tapi ini yang paling teruk,”
katanya lagi.




Utusan, yang kini berstatus PN17 atau syarikat yang menghadapi masalah kewangan selepas gagal membayar hutang terkumpul hampir RM1.2 juta kepada dua bank, pada November lepas memberhentikan hampir 800 kakitangannya melalui skim pemberhentian sukarela (VSS) bagi mengurangkan kos operasi.

Aziz dilantik pengerusi eksekutif Utusan pada Jun dan sebulan kemudian memangku jawatan ketua pengarang kumpulan selepas dua pengarang kanannya melepaskan jawatan dan bersara.

Beliau bagaimanapun letak jawatan pada pertengahan Disember 2018, serentak dengan pelantikan Ibrahim Yahya sebagai pengarah urusan merangkap ketua pengarang kumpulan. Ibrahim bekas setiausaha akhbar Ahmad Zahid Hamidi.

Aziz bagaimana kembali menerajui Utusan pada 31 Januari lalu untuk memastikan program penstrukturan semula kumpulan syarikat ini berada pada landasan yang betul.

Pada Februari lepas, Umno melepaskan 31.6% pegangannya dalam syarikat kepada kepada Opulence Asia Sdn Bhd, syarikat milik penuh Aziz, dan menjadikan bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu (2013-2018) itu sebagai pemegang saham terbesar Utusan.

Pada Julai lepas, tokoh perniagaan Syed Mokhtar Albukhary meningkatkan pegangan ekuitinya kepada 19.72% menjadikan beliau pemegang saham kedua terbesar melalui Nilam Setar Sdn Bhd, diikuti Umno yang masih memegang 18.1%.

Utusan mula terbit sebagai Utusan Melayu dalam tulisan Jawi pada 1939 sebelum muncul dalam edisi Rumi sebagai Utusan Malaysia pada 1 September 1967. Keluaran Ahadnya, Mingguan Malaysia terbit pada 30 Ogos 1964, sementara Kosmo mula terbit pada 30 Ogos 2004. - 20 Ogos 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...