Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 15 Ogos 2018

Memalukan, Menfitnah, Kapar Perlu Minta Maaf - SU Zuraidah.

Berita Harian | Tindakan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah kepada kepemimpinan tertinggi PKR termasuk Ketua Wanitanya, Zuraida Kamarudin disifatkan melampau dan tidak bertanggungjawab.


Setiausaha Politik kepada Zuraida, Nor Hizwan Ahmad, berkata Abdullah Sani perlu segera memohon maaf kepada semua ‘mangsa’ fitnahnya termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Tindakan beliau (Abdullah Sani) mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap pimpinan Pakatan Harapan (PH) jelas satu pengkhianatan kepada semangat reformasi dan aspirasi Malaysia Baharu.

“Serangan peribadi terhadap Zuraida dan Azmin yang dikeluarkan oleh beliau dan isterinya, Datin Faezah Ariffin memalukan PH serta PKR yang masih baharu mentadbir negara ini.


“Lebih memalukan apabila Abdullah Sani menuduh Dr Mahathir dan Tun Daim Zainuddin berkonspirasi menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri, ” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Nor Hizwan berkata, Abdullah Sani seolah-olah keliru dengan aspek perundangan kerana meminta mangsa fitnah membuktikan tuduhan dilemparkan beliau sebagai tidak benar.

“Di Malaysia, beban pembuktian terletak atas yang menuduh dan bukannya yang dituduh.

“Jika sebegini pemikiran Abdullah Sani, sewajarnya kepemimpinan beliau sebagai pemimpin apatah lagi seorang Ahli Parlimen boleh dipertikai,”
katanya.

Bagaimanapun usaha NSTP untuk mendapatkan maklum balas Abdullah Sani gagal.

Abdullah Sani sebelum ini dipetik berkata Dr Mahathir dan Daim didakwa mendalangi konspirasi untuk menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri.

Beliau mendakwa Azmin turut bekerjasama dengan Daim bagi menghentikan peralihan kuasa yang dipersetujui oleh PH sebelum ini.

Dalam pada itu, beberapa penyokong PKR yang enggan dikenali berkata, tindakan Abdullah Sani dianggap tidak profesional dan dikhuatiri membinasakan PH.

“Jika beliau berterusan ‘menyerang’ kepemimpinan PKR, ia akan menimbulkan perpecahan kepada parti.

“Ia bukan hanya kepada PKR, malah membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia berkaitan tuduhan kepada Dr Mahathir,”
katanya.  - 15 Ogos 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...