Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 30 November 2017

Keputusan RCI Forex : Beban Salah Atas Mohamed Yakcop - Daim, Anwar, Mahathir Di Anggap Bersubahat.

Oleh : Free Malaysia Today

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urus niaga mata wang asing (forex) Bank Negara Malaysia dalam laporan lengkap yang dikeluarkan hari ini meletakkan kesalahan kepada penasihat BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sebagai pihak bertanggungjawab. 

Laporan itu juga mengesyorkan polis membuka siasatan rasmi terhadap kemungkinan berlaku kesalahan pecah amanah dalam urusan tersebut. Nor Yakcop menguruskan portfolio BNM antara 1986 hingga 1993, termasuk menguruskan rizab luar dan peraturan untuk pasaran kewangan dalaman. 


“Walaupun beliau mendominasi dana BNM dan dilihat mempunyai kebebasan dalam urus niaga forex, beliau tidak mungkin dapat melaksanakan urus niaga berkenaan dalam tempoh yang lama tanpa kelulusan langsung atau tidak langsung daripada pihak atasan dan/atau individu lain yang mempunyai kuasa. 

“Justeru, suruhanjaya telah meneliti liabiliti bersama individu-individu berkenaan di bawah Seksyen 34 atau Seksyen 107 Kanun Keseksaan dan boleh dikaitkan sebagai mempunyai niat yang sama atau bersubahat,” kata laporan itu. 

Laporan setebal 400 muka surat itu yang diedarkan kepada ahli Parlimen hari ini berkata, siasatan itu perlu dilakukan terhadap semua pihak terlibat, termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas menteri kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kakitangan BNM. 

RCI itu turut mengesyorkan siasatan dijalankan terhadap ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan. 

“Suruhanjaya berpendapat daripada fakta yang diberikan kepada inkuiri, terdapat asas untuk mencadangkan polis menjalankan siasatan rasmi terhadap kemungkinan berlakunya jenayah pecah amanah atau penipuan yang mungkin dilakukan oleh kakitangan BNM, ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara, menteri kewangan dan perdana menteri dalam menjalankan urus niaga spekulasi forex dan menyembunyikan kerugian forex daripada pengetahuan Kabinet dan Parlimen,” kata laporan itu. 

RCI itu berkata skandal forex sekitar 1990-an itu dianggarkan mengalami kerugian sehingga RM30 bilion ketika Dr Mahathir merupakan perdana menteri. RCI ditubuhkan untuk menentukan kebenaran dakwaan mengenai kerugian forex yang ditanggung BNM dan kesannya terhadap ekonomi negara. 

Laporan berkenaan sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V oleh Pesuruhjaya RCI terdiri daripada Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Datuk Seri Tajuddin Atan, Tan Sri Saw Choo Boon dan P Kanagarayar pada 13 Oktober lalu. 

Walaupun tidak terdapat dalam Aturan Urusan Mesyuarat, laporan RCI setebal 400 halaman dalam bahasa Melayu dan Inggeris itu sudah berada di meja ahli Parlimen. 

RCI itu dibentuk bagi memutuskan sama ada terdapat percubaan untuk menyembunyikan fakta dan maklumat mengenai kerugian, termasuk pengeluaran kenyataan oleh pegawai tinggi yang dikatakan mengelirukan Kabinet, Parlimen dan orang awam. 

Seramai 25 saksi termasuk Dr Mahathir dan Anwar, di samping bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin dan pegawai tertinggi bank termasuk gabenor, dipanggil memberi keterangan di depan panel suruhanjaya yang bersidang selama 8 hari. 

Selain itu, sebanyak 42 dokumen juga dikemukakan semasa prosiding.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...