Oleh : Shahbudin
Masya Allah....benarkah semua ini?
Jika
benar seperti yang dilaporkan ini dan sebagaimana yang tersebar luas di
media sosial, kita tentunya bersetuju dengan kenyataan Pengerusi PKR
Sarawak, Baru Bian bahawa tidak sepatutnya penghulu dan ketua kampung
tersebut diperlakukan sedemikian rupa.
Kenapa
mereka dijemput untuk datang ke ibu negara dengan tujuan dikatakan
untuk bertemu Perdana Menteri dengan hanya menaiki pesawat tentera?
Tidakkah
ia suatu penyalahgunaan kuasa yang nyata dan dalam masa yang sama
seperti penghinaan kepada ketua kampung dan penghulu tersebut?
Mengapa
tidak disewakan satu atau dua buah pesawat khas yang selesa jika benar
ketua kampung dan penghulu itu begitu penting untuk menang pilihanraya?
Selain
itu, menjadi persoalan juga, jika hanya pesawat tentera dengan kerusi
yang tidak selesa dijadikan pengangkutan mereka, bagaimanakah pula
penginapan untuk mereka semasa berada di ibu negara?
Adakah mereka diberikan bilik hotel yang selesa atau hanya diberikan tempat tidur ala kadar saja?
Apa
yang lebih malang ialah, meskipun perkara ini telah tular di media
sosial sejak lebih 24 jam yang lalu dan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian
turut memberikan reaksinya melalui portal utama serta masyarakat umum
juga banyak bercakap mengenainya, tetapi belum kedengaran lagi sebarang
penjelasan daripada Pejabat Perdana Menteri atau Kementerian Pertahanan.
Mengapa mereka begitu lembab dalam bekerja?
Dalam
dunia maklumat yang serba pantas dan wujud pula pelbagai medium
penyebaran seperti Facebook, Twitter, Telegram, Whatsapp dan sebagainya,
bahkan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan juga dilihat aktif dalam
media sosial, malah tidak mustahil turut menerima berita serupa, kita
tentu bingung memikirkan kenapa semua pihak yang berkaitan masih macam
kura-kura dalam bertindak sama ada mengesahkan kebenaran, menafi atau
memberikan penjelasan berhubung perkara tersebut?
Di
mana unit media di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan dalam
hal ini dan adakah semua mereka masih lagi hidup dalam dunia analog?