Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 4 September 2017

Anwar Suka Bagi Arahan Yang Berbeza-Beza, Eloknya Tulis Buku Saja Kata Aktivis.

Oleh : Isham Rais / Malaysiakini

Merujuk kepada apa yang sedang berlaku dalam PKR sekarang, wujudnya perbezaan pandangan di antara beberapa sosok pimpinan parti itu.
Perbezaan pendapat dalam parti politik, NGO atau dalam apa sahaja badan atau persatuan adalah perkara biasa. Malah perbezaan pendapat wajib digalakkan untuk melahirkan percambahan pendapat. Ini agak berbeza daripada apa yang berlaku dalam PKR sekarang.
Perbezaan pendapat dan pandangan dalam PKR ini telah, sedang dan akan mengganggu Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam saat dan masa yang amat kritikal - ketika menghadapi PRU14.
Pada hemat saya perbezaan pendapat ini berpunca daripada cara dan pendekatan atau metode Ketua Umum PKR, saudara Anwar Ibrahim mengendali dan mengurus pimpinan.
Contohnya : Dalam satu perkara yang sama saudara Anwar Ibrahim telah memberi pandangan, memberi arahan yang berbeza-beza dari satu sosok kepada yang lain.
Misalnya kepada si polan A Saudara Anwar telah memberi pandangan lain daripada yang diberi kepada si polan B. Dan agak berbeza juga daripada yang diterima oleh si polan C.
Agenda kerjasama PKR-PAS
Ini menimbulkan kekeliruan. Buktinya apa yang sedang berlaku sekarang dalam agenda memutuskan kerjasama PKR dengan Parti Islam, PAS.
Cara atau metode dan pendekatan memimpin seperti ini tidak baik. Ia tidak melahirkan keputusan yang kompak dan tuntas. Hasilnya ialah cerai-berai.
Wajib disedari bahawa Najib memenjarakan Anwar untuk tujuan menafikan PKR pimpinan dan buah fikiran Anwar. Penjara telah memisahkan Anwar dari nadi fikrah rakyat yang sentiasa berubah dan bergerak setiap detik.
Penjara telah memustahilkan Anwar dari dapat membuat keputusan dan mengeluarkan pandangan tentang politik harian yang betul dan tepat.
Dalam penjara Saudara Anwar tidak menerima semua pandangan dengan jelas. Dalam penjara maklumat sampai terputus-putus. Pengalaman dalam penjara membuktikan bahawa maklumat yang sampai bukan saja tidak tuntas malah ada kemungkinan dimasuki oleh Ajinomoto.
Dalam penjara kita memiliki masa yang banyak. Justeru kita boleh membaca. Kita boleh menulis. Malah berangan-angan dan berkhayal dalam penjara bukan satu jenayah. Mengelamun dan bernostalgia juga boleh dilakukan tanpa gangguan dalam penjara.
Pada hemat saya apa yang wajib dilakukan oleh saudara Anwar Ibrahim ialah menulis, berfikir, menulis dan berfikir.
Menulis dan berfikir tentang pandangan dan teori dan falsafah politik yang wajib diajukan oleh dirinya kepada rakyat Malaysia.
Antonio Gramci seorang ahli parlimen Parti Komunis Itali mengeluarkan Prison Notebooks - hasil dari penjara. Menjadi rujukan ilmu hingga ke hari ini.
Tan Malaka dari Parti Komunis Indonesia melahirkan Madilog dan buku Dari Penjara Ke Penjara - hasil dari penjara- menjadi rujukan ilmu hingga ke hari ini.
Nelson Mandela juga juga seorang komunis dari Afrika Selatan yang melahirkan A Long Walk To Freedom- hasil dari penjara. Menjadi bacaan wajib untuk aktivis politik hingga ke hari ini.
Atau seperti Kim Chi Ha - seorang patriot kiri dari Korea Selatan terus menulis puisi dari dalam penjara. Menjadi rujukan seni hingga ke hari ini.
Anwar Ibrahim wajib sedar tentang Julai 2018. Pada hari itu Anwar wajib telah bersedia dengan Magnum Opus daripada dirinya untuk dihadiahkan kepada rakyat Malaysia pada Julai 2018.
Magnum opus Anwar Ibrahim ditunggu oleh rakyat. Rakyat tidak mahu lagi mendengar kisah dirinya disepak atau dirinya dibogelkan atau dirinya dihina. Zaman kisah itu telah tamat.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...